Sahabat Sejati

Wednesday 3 June 2020

Raya di sini, raya di sana..

'Anakanda Haikal yang istimewa@raya 2020'

Di dunia, setelah kita berpayah selama sebulan (Ramadhan), kita dihadiahkan Allah dengan hari raya fitrah ('Idul Fitri). Hari raya adalah hari gembira, hari makan dan minum, diharamkan kita berpuasa sebagaimana ditegah Nabi saw. Kita bertemu keluarga dan sahabat handai, mengucapkan salam dan berjabat tangan.

Di akhirat nanti, orang beriman setelah berpenat lelah di dunia -beribadah, bermujahadah mentaati Allah dan meninggalkan larangan-Nya, mereka dihadiahkan syurga, mengecapi kegembiraan untuk selamanya, tiada lagi sedih, bimbang, sakit, duka dan lara. 

Bergembira di samping pasangan masing-masing yang suci (Ali Imran; 15) dan bersama ahli keluarga dan zuriat/keturunan yang disatukan kembali bersama mereka" (al-Tur; 21). Memakai berlapis pakaian sutera; yang tebal dan yang nipis (al-Insan; 21), dengan gelang-gelang emas dan perak (al-Kahfi; 31).

Berehat di atas sofa-sofa, dilayan oleh anak-anak pelayan syurga yang mengelilingi mereka dengan gelas-gelas berisi minuman (al-Waqi'ah; 16-18). Minuman mereka bercampur kafur dan salsabil (al-Insan; 5 dan 18), begitu juga; tasnim (al-Mutaffifin, ayat 27), iaitu nama-nama mata air dalam syurga. 

Menikmati pelbagai buah-buahan syurga dan daging yang enak mengikut selera masing-masing (al-Tur; 22). Apa sahaja yang mereka ingini, cukup dengan bertasbih, lantas semua yang dihajati terhidang di depan mata (Yunus; 10). 

Sesama mereka saling mengucapkan salam. Malaikat turut mengucapkan salam. Malah Allah turut menyampaikan salam-Nya buat mereka (Yasin; 58).

Namun dari semua nikmat yang mereka rayakan itu tidak boleh menandingi nikmat teragung, iaitu; memandang kepada Allah SWT; 

"Wajah-wajah (orang beriman) pada hari itu berseri-seri, kerana memandang kepada Tuhan mereka" (al-Qiyamah; 22-23).

#mutiara al-Quran

3 comments:

Cikgu Badar said...

Masih belum terlambat ucap selamat hari raya

paridah said...

assalam ustaz moga sht sjhtera sekeluarga...wah hensem bergaya nanda Haiqal

norhidana said...

handsome Haiqal berbaju melayu siap samping lagi...

Post a Comment