Sahabat Sejati

Wednesday, 22 July 2015

Risalah Puasa Sunat Enam Syawal: Persoalan Sunat Sebelum Qadha & Menggabungkan Qadha dan Sunat (2)


3 – Menggabungkan puasa qadha dan puasa enam 

Di antara persoalan yang sering timbul sekitar puasa enam ialah adakah harus menggabungkan di antara dua puasa iaitu puasa qadha dan puasa enam hari di bulan Syawal. Adakah diganjari dengan kedua-dua pahala tersebut dengan puasa yang satu? 

Persoalan ini berlaku khilaf di kalangan ulama, sebahagiannya yang berpendapat tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain. Sekiranya dilakukan maka puasanya tidak sah, tidak bagi yang fardhu dan tidak bagi yang sunat. 

Ada dikalangan ulama Syafi`iyyah berpendapat bahawa ganjaran puasa enam tetap akan diperolehi apabila seseorang berpuasa qadha sekalipun ia tidak berniat menggabungkan kedua-duanya, namun pahala yang diperolehi kurang daripada seorang yang berpuasa kedua-duanya secara berasingan. (Lihat: Mughni al-Muhtaj 2/184, Hasyiah asy-Syarqawi 1/428, Fatawa al-Azhar 9/261 Al-Maktabah asy-Syamilah) 

Setelah dikaji, pandangan ulama yang membolehkan puasa dua dalam satu ini, tidak bersandarkan mana-mana dalil al-Quran dan al-Sunnah. Mereka juga mengatakan amalan ini hanya mendapat pahala kerana kebetulan berpuasa qadha dalam bulan Syawal, sama seperti pahala sunat tahiyatul masjid dengan solat fardhu (orang yang terus melakukan solat fardhu apabila masuk ke dalam masjid akan mendapat juga pahala sunat tahiyatul masjid). Wallahua`lam. 

Oleh itu, lakukanlah dua ibadat puasa ini (fardhu dan sunat) secara berasingan, kerana sebagai seorang hamba yang tunduk kepada Allah SWT, memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan di antara yang menjadi kewajipan dengan yang menjadi galakan (sunat) tentulah lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai seorang hamba yang mencari keredhaan Tuhannya. Ini juga lebih berhati-hati (ahwat) dalam ibadat, serta melakukan ibadat dengan yakin adalah lebih utama (aula). 

Sebagai kesimpulan, puasa sunat semata-mata kerana Allah (bukan kerana sakit atau ingin berdiet) mempunyai kelebihan yang besar di sisi Allah SWT dan sangat digalakkan oleh Rasulullah saw. Sebagaimana yang diketahui semua amalan sunat adalah sebagai penampal kepada mana-mana kekurangan dalam amalan fardhu. Puasa enam hari pada bulan Syawal ini pula thabit daripada sunnah Rasulullah saw. 

Sempurnakan dahulu qadha beberapa hari yang tertinggal, kerana kita tidak tahu apakah hayat dan kesihatan yang ada akan berterusan sehingga kita dapat menunaikannya di masa hadapan. 

Bagi orang yang tidak sempat melakukan puasa sunat kerana sibuk dengan puasa wajib diharapkan Allah SWT akan memberi ganjaran berdasarkan niat dan azamnya. 

Semoga kita semua diberi taufiq dan hidayah oleh Allah SWT ke jalan yang diredhai-Nya.

3 comments:

paridah said...

assalam...berpuasa sunat kerana Allah...niat kita Allah ketahui...insyaAllah moga amalan diterima-Nya.

webctfatimah said...

Assalaamu'alaikum wr.wb Abu Ikhwan... sebaiknya lakukan yang wajib dahulu kerana kita sedang berhutang kepada Allah SWT. Biar lepas hutang yang wajib, barulah laksnakan yang sunat. Alhamdulillah, amalan ini sudah lama saya lakukan. Senang hati apabila hutang puasa sudah dilangsai dahulu kemudian jika ada kesempatan (tidak uzur syraie) barulah meneruskan puasa sunat enam. Posting yang menarik dan mencerahkan minda dan menjernihkan hati. Salam sejahtera dari sarikei, Sarawak.

iryanty ahamad said...

asalamualaikum saudara...

selamat hari raya.....tq atas ingatan...buat yang wajib baru yang sunat :-))

Post a Comment