Sahabat Sejati

Tuesday, 10 September 2013

Bicara santai: Tahniah sahabat, takziah sahabat

Hari ini saya mengambil cuti, sengaja mahu duduk di rumah untuk merehatkan badan. Sambil-sambil itu bolehlah juga saya menyiapkan laporan Mesyuarat Agung DPPIM yang telah diadakan pada hari Ahad yang lalu.

Tahun ini adalah sesi pemilihan AJK yang baru, jadi kesibukannya lebih daripada biasa. Banyak benda yang mahu dibereskan agar tiada kesulitan dan kesukaran. Apa pun semuanya berjalan dengan lancar dan mensyuarat berlangsung dalam suasana ceria dan penuh ukhuwwah.


Rasanya masih belum terlewat untuk saya merakamkan ucapan tahniah dan takziah kepada sahabat-sahabat saya yang telah terpilih untuk menyandang jawatan yang telah dipertandingkan. Mungkin ada yang merasa pelik. Mengapa selepas ucapan tahniah, ada pula ucapan takziah?

Tahniah sahabat-sahabat

Pertamanya, ucapan tahniah kerana mereka memenangi undian dan mengisi kekosongan jawatan yang dipertandingkan. Walaupun sebenarnya saya tahu mereka tidak mahu merebut jawatan itu. Dan jika diberi pilihan, awal-awal lagi mereka akan menolaknya tetapi apakan daya, mereka terpaksa akur dengan pilihan ahli perwakilan.

Mereka yang terpilih akan merangka program-program kebajikan yang akan diadakan. Memanglah mereka akan dibantu oleh sahabat-sahabat yang lain, tetapi mereka yang akan berada di hadapan atau pun memulainya. Maksud saya, mereka kena berbincang, menghadiri mesyuarat, memerah idea, bersengkang mata dan berbagai-bagai lagi gerak kerja.

Tentu tidak sedikit masa, tenaga, keringat dan idea yang mesti diinfaqkan bagi memastikan keberkesanan dan kejayaan program. Tentu besar ganjaran pahala yang diperolehi jika mereka ikhlas dan sabar dalam melakukannya. Inilah sebabnya saya ucapkan tahniah.

Allah SWT berfirman:
“Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hamba-Ku yang beriman! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu. (Ingatlah) orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat). Dan (ingatlah) bumi Allah ini luas. Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira." (az-Zumar: 10) 

Takziah pula kepada sahabat-sahabat

Saya juga mengucapkan takziah kerana apabila terpilih mereka akan diberi jawatan untuk memimpin. Kepimpinan ( Al Qiadah ) bukanlah satu kemuliaan atau kebanggaan (tasyrif) tetapi ia adalah tanggungjawab dan amanah (taklif). Kepimpinan dan jawatan adalah amanah. Tidak semua orang mampu memikul amanah kerana amat berat tanggungannya. Amanah adalah satu hak yang dipertanggungjawabkan kepada seseorang samada tanggungjawab itu milik Allah (hak Allah) mahupun hak manusia (hak insan) baik berupa pekerjaan mahupun perkataan dan pekerjaan hati.

Di dalam satu hadis yang masyhur, Rasulullah saw bersabda: Daripada Abu Zar ra. katanya:
Aku bertanya: “Wahai Rasulullah! Tidakkah mahu engkau melantikku?” Baginda menepuk bahuku dan bersabda: “Wahai Abu Zar, Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya." (Riwayat Muslim) 

Amanah bererti melaksanakan suatu tugas-tugas syariat dengan penuh ketaatan dan tanggungjawab. Amanah juga membawa makna sifat atau keperibadian yang dipercayai. Kebanyakan orang suka menyempitkan pengertian amanah hanya menjaga urusan yang melibatkan kewangan sahaja, bahkan pengertian amanah di dalam Islam cukup luas dan berat tanggungjawabnya.

Allah SWT berfirman:
“Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.” (al-Ahzab:72) 

Tugas manusia di bumi meliputi khilafah, amanah dan ibadah. Amanah tidak sanggup dipikul oleh makhluk selain manusia walaupun mereka lebih besar dari segi fizikalnya dari manusia. Manusia sanggup memikul amanah dalam keadaan ia tidak tahu betapa besarnya amanah itu. Manusia juga berlaku zalim apabila ia mensia-siakan amanah.

Pensia-siaan amanah amat buruk kesannya. Ia mempunyai tiga pengertian iaitu:

1. Tidak melaksanakan atau melalaikan tugas-tugas keimanan dan syariat kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT:
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).” (al-Anfaal: 27) 

2. Penyerahan suatu urusan negara kepada bukan ahlinya atau orang yang layak untuk memikulnya seperti pemerintah, pengadilan, fatwa dan sebagainya.

Imam Bukhari rah. meriwayatkan dari Abu Hurairah ra, ia berkata: Bersabda Rasulullah saw:
“Apabila amanah telah disia-siakan, maka tunggulah saat-saat kehancurannya”. Salah seorang bertanya: “Bagaimana bentuk menyia-nyiakan amanah itu, wahai Rasulullah?” Baginda bersabda: “Apabila urusan itu diserahkan (dipercayakan) kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat-saat kehancurannya”. 

Al-Karmani berkata: “Maksud dari kata al-amr (urusan), yaitu semua jenis perkara yang terkait dengan agama, seperti Khilafah, kepemimpinan (al-imarah), peradilan (al-qadha’), jabatan mufti dan lainnya”.

3. Bersifat khianat, iaitu sifat yang buruk dan sangat tercela.

Sabda Rasulullah saw:
“Demi Allah, janganlah sekali-kali seorang daripada kamu mengambil yang bukan haknya, apabila ia melakukannya maka ia akan menemui Allah dalam keadaan memikulnya pada hari kiamat, saya tidak mengenali kamu yang menemui Allah dalam keadaan sedang membawa unta yang meraung atau sapi yang menguak atau kambing yang mengembek.” (Disepakati kesahihannya dari riwayat Abu Hamid Abdurrahman bin Saad as-Saidi) 

 'Sang pencatit: juga satu amanah, akan dipersoalkan apa yang dicatit'

Oleh itu, sifat amanah merupakan satu elemen penting yang perlu ada dalam diri setiap individu muslim agar setiap amanah dapat ditunai dengan sebaiknya. Amanah tersebut tidak boleh dipandang remeh dan enteng begitu sahaja. Setiap amanah merupakan satu kewajipan agama yang telah dipikulkan kepada setiap manusia.

Hilang amanah maka binasalah kehidupan ini.

*Peringatan buat diri...

1 comments:

Jofri said...

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, berkabung ialah memakai kabung sebagai tanda berdukacita atau memperlihatkan tanda-tanda sedang berdukacita. Lazimnya ungkapan takziah diucapkan untuk kematian. Walau bagaimanapun , tidak menjadi kesalahan jika digunakan untuk perkara musibah dan kesedihan bagi menyatakan turut berdukacita. Takziah, bermakna penyataan turut bersedih (berdukacita), belasungkawa. Perkataan ini bukan sahaja digunakan untuk kematian, tetapi juga menyatakan kesedihan dan dukacita. Kalau takziah digunakan untuk mereka yang memikul amanah kerana amat berat tanggungannya. Amanah adalah satu hak yang dipertanggungjawabkan kepada seseorang samada tanggungjawab itu milik Allah (hak Allah) mahupun hak manusia (hak insan) baik berupa pekerjaan mahupun perkataan dan pekerjaan hati. Maka orang yang baru menerima pasangan hidup dan mereka yang baru menimbang anak juga perlu diberi ucapan tahniah dan takziah? Tentu tidak sesuai kalau ucapan takziah digunakan kerana seolah-olah ianya berita yang mendukacita kepada mereka yang baru menerima berita gembira atas kurnian tersebut, Harap jangan salahgunakan makna bahasa yang sudah termaktub dalam dewan bahasa. Allahua'lam Terima kasih.

Post a Comment