Sahabat Sejati

Monday 19 August 2019

Definisi Tauhid?

Soalan: 
Apakah definisi Tauhid?

Jawapan:

Tauhid dari segi bahasa berasal daripada perkataan وَحَّدَ yang memberi maksud tunggal atau satu. Kemudian, dari perkataan tersebut, maka terbitlah kalimah . Antara makna kalimah Tauhid ialah: 

· Menurut Qamus al-Muhit, Tauhid bererti menjadikan sesuatu itu satu. 

· Menurut Hasyiah al-Bajuri iaitu kitab syarah kepada kitab al-Jauharah, yang bermaksud mengetahui bahawa sesuatu itu adalah satu. 

Tauhid dari segi syarak pula ialah: · Meng-Esakan Allah dengan ibadat serta meyakini ke-Esaan tersebut pada zat, sifat-sifat dan perbuatan-Nya. 

· Pengertian yang lain pula ialah: Menetapkan ke-Esaan zat yang tidak menyamai segala zat yang lain, tanpa melakukan penafian terhadap segala sifat-sifatnya. 

· Al-Syeikh al-Iji pula telah mendefinisikan ilmu Tauhid sama seperti definisi ilmu Kalam. Katanya: “Ilmu Kalam itu ialah ilmu yang mampu memberi ketetapan pada kepercayaan dan keyakinan agama berdasarkan hujah-hujah serta menolak sebarang kesamaran.” Beliau menghasilkan sebuah buku tentang aqidah yang bernama al-Mawaqif fi `Ilmi al-Kalam. 

· Syeikh Junaid al-Baghdadi berkata: “Tauhid ialah meng-Esakan yang (bersifat dengan) Qidam dari yang baru.” · 

Dalam syarah Jauharah al-Tauhid menyatakan: “Suatu ilmu yang mampu memberi kefahaman dan penjelasan aqidah agama, yang diambil dari dalil-dalil yang diyakini.” 

Di dalam Jauharah al-Tauhid, pengarangnya menyebut tiga perkara asas yang dibincangkan dalam ilmu Tauhid, iaitu: 

· Ilmu mengenai Ketuhanan iaitu ianya meliputi ilmu Uluhiyyah, Rububiyyah dan nama serta sifat-sifat Allah SWT. 

· Ilmu mengenai Kerasulan iaitu sifat yang wajib bagi para Rasul, sifat yang mustahil dan sifat yang harus serta semua perkara yang berkaitan dengannya. 

· Perkara-perkara sam’iyyah (iaitu perkara ghaib) seperti azab kubur, nikmat kubur, mizan, hisab dan lain-lain. Maksud sam’iyyah ialah perkara yang tidak mungkin diketahui melainkan melalui pemberitahuan oleh al-Quran dan Sunnah, dan perkara itu di luar dari kemampuan akal manusia. 

Kesimpulannya, tauhid ialah ilmu yang mampu menetapkan kepercayaan beragama dan menyumbang kepada ketetapan keyakinan, hasil dari dalil dan bukti yang benar-benar meyakinkan. Ilmu tauhid lebih tertumpu kepada skop mencerita dan membahaskan ke-Esaan Allah SWT. Ilmu ini juga dikenali dengan nama ilmu Kalam, ilmu Aqidah, dan ilmu Usuluddin.

sumber: Irsyad fatawa

3 comments:

paridah said...

Assalam ustaz moga sihat sejahtera bersama keluarga...penjelasan ilmu yg amat bermanfaat...terima kasih.

Warisan Petani said...

Tk, info bermanfaat

norhidana said...

terima kasih atas perkongsian...
teringat dulu2 ada belajar pasal tauhid masa sekolah agama, cuma tak ingat masa darjah berapa...

Post a Comment