"Baitul Maqdis kini bukan lagi milik Palestin, tetapi menjadi ibu kota Israel."
Itulah yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. Sehubungan itu, pengiktirafan yang dilakukan dijangka seiring dengan pengumuman memindahkan Kedutaan AS di Israel dari Tel Aviv ke Jerusalem yang terletak di Baitul Maqdis.
Baitul Maqdis merupakan kota suci ketiga bagi umat Islam. Setelah dibuka oleh Saiyidina Umar bin al-Khattab, kota ini menjadi simbol keamanan sejagat, apabila menjadi tumpuan kepada penganut agama Islam, Kristian dan Yahudi dalam satu kawasan yang sama. Sejarah membuktikan bagaimana manusia berbilang agama dan bangsa boleh hidup dalam aman dan harmoni, tanpa sebarang konflik, di bawah keadilan pemerintahan Islam.
Walaupun Baitul Maqdis pernah menyaksikan pertumpahan darah dalam Perang Salib, tetapi keamanannya berjaya dikembalikan oleh Salahuddin al-Ayyubi. Sejak itu, kota Baitul Maqdis terus menjadi contoh sebuah bandar yang aman. Sehinggalah wujudnya pergerakan Zionis yang melancarkan kempen untuk menjadikan Baitul Maqdis itu sebagai negeri milik bangsa Yahudi, rantau itu mula bergolak.
Pergerakan Zionis menggunakan proksi kuasa besar dunia untuk memenuhi kehendak politik mereka merampas Baitul Maqdis. Bermula dengan perjanjian Sykes-Pikot pada tahun 1916 yang mengagihkan negara Arab kepada penjajah Barat, diikuti dengan Deklarasi Balfour pada tahun 1917 yang kononnya mengiktiraf tanah Palestin itu sebagai negara bagi Yahudi.
Beberapa hari yang lalu, 100 tahun selepas Deklarasi Balfour, Zionis melalui sekutu utama mereka, Presiden Amerika Syarikat, sekali lagi telah mencabar keamanan di Baitul Maqdis, apabila mengisytiharkan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel yang baru. Tindakan Donald Trump ini merupakan satu perkara yang perlu dikutuk, kerana bakal mengundang konflik dan sengketa yang baru dan akan berlarutan, bukan sahaja di Palestin, tetapi di seluruh dunia.
Sebagai seorang Muslim, marilah sama-sama kita menyatakan kemarahan dan ketidaksetujuan kita terhadap tindakan tersebut. Jangan biarkan hari ini berlalu, tanpa kita mengambil tahu terhadap kezaliman yang berlaku ke atas bumi Palestin. Bermunajatlah kepada Allah, agar Baitul Maqdis dan Masjid al-Aqsa terpelihara daripada sebarang cubaan rampasan atau penjajahan.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Ma’idah ayat 82:
"Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik."
Allahu al-Musta`an..
Allahu al-Musta`an..
0 comments:
Post a Comment