Melepek. Keletihan yang teramat sangat, mungkin di tahap tepu. Sofa di ruang tamu di bawah kipas yang ligat berputar menjadi tempat beradu melepaskan kelelahan.
'Sikecil Haikal yang istimewa pun rasa damai dan gembira' |
Dua hari bergelar penghuni hutan, dua hari juga bertukar menjadi penjarah deru alur sungai. Hutan tidaklah terlalu tebal tetapi tidak ramai yang mahu berkunjung ke situ. Laluan masuknya sahaja begitu tampak sukar dengan permukaan yang tidak rata bahkan memerlukan pacuan empat roda untuk sampai rapat ke tepi tebing. Memang melelahkan tetapi sudah cukup untuk mendamaikan jiwa saya kerana jauh dari hiruk-pikuk kebejatan hutan batu.
Sudah lama saya tidak beraktiviti begini. Kalau dulu paling tidak sebulan sekali saya akan keluar mencari hutan hijau, alur jernih atau pun mencari pulau yang dikelilingi kebiruan samudera. Mendengar tingkah reriang rimba dan cengkerik malam, yang akhirnya saya jadi hanyut dan lupa pada kekusutan minda yang bersarang.
'Melelahkan tetapi jiwa beroleh kerehatan' |
Bersama detik waktu, bersama denyut nadi, saya menikmati perasaan damai ini. Dikelilingi oleh ciptaan Allah SWT yang dicipta dengan kekuasaan-Nya. Hutan, pepohon, sungai, kicauan mergastua, bongkah-bongkah batu yang berserakan, tidak lupa tajam duri manau dan rotan, umpama melambai selamat datang.
Teringat kata-kata murabbi: "Kita tenang dengan alam semulajadi kerana ia adalah ciptaan langsung Allah SWT, justeru membawa kita dekat kepada-Nya. Jika mendekati ciptaan Allah itu mengundang damai dan tenang, apatah lagi jika kita mendekati-Nya terus pada zikir dan fikir yang langsung."
Inilah ubat sakit jiwa dan sakit perasaan yang paling mujarab. Membawa diri dekat dengan ciptaan-Nya. Saya benar-benar merasainya. Walau jasad dibalut kelelahan, namun jiwa beroleh kerehatan. Alhamdulillah.
Inilah ubat sakit jiwa dan sakit perasaan yang paling mujarab. Membawa diri dekat dengan ciptaan-Nya. Saya benar-benar merasainya. Walau jasad dibalut kelelahan, namun jiwa beroleh kerehatan. Alhamdulillah.
1 comments:
Alhamdulillah bila kita ikhlas membuat sesuatu semudahnya kita dapat rehat
Post a Comment