Sahabat Sejati

Monday, 12 April 2010

Dunia yang dicari


Malam minggu saya tidak ke mana-mana. Berehat bersama keluarga. Bukan selalu saya ada kesempatan sebegini. Akhir-akhir ini saya agak sibuk. Kebiasaannya pulang dari masjid saya akan terus ke Pusat Tarbiyyah, untuk menyusun program-program kemasyarakatan. Justeru, apabila ada peluang seperti ini, maka ia menjadi nikmat yang amat besar dan tak mungkin saya sia-siakan.

“Abi tak pergi Putra malam ni?” Tanya anak perempuan saya. “Biasanya malam-malam abi pergi ke sana,” sambungnya lagi.

“Tak, malam ni abi ‘ambil cuti’ nak rehat.”

Televisyen malam itu menyiarkan siaran langsung perlawanan akhir bolasepak piala FA, di antara Kedah dan Negeri Sembilan.

Setelah bertungkus lumus, bermandi peluh mengejar sebiji bola di padang akhirnya pasukan Negeri Sembilan muncul juara menerusi sepakan penalti, setelah kedua-dua pasukan terikat 0–0 termasuk masa tambahan. Sepatutnya Kedah boleh memenangi perlawanan tersebut tetapi peluang itu disia-siakan. Bukan sekali tetapi dua kali.

“Hampeh, frust rasanya,” getus saya di dalam hati. Apabila pasukan Kedah yang saya sokong tewas.

Bercakap tentang bola, saya teringat kata-kata Tuan Guru Datuk Ismail Kamus dalam satu kuliahnya: “Kalau nak tengok dunia, tengok orang yang bermain bola. Ditendangnya bola, dikejarnya semula. Setelah dapat bola, ditendangnya semula. Tak disimpannya bola itu, patutnya dah dapat bola bawalah balik.”

Lucu rasanya analogi yang dibuat, tetapi ada juga kebenarannya.

Katanya lagi: “Kita lihat manusia bertungkus lumus siang dan malam mencari kehidupan, mengumpul kesenangan. Sedangkan apa yang kita kumpul itu pasti kita tinggalkan. Tetapi apa yang pasti kita bawa ‘balik’ tidak pula kita bersusah payah mendapatkannya sebagaimana kita mencari dunia tadi.

Memang benar, kalau musim durian kita sanggup berjaga malam di kebun menunggu durian luruh, tetapi sanggupkah kita berjaga malam semata-mata untuk berqiamullail. Lebih-lebih lagi tahun ini berlangsungnya pusingan akhir Piala Dunia di Afrika Selatan. ‘Confirm’ berjaga malam. Tepuk dada tanya iman.

“Bangun..bangun.. bola dah nak mula, nanti terlepas rugi pula”

Mencari dunia dan akhirat

Tidak salah mencari kesenangan dan kekayaan, asalkan ianya dapat dimanfaatkan ke arah kebaikan dan ketaatan kepada Allah SWT. Dengan kekayaan juga kita dapat meningkatkan ekonomi umat Islam dengan cara mengeluarkan zakat, sedekah dan sebagainya. Apa yang kita bimbang jika kekayaan kita ini mengheret kita ke arah kebinasaan dan menjadi punca kemurkaan Allah SWT.

Islam adalah agama yang mengutamakan kebahagiaan dunia dan akhirat, tanpa meninggalkan salah satu darinya.

Sabda Rasulullah saw:

“Bukanlah orang baik daripada kamu mereka yang meninggalkan dunia kerana akhirat semata-mata dan bukanlah juga baik jika ia meninggalkan akhiratnya kerana mengerjakan dunianya semata-mata. Sebaliknya hendaklah ia berusaha mendapatkan kedua-duanya sekali, kerana dunia sebagai jambatan untuk menuju akhirat. Dengan sebab itu janganlah jadikan diri kamu itu kepayahan kepada orang lain.”

Jelas ingatan yang disampaikan oleh Rasulullah saw, iaitu mukmin yang baik ialah yang mengejar dunia tanpa mencicirkan akhirat dan memburu akhirat tanpa meninggalkan dunia. Mereka beramal dan beribadat dan dalam masa yang sama mereka berusaha mencari rezeki untuk keperluan hidup. Dunia adalah jambatan menuju akhirat, oleh itu pastikan usaha yang dilakukan di dunia dapat disalurkan ke akhirat.

Islam juga melarang umatnya hidup bermalas-malasan, berpeluk tubuh dan mengharap pemberian dari orang lain. Tetapi mestilah berusaha untuk memajukan diri disamping masyarakat sekeliling haruslah memberi sokongan dalam bentuk yang berbagai. Betapa cantiknya sistem muamalat yang diatur oleh Islam.
“Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan kebahagiaanmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan.” (Al-Qashah:77)

Mudah-mudahan kita dapat mengecapi damai jiwa.. kerana akhirnya setiap amalan itu akan dihitung.

0 comments:

Post a Comment