Sambungan daripada : Solatullah wasalamu `ala Rasulillah (29) di bawah tajuk besar (DALAM NAUNGAN KENABIAN DAN KERASULAN)
foto hiasan (sumber)
Jibril Turun membawa Wahyu
Setelah usia baginda genap 40 tahun (yang dianggap sebagai puncak kesempurnaan jiwa manusia dan dikatakan bahawa para nabi diangkat menjadi rasul pada usia ini) bermulalah tanda-tanda kenabian melambai dan memancarkan kilaunya kepada baginda dari balik ufuk kehidupan. Tanda itu berupa mimpi yang benar. Baginda bermimpi kelihatan seperti fajar menyinsing di waktu subuh. Hal itu berlaku selama enam bulan.
Baginda memikul amanah kenabian selama 23 tahun dan mimpi yang benar itu termasuk salah satu daripada 46 tanda kenabian baginda. Hingga akhirnya pada bulan Ramadhan, pada tahun ketiga sejak baginda beruzlah di Gua Hira'. Allah berkenan melimpahkan rahmat kepada baginda untuk menjadi pemimpin bagi seluruh penghuni bumi. Allah memuliakan baginda dengan kenabian dan mengutus Jibril kepada baginda dengan membawa beberapa ayat al-Quran.(1)
Dengan mengamati dan menganalisis pelbagai bukti dan dalil, kita dapat memastikan bahawa peristiwa itu terjadi pada hari Isnin. Secara tepatnya pada malam ke-21 dalam bulan Ramadhan, bertepatan dengan tarikh 10 Ogos 610 M. Ketika itu umur Nabi Muhammad tepat 40 tahun 6 bulan 12 hari berdasarkan perkiraan bulan. Sedangkan, jika menggunakan perkiraan matahari, umur baginda waktu itu ialah 39 tahun 3 bulan 22 hari.(2)
Kaji perbualan Aisyah, puteri as-Siddiq yang meriwayatkan kisah peristiwa tersebut untuk kita. Peristiwa yang merupakan pancaran sinar Ilahiah, yang menyingkap tabir gelapnya kekufuran dan kesesatan hingga mampu mengubah jalan kehidupan dan meluruskan garis sejarah. Aisyah bercerita:
"Permulaan yang dialami oleh Rasulullah saw menjelang turunnya wahyu adalah mimpi yang benar ketika baginda tidur. Baginda bermimpi melihat fajar menyinsing pada waktu subuh. Semenjak itu baginda mula menyendiri di Gua Hira'. Baginda beribadah di dalamnya untuk beberapa malam, selepas itu baru pulang menemui Khadijah yang juga tinggal berdekatan dengan Gua Hira'.
Rujukan:
(1) Ibnu Hajar mengatakan, "Baihaqi menyatakan bahawa mimpi yang benar itu berlangsung selama 6 bulan. Oleh itu, permulaan mimpi yang benar yang merupakan petanda awal kenabian terjadi pada bulan baginda dilahirkan iaitu, Rabiul Awal. Peristiwa itu terjadi setelah umur baginda genap 40 tahun. Namun, wahtu pertama yang turun kepada baginda dalam keadaan sedar (tidak tidur), terjadi pada bulan Ramadhan." Lihat Fath al-Bary, jil. I, hal. 27.
(2) Para sejarawan berbeza pendapat berkaitan dengan bulan apa Allah memuliakan Nabi Muhammad dengan kenabian dan menurunkan wahyu pertama. Sebahagian mereka berpendapat peristiwa itu terjadi pada bulan Rabiul Awal, sementara sebahagian lain menyatakan ia terjadi pada bulan Ramadhan. Ada pula yang menyebutkan pada bulan rejab. Lihat Abdullah bin Muhammad an-Najdy, Mukhtashar Sirah ar-Rasul, hal. 75.
Saya merajihkan pendapat yang kedua, iaitu terjadi pada bulan Ramadhan. Berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 185, "Bulan Ramadhan, yang padanya diturunkan al-Quran." Dan dalam surah al-Qadr ayat 1, "Sesungguhnya Kami menurunkannya pada malam al-Qadr." Malam al-Qadr terdapat dalam bulan Ramadhan. Inilah yang dimaksudkan oleh firman Allah SWT dalam surah ad-Dukhan ayat 3, "Sesungguhnya Kami telah menurunkannya pada malam yang penuh keberkatan. Dan sesungguhnya Kami benar-benar memberi peringatan." Kesimpulannya "malam yang penuh keberkatan" ini terjadi dalam bulan Ramadhan diambil kerana Rasulullah berdiam diri di Gua Hira' sepanjang bulan Ramadhan dan turunnya Jibril pertama kali kepada Nabi Muhammad dengan membawa wahyu terjadi pada bulan Ramadhan.
Seterusnya para pengkaji masih berbeza pendapat lagi dalam menetapkan hari pada bulan Ramadhan tatkala pertama kali wahyu diturunkan. Ada yang berpendapat pada hari ke-7 bulan Ramadhan. Ada yang mengatakan pada hari ke-17. Ada juga yang mengatakan pada hari ke-18. Lihat Abdullah bin Muhammad an-Najdy, Mukhtashar Sirah ar-Rasul, hal. 75 dan Muhammad Sulaiman al-Mansyurfuri, Rahmah li al-`Alamin, jil. 1, hal. 49. Dalam Muhadharat Tarikh al-Umam al-Islamiyyah, jil. I,hal. 69, al-Khudari menekankan bahawa peristiwa itu terjadi pada hari ke-17.
Saya berpendapat peristiwa itu terjadi pada hari ke-21meskipun tidak ada ulama yang mengatakan demikian. Ini adalaj kerana pakar sejarah (majoriti atau bahkan keseluruhannya) bersepakat bahawa pengutusan Nabi Muhammad sebagai rasul terjadi pada hari Isnin. Mereka menguatkannya dengan riwayat hadis daripada Abu Qatadah bahawa Rasulullah pernah ditanya tentang puasa pada hari Isnin, maka baginda menjawab, "Pada hari itu aku dilahirkan dan pada hari itu diturunkan wahyu kepadaku." Di tempat lain diriwayatkan dengan lafaz, "Itu adalah hari aku dilahirkan dan hari aku diutus atau diturunkan wahyu kepadaku." Lihat Sahih Muslim, jil. I, hal. 368; Musnad Ahmad, jil. V, hal. 297; Sunan al-Baihaqi, jil. IV, hal. 286, 300 dan Mustadrak al-Hakim, jil. II, hal. 602.
Hari Isnin dalam bulan Ramadhan pada tahun tersebut terjadi pada hari ke 7, ke-14, ke-21 dan ke-28. Sementara riwayat-riwayat sahih menunjukkan bahawa Lailatulqadar terjadi pada malam-malam ganjil, pada 10 malam terakhir bulan Ramadhan. Jatuhnya Lailatulqadar untuk setiap tahun selalu berganti-ganti antara malam-malam ganjil.
Oleh yang demikian, apabila kita mengaitkan antara firman Allah, "Sesungguhnya Kami telah menurunkannya pada malam yang penuh keberkatan," dengan riwayat Abu Qatadah bahawa pengutusan Nabi Muhammad sebagai rasul terjadi pada hari Isnin ditambah lagi dengan hitungan secara ilmiah pada hari Isnin bulan Ramadhan yang tahun itu jatuh pada tarikh apa sahaja, maka kita boleh menarik kesimpulan bahawa diutusnya Nabi Muhammad sebagai rasul terjadi pada malam ke-21 bulan Ramadhan.
(Adaptasi daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd)
Bersambung...
2 comments:
Assalamualaikum ustaz..
Terimakasih berkongsi sirah Nabi .Dapat mengetahui lebih mendalam lagi kisah baginda tatkala menjadi Rasul.
p/s terima kasih ucapan yang diberi di blog akak.
Alhamdulillah terima kasih ustaz atas perkongsian ini
Tutorial Cara beli vivix untuk mereka yang nak beli pada harga paling jimat & untung
Post a Comment