Sahabat Sejati

Saturday 17 March 2018

Cuti sekolah, terima kasih ummu Ikhwan

Alhamdulillah, anak-anak semuanya sudah berada di rumah sempena dengan cuti penggal persekolahan. Maka, kembali meriah dan riuh rumah kecil kami ini. Kalau tidak cuma suara 'si kecil Haikal yang istimewa' sahaja yang menggamatkan suasana tanpa tahu biji butirnya. Tidak mengapa, jika itulah kemampuannya setakat ini, ia juga termasuk nikmat yang sewajarnya disyukuri. Mudah-mudahan semuanya akan berubah menjadi lebih baik satu masa nanti.

Semalam ummu Ikhwan menjemput mereka semua di asrama masing-masing. Seawal jam 8 pagi bertolaklah isteri saya itu ke PPTI di Kemaman untuk menjemput pulang angah Irsalina. Sepatutnya dia boleh pulang pada hari Khamis selepas tamat waktu persekolahan. Namun angah Irsalina menghubungi pada hari sebelumnya agar datang pada hari Jumaat.

Memandangkan dia merupakan salah seorang Ketua Usrah (KU), maka menjadi tanggungjawab untuk memastikan semua Aspuri dalam keadaan baik sebelum pulang. Sudah menjadi kebiasaan pelajar-pelajar lain pulang pada hari Khamis, manakala beliau dan Ketua Usrah yang lain pulang pada hari Jumaat. 

Dari Kemaman, ummu Ikhwan berpatah balik semula untuk mengambil si Haikal di SMKB, yang tamat sesi persekolahan pada jam 12 tengahari. Menempuh perjalanan yang bersimpang-siur dengan kenderaan tentunya memerlukan kesabaran yang tinggi. Maklumlah, negeri Terengganu bercuti pada hari Jumaat di tambah pula dengan permulaan cuti sekolah. Hmm, makin bertambah kenderaan yang meluncur di aspal jalan.

Jam 3 petang, tibalah pula giliran untuk mengambil acik Adawiyah di aspuri SMKAA. Sekali lagi ummu Ikhwan membelah aspal jalan untuk ke sana. Mujur juga waktu petang, walaupun sebenarnya sesi persekolahannya tamat pada jam 12.30 tengahari. Dapatlah berehat sebentar di rumah setelah membawa pulang si Haikal, sebelum mengambil acik Adawiyah. Kalau tidak tentu terkejar-kejar.

Lagi pun memang kebiasaan bagi pelajar-pelajar asrama SMKAA pulang pada jam 3 petang kerana tidak mahu tergesa-gesa mengemas barang-barang. Tetapi ada juga yang pulang sejurus tamat persekolahan, namun bilangannya tidaklah ramai.

Setelah itu barulah selesai sudah urusan membawa pulang anak-anak pada hari ini. Tentunya penghargaan terima kasih yang setingginya buat ummu Ikhwan atas 'khidmat' yang tidak mungkin mampu saya balas. Saya pula sedang bertungkus-lumus menguruskan tugasan di luar kawasan. Demikianlah saya yang sering 'ketinggalan'!  

2 comments:

Normala Saad said...

Salam Abu.
Begitulah kasih seirang isteri terhadap keluarga. Dengan anak penat pun jadi tak penat. Kaum ibu kalau boleh nak jadi super atau wonder woman.

Warisan Petani said...

Tahniah, anak2 berjaya belajar di sekolah2 pilihan.

Post a Comment