Sahabat Sejati

Sunday, 29 April 2018

Cerita gunting rambut 'si Haikal'


Dek kesibukan yang menghimpit di tahap ‘gaban’ dalam 2 bulan ini, selama tempoh itulah ‘si kecil Haikal yang istimewa’ tidak bergunting rambut (termasuk saya kerana selalunya kami bergunting sekali). Sementelah lagi rambut si Haikal jenis lebat dan kasar, Jadi, jika dibiarkan panjang, nampak besar kepalanya dengan rambut tebal tersebut.

Dulu, dalam sibuk-sibuk ke hulu dan hilir, ada anakanda along Ikhwan mengambil alih tugas membawa adiknya ke kedai gunting. Tidaklah perlu saya fikirkan sangat hal rambut si Haikal ini. Tetapi along Ikhwan sudah pun berangkat ke Mesir menyambung pengajiannya. Genap setahun di sana pada 21 April baru-baru ini.

Jumaat kelmarin, sekembali dari tempat kerja, tanpa bertangguh saya membawa si Haikal ke kedai gunting. Tidak jauh mana, berhampiran taman perumahan saya juga. Kebetulan pula saya pulang awal sedikit dan tidak singgah di mana-mana. Jadi, kelompangan masa yang ada perlu dimanfaatkan. Bimbang juga jika bertangguh lagi, entah bila pula masanya.

Terdapat beberapa buah kedai gunting di sini, tetapi yang biasa saya kunjungi hanya dua buah sahaja. Satu milik anak muda tempatan, manakala sebuah lagi milik seorang berketurunan Melayu-Siam. Selalunya saya bertukar-tukar bergunting rambut dengan dua kedai tersebut. Kalau bulan ini di kedai A, bulan seterusnya di kedai B pula. Ekoran sering bergunting di kedua kedai tersebut, akhirnya menjadi mesra dan bersahabat baik pula. 

Asalnya saya selalu bergunting rambut di kedai milik anak muda tempatan. Tetapi ada sedikit 'ragamnya', iaitu tatkala selesai bergunting rambut si Haikal, berlakulah dialog: "Tak apa bang, tak perlu bayar saya belanja.." Kalau sekali sahaja tak apa, tetapi ia berlaku setiap kali membawa si Haikal bergunting. 

Saya tidaklah menyalahkan tukang gunting tersebut, tidak sekali-kali. Niat baiknya ingin membuat amal. Cuma dari satu sudut terbit juga rasa segan pada diri saya, terutama apabila ramai pelanggan di dalam kedai. Terasa semua anak mata melirik ke arah saya. Pernah satu kali saya berkeras menghulur juga duit bayaran bergunting, dengan keras juga beliau menolak sambil memasukkan kembali duit tersebut ke dalam poket baju kemeja yang saya pakai. 

Selepas itu saya beralih pula ke kedai gunting satu lagi milik orang Melayu-Siam. Ingatkan selepas ini tidaklah berlaku lagi adegan demikian. Rupa-rupanya jangkaan saya tersilap. Sahabat yang ini juga melakukan perkara yang sama. Tidak mahu menerima duit bayaran bergunting rambut si Haikal. Alasannya sama, mahu beramal. Hmm, memang murah rezeki sungguh si Haikal. Tetapi saya pula dalam dilema yang bersangatan.

Sekarang ini saya membuat giliran apabila bergunting rambut si Haikal (selalunya saya turut bergunting sekali). Jika bulan ini di kedai A, maka dua bulan lagi di bulan B. Begitulah seterusnya. Mengapa tidak ke kedai lain pula? Bukan tidak mahu, tetapi kedai lain tidak berapa nak 'sekong' (sesuai). Lain yang dipinta lain pula yang jadi. Hilang kehenseman..(senyum)

Sesekali jika bersua dengan mereka, saya akan mengajak mereka 'ngetea' dan membayarnya sekali. Bukan apa untuk mengimbangi keadaan tersebut. Dia belanja kita, kita belanja diorang pula. Sama-sama beramal.     

3 comments:

paridah said...

Assalam moga ustaz sht sjhtra sekeluarga...Alhamdulillah murah rezki Haiqal...ramai orgkta yg prihatin n suka beramal.

saniahibrahim said...

Assalammualaikum ustaz
Anak istimewa memang murah rezekinya .mereka juga mahu kan pahala bersedekah pd ank2 ini.

Nor Azimah Ali said...

Alhamdulillah, rezeki anak tu, takpe terima saja, hihi..

Post a Comment