'1 Malaysia menyambut pengunjung yang datang ke UTC Pahang' ~ sumber foto
Alhamdulillah, proses membuat kad pengenalan anakanda Haikal di bangunan UTC berlangsung dengan lancar. Tanpa perlu menunggu lama, tidak sampai 2 jam sudah pun siap sepenuhnya. Melirik senyum anakanda Haikal apabila melihat kad pengenalannya diserahkan oleh petugas kaunter. Saya pun turut tersenyum melihat gelagatnya.
Asalnya saya berkira-kira, samada nak ke pejabat utama Jabatan Pendaftaran Negara negeri Pahang atau ke UTC. Kalau dulu-dulu, pengalaman saya berurusan di pejabat JPN negeri Pahang sebelum wujudnya UTC, memang mengambil masa sedikit menunggu proses selesai. Tetapi itu dulu, sekarang ini entahlah, mungkin tidak lagi. Cuma satu lagi lokasinya di luar pusat bandar.
Dalam keadaan kepala ligat berfikir "ke mana, ke mana", saya membelok motosikal ke pusat bandar menuju ke bangunan UTC. Rasanya urusan di situ lebih mudah dan pantas, saya 'berijtihad' sendiri. Lagipun ia terletak di pusat bandar. Sementara mahu menunggu kad pengenalan siap bolehlah 'menderak' ke mana-mana dulu bersama anakanda Haikal. Setidaknya kedai makan berhampiran Masjid Negeri adalah destinasi yang pasti dikunjungi. Melayani anakanda Haikal menikmati roti telur dan milo suam kesukaannya.
Alhamdulillah, belum pun panas punggung duduk, nombor sudah pun dipanggil. Usai urusan yang perlu, "datang sejam lagi ambil kad pengenalan", kata petugas di kaunter. Teringat ucapan PM Najib sewaktu julung kali merasmikan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pahang, katanya falsafah disebalik kewujudan UTC ialah di antaranya, menjimatkan masa. Betullah tu! Tapi ada masa-masa, lambat juga (senyum).
Insya-Allah, sejam lagi kami datang. Sekarang ini kami berdua mahu mengisi perut dahulu. Roti telur dan milo suam menanti di restoran berhampiran Masjid Negeri. Jika masih punya masa lagi, saya akan memimpin anakanda ke Taman Kerang menjenguk-jenguk barang-barang antik yang dijual di situ. Mana tahu jika tersua dengan buku-buku lama yang menarik, pasti saya beli!
Alhamdulillah, syukur ya Rabb...
0 comments:
Post a Comment