Sahabat Sejati

Monday 27 November 2017

Kami datang duhai oftalmologi!

'Menunggu hujan teduh di HTAA petang tadi'

Saat jari-jemari saya mengetuk butang-butang huruf pada papan kekunci laptop baru ini, hujan telah pun sidang. Sudah dua hari hujan turun di tempat saya dengan sesekali lebat, sesekali rengai-renyai. Di luar sana suara katak galak bersahutan memanggil hujan agar turun lagi. Terhibur juga deria dengar saya dengan sahutan haiwan dua alam tersebut. Namun, di sisi yang lain, tasbih sang katak yang bersahutan menimbulkan kegusaran. Bimbang jika hujan turun lagi setelah mendapat perkhabaran beberapa tempat telah menakung air.

Pagi tadi sekali lagi saya memenuhi satu lagi temujanji anakanda 'sikecil Haikal yang istimewa'. Kali ini di unit oftalmologi, atau bahasa senangnya klinik mata. Seawal jam 7.30 pagi saya dan anakanda Haikal membelah aspal jalan. Kebetulan pula, ketika itu hujan telah berhenti walaupun di dada langit dengan gumpalan awan hitam yang sedia memuntahkan isinya bila-bila masa. 

Tawakkal, dengan lafaz basmalah dan doa, saya 'berijtihad'.. "bawa motor dah la...insya-Allah sempat sebelum hujan turun." Maka meluncurlah kapcai yang banyak berjasa ini menumpangkan saya dan anak istimewa ke destinasi yang dituju. Alhamdulillah, sempat juga saya dan anakanda Haikal tiba di hospital walaupun dengan sedikit kebasahan. Ditimpa renyai-renyai halus ketika dalam perjalanan. 

Kenapa tak bawa kereta? Oh, bukannya apa, ragam di hospital tempat saya ini sudah pun lali sangat. Mahu mencari 'parking' untuk kenderaan bertayar lebih daripada dua, ya Rabbi.. punyalah seksa. Kekadang dua atau tiga kali berpusing pun belum tentu dapat petak 'parking'. Disebabkan itu saya lebih selesa menunggang motosikal. Cuma di musim hujan ini, mahu tak mahu kena bawa kereta juga jika tiada pilihan. 

Hasil pemeriksaan hari ini ada sedikit rasa gembira. Walaupun beberapa kali bersalin bilik, mula-mula pemeriksaan di bilik 4, kemudian berpindah pula ke bilik 9. Setelah itu perlu ke bilik 13 dan akhirnya balik semula ke bilik 9. Tapi tak mengapalah, semuanya baik-baik aje. Alhamdulillah, gembiranya apabila perawat memaklumkan bahawa anakanda Haikal perlu membuat cermin mata baharu, tetapi 'power' kantanya semakin berkurangan. 

Ya, di situlah letak duduk berita gembira. Tiada dalam jangkauan fikiran saya 'power' kantanya boleh berkurang kerana seingat saya pemeriksaan yang sebelum ini, 'powernya' perlu ditambah ujar sang perawat. Tetapi hari ini sebaliknya pula. Maknanya sekarang mata anakanda Haikal semakin baik kondisinya, demikianlah kesimpulan saya. Mudah-mudahan begitulah perkembangannya di masa-masa akan datang.

'Pameran Kanser Mulut di ruang legar HTAA'

Selesai temujanji, sekira-kira kami mahu pulang, hujan pula turun dengan lebat berserta dengan guruh dan kilat. Terpaksalah melabuhkan punggung sebentar di ruang legar hospital sementara menanti hujan teduh. Kebetulan pula di ruang legar tersebut diadakan pameran kanser mulut, jadi berpusing-pusinglah kami melihat pameran. Tidaklah kebosanan sangat. Disamping itu, sempat juga bertanya itu dan ini kepada petugas pameran berkaitan kanser mulut. Dapat jugalah input serba sedikit.

Apa pun, temujanji hari ini sudah pun selesai. Insya-Allah, bulan depan pula datang bertandang. Apa pula ceritanya, wallahu a`lam. Tidak mahu saya menduga, semua di dalam ilmu-Nya Yang Maha Bijaksana. Tiada apa yang perlu dirisaukan kerana, "DALAM URUSAN DUNIA LIHATLAH ORANG YANG LEBIH RENDAH DARIPADA KAMU." Pengajarannya, supaya kita sentiasa bersyukur dengan apa yang dimiliki, bukan persoal apa yang kita tiada... 

Allahu al-Musta`an...

3 comments:

saniahibrahim said...

Assalamualaikum ustaz
Betul lah ,kalau bawa kereta memang sukar nak pakir,sama je dimana2 hospital.
Alhamdulillah dah bertambah baik mata sikecil Haikal...mudah2an berterusan.

Etuza said...

Asalam ustaz..semoga terus bahagia walau ada kesusahan..hadapi dengan tenang inshaAllah pasti bertambah ketaqwaan

paridah said...

Assalam ustaz moga sht sjhtra sekeluargga...alhhamdulillah mata sikecil Haiqal semakin baik kondisinya...xpayahlah difikirkan soal esok sbb rahsia-ya tiada yg tahu

Post a Comment