Sahabat Sejati

Monday, 23 September 2013

Ia kembali, pengubat rindu hati


Alhamdulillah..alhamdulillah..

Yang sentiasa ditunggu-tunggu telah pun menjengah. Bagaimana mahu digambarkan perasaan hati, yang pasti gembira dan berbunga-bunga. Teruja sangat-sangat!

Berita baik buat peminat buku di negeri Pahang, khususnya warga Kuantan!

Ekspo Buku Islam Pahang kali ke 8 kembali lagi dengan himpunan buku-buku yang pasti memukau pandangan mata. Saya percaya ekspo ini sememangnya dinanti-nanti dan disambut baik oleh segenap lapisan masyarakat Islam, malahan mungkin juga masyarakat bukan Islam pun turut datang untuk mencari-cari bahan bacaan yang dapat memberi kefahaman mengenai Islam. Siapa tahu?

Walaupun tidak sebesar dan se’gah’ KLIBF tetapi sekurang-kurangnya ekspo ini dapat menampung hasrat dan harapan warga Kuantan yang telah lama menantikan “Book Fair” di sini, termasuk saya. Bukan itu sahaja, secara tidak langsung membantu menerapkan budaya membaca dalam kalangan rakyat tempatan.

Nampaknya terpaksalah saya memperuntukkan sedikit wang untuk berbelanja di ekspo buku ini. Entahlah, berapa pula RM yang akan mengalir keluar. Jika tidak beringat jadilah seperti yang sebelum ini. Saya teringat ketika berpeluang ke KLIBF 2012 yang telah diadakan di PWTC, dari satu booth ke satu booth saya jelajahi. Boleh dikatakan setiap booth dikunjungi berulang kali kerana bimbang ada buku yang menarik tetapi terlepas pandang. Gelap mata melihat lambakan buku-buku sehinggakan tidak tahu mana satu yang hendak dibeli. Dalam beringat pun hampir RM200 telah saya habiskan, sungguh mengasyikkan.

Mujur juga rakan-rakan menegur: “tak nak balik ke?”. Kalau tidak...

Begitulah saya, sentiasa lemah di hadapan kedai buku, lupa diri seketika dengan buku. Bukan mahu memuji diri atau mahu mengatakan saya seorang ulat buku atau kuat membaca. Tidak sekali-kali, tetapi itulah hakikatnya, saya memang suka membaca.

Namun, saya tidak kisah berbelanja lebih sedikit untuk membeli buku. Bagi saya ianya umpama satu pelaburan yang berbaloi. Bukankah ini juga termasuk di antara ruang untuk menambah ilmu pengetahuan selain mendengar kuliah dan ceramah? Selain daripada itu, adalah juga sesuatu yang bermanfaat yang dapat saya wariskan kepada anak-anak nanti. Insya-Allah.

Ada orang yang sanggup berhabis ribu-ribu kerana hobi dan minat. Ada yang sanggup berbelanja banyak RM kerana minat memelihara ikan peliharaan seperti arowana, flower horn dan sebagainya. Ada yang suka ‘make up’ kereta, ada yang suka mengumpul barang-barang antik, ada yang mengumpul set permainan remote control dan bermacam-macam hobi lagi. Semua itu juga perlu mengeluarkan belanja yang banyak. Tetapi saya tidak kata semua itu salah, hobi masing-masing. Silakan selagi tidak menyalahi peraturan dan undang-undang.

Jadi, setakat saya menghabiskan dua, tiga ratus untuk membeli buku tidaklah pelik, normal, sama sahaja seperti orang lain. Apalah salahnya saya berjoli sedikit kerana minat.

Lagipun bukannya selalu, hanya setiap kali “Book Fair” setahun sekali.

Mood: Sedang tersenyum

1 comments:

webctfatimah said...

Assalaamu'alaikum wr.wb, AbuIkhwan....

Saya juga ulat buku.... memang tidak boleh tengok kedai buku. Setiap bulan saya akan peruntuk RM500 untuk membeli buku buat kami sekeluarga. Anak-anak pun jadi ulat buku juga. Kerana itu ada mini perpustakaan di rumah saya. Saya suka hidup dengan buku. Menjadikan kita sentiasa muda dan penuh ilmu. Serasa dunia ini dalam genggaman kita.

Seronoknya di sana ada Book Fair. Cemburu sekali saya jika tahu di mana-mana tempat yang mengadakan Book Fair kerana di Sarikei, tidak pernah ada ekspo buku tersebut.

Teringat saya semasa belajar di UKM tahun 2009 dahulu, ada KLIBF di PWTC. Saya membeli buku sehingga tidak sedar menjangkau RM1000. Puas kena marah dengan kawan kerana berat membawa buku saya....hehehe. Kami naik LRT dan tukar komuter untuk balik semula ke UKM. Saya ketawa sahaja bila kena marah. Tak sangka begitu "rabun mata" melihat buku-buku yang hebat.

Teringin juga nak menulis buku sendiri untuk dikongsikan kepada khalayak tetapi terlau sibuk dengan kerja yang kian melambak.

Apapun, hargainya minat yang ada kerana membuat hidup kita ceria dan bermakna.

Selamat berpesta buku dan mendapat banyak manfaat dari wang yang dilaburkan padanya untuk dunia dan akhirat.

Salam hormat dari Sarikei, Sarawak. :D

Post a Comment