Assalamualaikum warahmatullah.
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya, Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang sekali lagi berkesempatan menjayakan program Korban dan Aqiqah bagi tahun yang ke-15. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada para peserta dan pihak yang terlibat dalam menjayakannya.
Ibadah korban merupakan satu ibadah sunnah yang diangkat kemuliaannya oleh Rasulullah saw. Oleh itu, sebagai umat Islam kita seharusnya menjadikan ibadah yang sangat mulia ini sebagai ibadah tahunan untuk dilaksanakan.
Ini kerana program ini membolehkan kita untuk berkongsi dengan golongan yang kurang berkemampuan. Mereka tentunya akan mensyukuri nikmat pemberian daging korban ini.
Manakala di pihak yang menyumbang pula, akan terpancar rasa gembira yang tidak terhingga kerana dapat membantu meringankan kesusahan yang menimpa saudara seakidah. Apatah lagi fokus lokasi korban ialah kawasan pedalaman, negara minoriti umat Islam dan yang ditimpa musibah.
Rasulullah saw menjelaskan dengan sabdanya:
“Seseorang Muslim adalah saudara kepada saudara seorang Muslim yang lain, tidak boleh menzaliminya dan tidak boleh menyerahkan (kepada si zalim) dan sesiapa yang menunaikan hajat saudaranya nescaya Allah menunaikan hajatnya, sesiapa yang melepaskan seseorang Muslim daripada satu kesusahannya, nescaya Allah melepaskannya daripada satu kesusahan daripada banyak kesusahan di hari akhirat, dan barangsiapa yang menutup keaiban seseorang Muslim nescaya Allah menutup keaibannya di dunia dan akhirat.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Rasulullah saw juga bersabda:
"Allah SWT akan sentiasa membantu hambanya selama mana hambanya itu membantu saudaranya yang lain.” (Muslim)
Selain itu, Yayasan Amal Malaysia juga menyempurnakan penyerahan waqaf al-Quran kepada madrasah dan masjid yang memerlukan. Mudah-mudahan memberi keselesaan kepada pihak yang menerimanya.
Semoga semua pihak yang terlibat samada secara langsung maupun tidak langsung dalam melaksanakan misi korban kali ini mendapat keberkatan dan rahmat Allah SWT di dunia dan akhirat.
Akhir kalam, saya mengucapkan Selamat Tahun Baru Hijrah 1441 kepada semua umat Islam. Semoga dengan pelaksanaan ibadah korban dan ketibaan tahun baru ini kita akan sentiasa bersatu untuk membangun ummah yang sejahtera.
Sekian, wabillahi taufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Berkhidmat untuk Kemanusiaan - Beramal kerana Allah
1 comments:
Alhamdulillah....
Post a Comment