Semalam seorang sahabat mengirim satu pesanan ringkas.
"Assalamualaikum akhi, Ramadhan 62 hari lagi.."
Saya membalas, "Wassalam. Terima kasih atas ingatan mesra.."
Pejam dan celik, Ramadhan bakal berkunjung tiba. Sekira-kira dua bulan jarak masa yang memisahkan. Jangkamasa dua bulan bukanlah terlalu lama. Siang dan malam yang berganti, maka habislah tempoh dua bulan tersebut. Sementelah lagi peredaran masa zaman ini yang seakan semakin singkat sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadis akhir zaman.
Daripada Anas bin Malik ra. berkata: Rasulullah saw bersabda: "Tidak akan terjadi qiamat sehingga masa menjadi singkat maka setahun dirasakan seperti sebulan dan sebulan dirasakan seperti seminggu dan seminggu dirasakan seperti sehari dan sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu petikan api".
(Riwayat at-Tirmizi)
Masa dirasakan berlalu begitu cepat. Belum sempat berbuat sesuatu, tiba-tiba masa sudah terlalu suntuk menjengah malam, sehingga banyak perkara yang belum dapat diselesaikan. Kita seakan-akan sibuk, tetapi kita tidak faham apa yang disibukkan. Kita diburu masa dan ia berlalu dengan tidak ada perkara yang dapat kita selesaikan. Demikianlah singkatnya masa.
Berbicara mengenai Ramadhan, tiba-tiba saya diterpa dengan sesuatu yang menyentak. Ingatan melayang-layang lalu hinggap di ruangan mata. Pastinya wajah saudara-mara dan sahabat handai yang telah 'pergi'. Dua minggu lepas seorang sahabat sekampung yang saya kenali sejak zaman sekolah rendah telah kembali ke rahmatullah. Tentunya sahabat saya ini dan mereka yang telah pergi tidak mengetahui bahawa Ramadhan yang lalu adalah yang terakhir buat mereka.
Saya jua diulit kebimbangan. Apakah saya dapat bertemu dengan Ramadhan pada tahun ini ataupun sebaliknya. Jangkamasa dua bulan yang masih berbaki, tiada jaminan untuk masih mampu menghirup udara di dunia ini. Entah-entah telah tertulis suratan di sisi-Nya, saya juga tidak dapat bertemu dengan Ramadhan tahun ini. Ataupun boleh jadi sempat bertemu Ramadhan tetapi tidak mampu untuk menghabiskannya hingga ke hari terakhir. Siapa tahu?
Justeru, dalam tunduk bersimpuh lemah, saya memohon kepada Tuhan yang Maha Pengasih agar dianugerahkan kesempatan untuk bertemu dengan Ramadhan yang berkat ini.
Allahu al-Musta`an.
3 comments:
Assalamualaikum
Mudah2an sempat
Assalam moga ustaz sht sejahtera sekeluarga...hati pun berdebar menunggu hadir Ramadan..insyaaAllah mudahan kita bertemu dengannya.
Semoga bertemu Ramadah ..bulan keampunan dan rahmat berlimpah
Post a Comment