Sahabat Sejati

Sunday, 22 September 2013

Haji yang mabrur, Insya-Allah...

Musim haji kembali lagi. Bagi mereka yang dianugerahkan oleh Allah SWT untuk menjadi tetamu-Nya, bersyukurlah dengan peluang dan kesempatan yang diperolehi. Bukan itu sahaja perlunya persiapan yang sebaiknya, agar tidak menghadapi kesulitan sejurus berada di sana. Persiapan dari segi fizikal dan mental serta yang paling penting ialah persiapan dari segi ilmu pengetahuan.

Apa sahaja kegiatan harian memerlukan ilmu, apatah lagi dalam perkara ibadat seperti solat, puasa serta ibadat haji. Ilmu diangkat ke tahap yang paling tinggi di antara urusan hidup manusia, tanpa ilmu pengetahuan, segala kegiatan tersebut akan menemui kegagalan dan tidak akan sampai kepada matlamatnya yang sebenar, iaitu keredhaan Allah. Ilmu juga berfungsi sebagai alat atau kayu ukur sah atau batal serta kualiti sesuatu ibadat.

Haji dari sudut bahasa bermaksud menuju (ke suatu tempat). Al-Khalil berkata: Maksud haji ialah banyak menuju kepada orang yang diagungkan.

Dari sudut syarak ia bermaksud pergi menuju ke Baitullah al-Haram untuk menunaikan ibadah yang khusus dengan syarat-syarat yang khusus.


Pagi semalam saya sempat mengucapkan selamat jalan kepada sahabat-sahabat yang akan berangkat menunaikan ibadat haji. Kami mengiringi perjalanan mereka ke Lapangan Terbang Kuantan. Dalam suasana ceria, entah mengapa tiba-tiba dada menjadi sebak saat bersalam dan berpelukan. Saya tidak tahu adakah orang lain juga begitu atau hanya saya yang berperasaan begitu.

Terasa ia seperti satu perpisahan yang panjang.

Jika mahu dibandingkan menunaikan haji dulu dan sekarang jauh berbeza. Maksud saya bukan berbeza dari sudut kaifiat tetapi masa perjalanannya. Dulu perjalanan haji memakan masa berbulan-bulan lamanya dengan menaiki kapal laut. Perjalanan yang boleh diibaratkan perpisahan yang berkemungkinan hidup atau mati.

Arwah nenek saya sempat menunaikan haji dengan kapal laut, saya teringat beliau pernah berkata:
“Dulu jika ada orang kampung yang nak pergi haji, kami akan bergotong-royong menyediakan makan kenduri, sangat meriah macam nak buat kenduri kahwin.” Saya mendengar dengan penuh minat.

“Pergi dengan kapal, berbulan-bulan belayar baru sampai. Kena bawa bekalan makanan seperti beras, ikan kering, kicap, gula, sardin, kopi dan bermacam-macam rempah-ratus serta kain baju dan perkakas memasak. Semua barang-barang itu dimasukkan ke dalam kotak kayu yang besar.” Sambungnya lagi.

“Yang pergi haji tu belum tentu sampai, yang sampai pula belum tentu baliknya.”

Ada sanak saudara yang menangis sewaktu menghantar jemaah haji menaiki kapal kerana belum tentu dapat bertemu semula. Apabila ada jemaah haji yang meninggal dunia di ats kapal, jenazahnya akan dikebumikan ke dalam laut.

Sepanjang perjalanan yang panjang itu berbagai kemungkinan boleh berlaku.  

“Ada nak kirim apa-apa, Insya-Allah saya cuba carikan.” Kata sahabat saya sebelum kami berpisah, mengejutkan saya dari lamunan.

“Tak ada apa-apa, saya tak nak kamu terganggu, tumpukan kepada ibadat yang dikerjakan. Cuma jangan lupakan saya di dalam setiap doa kamu.” Saya menjawab sambil tersenyum.

“Insya-Allah.” Jawabnya sambil menyuakan untuk tangan berjabat salam.


Sebak itu semakin menebal tatkala tangan melambai kepada mereka yang sedang melangkah anak tangga memasuki perut pesawat. Mungkin sebak itu hadir kerana terharu dapat merangkul erat sesusuk tubuh yang diberi kemuliaan untuk menjadi tetamu-Nya. Mudah-mudahan mendapat ‘pingat’ haji yang mabrur. Insya-Allah.

0 comments:

Post a Comment