Sahabat Sejati

Sunday 2 May 2021

Dapat kad raya

'lama tak dpat kad raya'

Sudah lama saya tidak menerima kad raya. Seingatnya hampir dua dekad lamanya, sejak budaya berutus kad raya pupus sama sekali. Seiring dengan kad raya elektronik yang mula mengambil alih peranan. 

Tidak dinafikan, sesetengah orang lebih suka menggunakan kad raya elektronik kerana amat mudah dan tidak perlu mengeluarkan modal. Jika kad raya fizikal banyak yang perlu dilakukan. Bermula dari membeli sehinggalah mengeposnya. 

Namun bagi saya, kad raya fizikal lebih menjadi pilihan kerana nostalgia dan nilai sentimentalnya. Apa pun ia adalah hak dan pilihan masing-masing. Ada pro dan kontra yang perlu dihormati. Tetapi tidaklah pula saya menolaknya! 

Sebenarnya sehingga sekarang saya masih lagi membeli kad raya, walaupun bilangan kedai yang menjualnya sangatlah berkurangan. Jika ke pusat bandar, sekiranya ternampak kedai yang ada menjual kad raya, tanpa berlengah saya pasti membelinya. Bukan untuk dihantar kepada sesiapa tetapi lebih kepada simpanan peribadi, 

Malahan sejujurnya saya katakan, beberapa keping kad raya yang dibeli di zaman sekolah rendah masih lagi saya simpan. Saya membelinya daripada seorang guru yang menjualnya. Harganya dalam lingkungan 20 sen dan yang paling mahal 70 sen bergantung pada saiznya. 

Masih saya ingati, dulu-dulu kad raya digantung pada ranting atau ditampal pada dinding sebagai hiasan untuk menyerikan suasana lebaran. Entahlah, sekarang ini masih adakah lagi yang berbuat demikian. 

Kelmarin, saya menerima sekeping kad raya yang dihantar oleh seorang rakan fb. Terharu sungguh, bercampur gembira. Mula teringat nostalgia silam zaman muda-muda, sewaktu saling berutus kad raya apabila aidilfitri menjelang.

1 comments:

PeRdU cINta said...

Ya Allah, lama sangat tak dapat kad raya. Dulu zaman sekolah masing-masing bertukar-tukar kad raya.

Post a Comment