'Desa tercinta'
Saya memberhentikan kenderaan di bawah pokok kelapa gading yang sedang galak berputik. Angin petang yang bertiup tenang memberikan kesegaran kepada saya. Di hadapan mata deretan rumah teres yang melatari pandangan. Saya mendongak-dongakkan kepala memerhati sekeliling untuk mencari sesuatu. Sedikit kecewa. Memori seakan kelam kerana banyak ‘tanda’ yang telah hilang.
Hari ini kami sekeluarga pulang ke kampung. Setelah menziarahi saudara-mara, tidak lupa juga pusara kaum keluarga tercinta, saya membawa anak-anak menyusuri jalan tar kecil menghala ke baruh dengan harapan ada sesuatu yang boleh ditunjukkan kepada mereka. Lazimnya, sesuatu yang sering saya lakukan apabila pulang ke kampung. Mahu menyapa pakcik dan makcik di beranda yang kian keuzuran dimamah usia serta menyusuri di pelusuk denai kampung yang masih ada.
Hati sentiasa meronta-ronta mahu menunjukkan kepada anak-anak sesuatu yang pernah mengitari kehidupan abi mereka, seorang budak kampung yang naif. Saya mahu mereka semua menyelami sebuah kehidupan yang tidak mungkin akan mereka kecapi kini. Sekurang-kurangnya ada detikan di hati mereka, “oh inilah desa dan asal-usul abi...” Serba kekurangan tanpa sebarang gajet moden, namun sentiasa mengundang bahagia.
Entahlah, di sisi yang lain, kadang-kadang saya terfikir, apakah sebenarnya yang saya mahu tunjukkan kepada mereka? Atau ia lebih kepada mengulang nostalgia kepada diri sendiri.
Saya pernah menulis, “rindu tidak pudar seiring masa”. Semakin usia bertambah, semakin menebal rasa rindu. Rindu tidak semestinya pada seseorang, boleh jadi rindu itu pada suasana persekitaran, kehidupan atau masa lalu dan sebagainya. Itulah yang saya rasakan ketika ini. Ya, semakin jauh masa lalu ditinggalkan, semakin menebal saya rasakan kerinduan padanya.
“Kalaulah masa itu dapat diundurkan...”
Paya itu asalnya bendang
'Asalnya paya, sebelum itu bendang yang terbentang'
“Dulu, di sinilah di antara tempat abi dan kawan-kawan bermain. Tangkap ikan laga, panjat pokok, tahan jerat burung ruak-ruak.” saya memberi muqaddimah kepada anak-anak.
“Sekarang ini semua dah tak ada, dah jadi perumahan.” Saya menyambung kata.
Mereka semua mengangguk.
Bagaikan masih segar diingatan, dulunya ia adalah kawasan paya, tempat saya dan rakan-rakan sebaya meranduk mencari kepuasan diri. Zaman budak-budak, tidak pernah ada kerunsingan, bahkan setiap waktu yang dilalui sentiasa penuh dengan keriangan. Biarpun sakitnya telinga dipulas emak tatkala pulang lewat petang dengan betis kotor berselut, tetapi tiada perasaan serik. Esok buat lagi, budak-budak!
Dulunya pemandangan biasa di kawasan ini, burung bangau terbang lalu hinggap di belakang sang kerbau yang sedang asyik meragut rumput. Ada juga yang hinggap di lopak-lopak air mengintai anak-anak ikan untuk habuan tembolok.
Ah, kami pun sama naik dengan sang bangau dan sang kerbau. Meranduk lopak-lopak paya mencari sesuatu, tanpa menghiraukan si lintah yang sentiasa dahaga mahu menghisap darah kami. Dari satu belukar rimbas ke belukar rimbas kami menjarah. Di dalam benak tidak pernah terfikir akan si sawa batik yang mungkin sedang melingkar menunggu habuan. Tidak pernah pula kami mendengar ada penduduk kampung yang menjadi mangsa di baham si sawa. Tidak pernah lagi.
Kata arwah nenek dulu, paya di kampung kami asalnya bendang padi. Memang hairan juga pada mulanya apabila melihat banyaknya paya di kampung kami. Rupa-rupanya ia adalah bekas bendang padi. Sebahagian besar daripada penduduk kampung mengusahakan sawah padi pada masa itu, selain ada yang menjadi penoreh getah dan berkebun. Walaupun sudah banyak yang ditimbus dan diratakan semahunya, lalu di situ dinaikkan tiang berceracak menjadi kawasan perumahan, tetapi masih ada lagi saki-baki terutama di sebelah hujung kampung.
'Ini sahaja yang tinggal, binaan konkrit tali air'
Saya tidak sempat dengan zaman orang kampung menanam padi. Kegiatan mengusahakan sawah padi sudah lama terhenti. Saya tidak dapat menjangkakan dengan tepat, mungkin diawal tahun 70-an atau mungkin lebih awal daripada itu. Tetapi satu tanda yang masih tinggal ialah pintu air yang digunakan untuk mengairi bendang masih ada lagi. Masa budak-budak dulu selalu saya bermain di situ dan ia masih berfungsi dengan baik. Seingat saya pemegang kunci pintu air tersebut bernama Pak Hamid (arwah), garangnya ya Rabbi. Rumahnya berhampiran dengan kunci air tersebut. Pernah beberapa kali saya melihat Pak Hamid membuka pintu air untuk melepaskan air ke sungai. Wah, seronok melihat air berpusu-pusu laju mengalir ke sungai.
Lima tahun dulu ketika lalu di situ saya lihat yang tinggal hanya kerangka konkritnya. Stering pemulas, tiang, rantai besi yang memegang pintu air dan segala komponen yang diperbuat daripada besi sudah tiada. Agaknya dicabut sekerat-sekerat oleh pencari besi buruk, mungkinlah. Tali air itu pun sudah semakin sempit dengan semak-samun dan hutan menerung yang subur di kiri dan kanan.
Seronoknya jika dapat bersawah...
foto hiasan: sumber
Sesekali apabila pulang ke kampung, tatkala melihat saki-baki paya yang masih tinggal, saya cuba membayangkan bagaimana suasana menanam padi. Saya membayangkan bagaimana tanah dibajak dengan kerbau yang gagah. Kemudian benih padi ditabur dan menunggu ia tumbuh, selepas itu menyemainya pula di petak semaian dengan menggunakan kuku kambing. Sehinggalah penuh sepetak demi sepetak, serelung demi serelung, lalu sawah bendang menjadi hamparan hijau yang saujana mata memandang.
Kemudian apabila padi mulai masak menguning mulalah sibuk berperang dengan burung Tiak yang begitu ganas meratah padi. Terpaksalah pula memasang ‘orang-orang’ untuk menghalau si Tiak yang berkawan itu. Jika ‘orang-orang’ tidak berhasil, maka dipasang pula tali yang diikat dengan plastik, tin dan sebagainya. Tali itu kemudiannya bersambungan mengelilingi sawah. Apabila si Tiak datang, maka ditariklah punca tali tersebut sehingga berkocak tin dan berkibaran plastik. Terkejutlah si Tiak lalu bertempiaran terbang ke sana ke mari.
Sehinggalah padi mula betul-betul masak tunduk menguning, lalu dituai dengan sabit bengkok yang bergerigis matanya. Kemudian padi dihempas di tong bujur, dijemur di bawah terik matahari sambil menjaga daripada gangguan ayam yang memang gemar melahapnya. Setelah itu padi ditumbuk dengan lesung indik untuk menceraikannya daripada kulit.
Ahh, semuanya saya cuba putarkan di lubuk memori agar terserap larut seolah-olah saya sendiri pernah melaluinya.
Saya tidak pasti mengapa orang kampung kami meninggalkan kerja menanam padi ini. Entahlah, mungkin pada masa itu zaman ekonomi gawat, jadi menanam padi tiada untung lagi. Atau mungkin sudah tidak berdaya dek kerana faktor usia, manakala anak-anak pula tidak mahu mewarisi kerja-kerja bergelumang dengan selut lumpur. Mereka lebih senang bekerja makan gaji di sektor perkilangan atau di dalam pejabat yang berhawa dingin.
Akhirnya, bendang yang sudah menjadi paya ditimbus dan diratakan, kemudian dinaikkan tiang yang berceracak untuk didirikan rumah kediaman. Demikianlah senario yang berlaku di desa saya nan permai. Ada juga yang terbiar begitu sahaja sehingga ditumbuhi semak-samun dan hutan menerung. Menjadi tempat pertapaan katak, ular, biawak dan bermacam-macam serangga. Tetapi sampai bila pun saya tidak pasti. Tiba masanya mungkin ia juga akan ditimbus dan diratakan semahunya.
2 comments:
Di sebelah Pekan nampak ada juga tanah paya yg ditanami padi semula setelah lama terbiar. indah sekali pandangannya. Tanaman padi boleh dimajukan di daerah ini kerana dekat saliran air sungai phg n secara bantuan jentera tanpa perlu bnyk gunakan tenaga manusia seperti di Rompin.
Kita berasal dari kampung yg dulunya belum membangun bila diceritakan pada anak-anak mereka sebenarnya sekadar mampu membayangkan saja sebab tak berpeluang macam kita merayap sana-sini sampai berpeluh-peluh. Gelihati bila ingat kan AI tapi seronok itu tak mungkin kembali lagi..
Post a Comment