Sahabat Sejati

Sunday 4 March 2018

Solatullah wasalamuhu `ala Rasulillah (35)

 
Sedikit Ulasan Mengenai Pembahagian Wahyu

Sebelum saya menjelaskan dengan lebih jauh tentang kehidupan nabi pada masa kerasulan dan kenabian, saya fikir kita perlu mengetahui terlebih dahulu tentang pembahagian wahyu yang merupakan sumber ajaran Islam dan landasan dakwah. Ibnu Qayyim menyebutkan tentang tahap-tahap wahyu:

1. Mimpi yang benar, yang merupakan permulaan menjelang turunnya wahyu kepada Nabi Muhmmad.

2. Dilontarkan oleh malaikat ke dalam hati dan jiwa Nabi Muhammad tanpa baginda melihat malaikat itu. Ini seperti sabda baginda: "Sesungguhnya Ruhul Kudus telah menghembuskan ke dalam diriku bahawa setiap jiwa akan mati kecuali apabila telah disempurnakan rezekinya.

Maka, takutlah kepada Allah dan tempuhlah dengan cara yang baik dalam mencari rezeki. Janganlah sampai kelambatan rezeki menyebabkan kamu menempuh laluan kemaksiatan untuk mendapatkannya kerana apa yang ada di sisi Allah tidak akan diraih kecuali melalui ketaatan kepada-Nya."
 
3. Malaikat datang kepada baginda menyerupai seorang manusia lelaki, lalu bercakap kepada baginda hingga baginda faham apa yang dikatakannya. Wahyu jenis ini kadangkala dilihat juga oleh para sahabat.

4. Wahyu datang kepada baginda dalam bentuk bunyi loceng. Inilah wahyu yang paling besar pengaruhnya terhadap baginda. Kedatangan malaikat tidak dapat diketahui secara jelas oleh nabi sehingga dahi baginda berkerut mengeluarkan peluh padahal hari sejuk. Juga, apabila baginda sedang menunggang unta, tiba-tiba unta itu tersembam ke tanah.

Pernah sekali wahyu turun dengan cara seperti ini, padahal paha Rasulullah saw sedang berada di atas paha Zaid bin Tsabit. Maka tiba-tiba Zaid berasa sangat berat sehingga hampir saja melepaskannya.

5. Nabi melihat malaikat dalam rupa asalnya, diwahyukan kepada baginda apa yang Allah perintahkan untuk diwahyukan. Cara turun wahyu yang seperti ini terjadi dua kali sebagaimana disebutkan Allah dalam surah an-Najm.

6. Allah menyampaikan wahyu kepada nabi, sementara baginda berada di atas tujuh lapis langit pada malam Mikraj. Ia berupa kewajipan solat dan yang lainnya.

7. Allah menyampaikan sendiri firman-Nya kepada nabi tanpa perantaraan malaikat tetapi masih dari  balik tabir, seperti percakapan Allah dengan Musa bin Imran. Kejadian wahyu jenis ini pada Nabi Musa dinyatakan secara tegas dalam nas al-Quran. Sementara kepastian terjadinya pada Nabi Muhammad dinyatakan dalam hadis tentang Israk. 

Ada ulama yang menambah jenis wahyu kelapan, iaitu Allah bercakap secara langsung berhadapan dengan nabi tanpa memakai tabir. Ini merupakan persoalan yang diperselisihkan oleh ulama dahulu mahupun terkini. Demikianlah huraian ringkas tentang tahap-tahap wahyu, daripada tahap pertama hingga kelapan.(1) Apa yang jelas ialah tahap yang terakhir (kelapan) bukanlah merupakan pendapat yang kuat.  

RUJUKAN: 

(1) Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, Zaad al-Ma`ad, jil. i, hal. 18

(Petikan daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd) 

Bersambung..

2 comments:

saniahibrahim said...

Assalamualaikum ustaz
Terima kasih kongsi ilmu yang banyak akak tak tau sebelum ni.

paridah said...

Assalam ustazmoga sht sjhtra sekeluarga...terima kasih prkongsian ilmu brmnfaat

Post a Comment