Sahabat Sejati

Monday, 5 April 2010

Mencari makna hidup


Tatkala melintasi deretan lembaran ilmu yang tersusun rapi di atas rak, terpana seketika. Tumpuan mata saya melirik pada satu buku yang amat menarik tajuknya. Saya meringankan tangan untuk mencapainya lalu menyelak selembar demi selembar. Secara tiba-tiba tumbuh perasaan teruja pada isinya...

Hari silih berganti dan terus berlalu. Tanpa kita sedari, kita telah berada pada satu zaman yang penuh pancaroba. Tingkah laku manusia semakin tidak keruan dan amat menyesakkan. Cara manusia memandang dirinya semakin pudar. Sudah sering berlaku dimana seseorang manusia itu terlalu mudah menganggap dirinya tidak berguna, seorang yang gagal, malah muncul perasaan mahu mengakhiri hidup kerana ada waktu-waktunya terasa hidup ini sudah tidak bermakna.

Putus asa asa menyelubungi diri. Persoalan hidup terusir jauh dari kamus kehidupan. Bagaimana mahu kembali kepada tujuan hidup, lari dari kecelaruan pemikiran umat akhir zaman.

Persoalan hidup

Apakah erti kehidupan?

Bagaimana menyuntik kekuatan diri dalam menghadapi realiti kehidupan?

Apakah erti perjuangan bagi mencari makna sebuah kehidupan?
Pastinya ada jawapan. Namun ia memerlukan pandangan yang tulus. Terbit dari hati yang penuh keikhlasan dan keinsafan. Itulah pandangan mata hati. Maka jawapan yang hakiki segera ditemui.

Perjalanan hidup tidaklah selalunya indah, tidak sebagaimana yang kita mahukan. Tidak juga sebagaimana yang kita rancangkan. Usaha menggapai impian tidak selalu diiringi langit biru cerah. Kadang-kadang perlu merentasi badai, keringat dan airmata. Oleh itu untuk memperolehi impian perlu ada usaha dan kerja keras.

Kata pepatah:

“Semasa bawang dikupas lapis demi lapis, maka setiap lapis bawang yang dikupas merangsang kita mengeluarkan air mata.”
Demikianlah impian memerlukan kesungguhan.
Kejayaan tidak akan tercapai dengan bersenang lenang.
Melainkan menuntut pengorbanan.

Justeru, Mencari Makna Hidup muncul tepat pada masanya, untuk mengajar kita erti ketabahan dan kesungguhan. Tidak mudah patah semangat. Membuang anasir-anasir negatif yang bersarang di dalam diri, menyingkap topeng yang menutupi lantas mengenali diri yang menjadi ’musuh’ kepada diri sendiri.

Mencari Makna Hidup karya Bapak Parlindungan Marpaung mengingat kita perjalanan yang sedang kita lalui ini penuh liku dan gelombang. Oleh itu persediaan yang sebaiknya perlu disiapkan. Moga kita tidak tersungkur sebelum tiba ke garisan penamat.

Kerana hidup ini sesungguhnya satu perjuangan. Tidak ada kejayaan yang dapat diraih tanpa perjuangan, tiada hasil dalam hidup tanpa keringat dan air mata. Semakin kita berjuang untuk hidup, semakin hampir kita menemukan erti kehidupan sebenar.

Ibarat seuncang teh, ia hanya mengeluarkan sarinya selepas dicelup ke dalam air panas. Demikianlah halnya dengan hidup ini, kadangjkala dengan merasai kepayahan dan pahit getir kehidupan barulah dapat memahami erti kehidupan yang sebenarnya.
‘Mencari Makna Hidup’ dibahagi kepada beberapa bahagian:-

Bahagian 1: Cermin Diri Sendiri

Bahagian 2: Pandai Bersyukur

Bahagian 3: Hidup = Perjuangan

Bahagian 4: Belajar daripada Pengalaman

Bahagian 5: Menabung Kebaikan

Setiap bahagian ini dipecahkan kepada beberapa tajuk kecil yang digarap dengan cukup baik dan disampaikan melalui kisah-kisah inspirasi dan motivasi kehidupan.

‘Mencari Makna Hidup’ sentuhan Bapak Parlindungan Marpaung yang amat istimewa. Karya besar bagi yang berjiwa besar dan dambakan perubahan. Buat yang berjiwa kecil mudah-mudahan menjadi sumber inspirasi dan kekuatan untuk meneruskan perjuangan mencari makna hidup. Seterusnya sebagai peruntuh benteng yang membelit diri. Maka bangkitlah kesedaran, keberanian dan keyakinan untuk melakukan perubahan diri ke arah yang lebih baik. Dengan itu moga tersingkaplah tujuan hidup dalam perjuangan mencari makna hidup.
“Jangan mengukur dan mengeluh betapa tingginya sebuah gunung sebelum cuba mendakinya. Kerana selepas berjaya mencapai puncaknya, pasti kita menyatakan betapa rendahnya gunung itu.”
Raikan makna hidup yang sebenar...

Judul buku : Mencari Makna Hidup
Penulis : Parlindungan Marpaung
Penerbit : PTS MILLENNIA SDN BHD (678177-A)
m/s : 246 (SM :RM16.50 / SS :RM18.50)

0 comments:

Post a Comment