Sahabat Sejati

Monday 18 April 2016

Seeru `ala barakatillah...jalan-jalan ke Pekan


Alhamdulillah, petang semalam saya dan keluarga sekali lagi ke daerah Pekan untuk menziarahi anakanda Ikhwan yang belajar di Kulliah Sultan Abu Bakar. Bukan ada apa-apa perkara yang penting pun, sekadar mahu bertemu dan bertanya khabar. Sementelah lagi hari Sabtu minggu ini saya tidak mempunyai apa-apa komitmen atau program, jadi bolehlah ke sana. 

Saya melalui jalan bypass menuju ke Permatang Badak dan terus ke masuk ke simpang Pekan berhampiran Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) di Batu 6. Pemanduan seterusnya amat selesa dengan jaringan jalan raya yang baik, 2 lorong sebelah. Tetapi jika tidak mengejar masa saya lebih suka menggunakan jalan Pantai Sepat berhampiran Penor. Dapatlah mencuci mata dengan pemandangan kampung-kampung dan pepohon menghijau di kiri dan kanan jalan. Jalan pantai Sepat ini juga akhirnya bertemu dengan jalan yang sama di hadapan KIPSAS.   



Lebih kurang 40 minit sampailah kami di depan pintu pagar Kulliah Sultan Abu Bakar. Kenderaan diluncurkan terus menuju ke blok asrama pelajar lelaki. Bertemu anakanda Ikhwan, seperti biasa mulutnya yang petah dengan bermacam-macam cerita. Termasuklah minggu lepas, beliau dan kumpulan nasyidnya dijemput mengadakan persembahan sempena program 'Syria Care'di SMK Nenasi. Hari ini pula kumpulannya mengadakan persembahan dalam majlis konvokesyen Kulliah Sultan Abu Bakar bagi meraikan pelajar STAM 2015. Semoga sentiasa sukses duhai anakandaku...insya-Allah, tetapi bernasyid jangan sampai mengabaikan pelajaran. 



Sebelum meninggalkan Pekan Bandar Diraja, kami menyusuri Jalan Sultan Ahmad untuk membeli kuih-muih yang dijual di gerai yang terdapat di sana. Di Jalan Sultan Ahmad ini juga terletaknya Muzium Sultan Abu Bakar. Muzium ini mempamerkan barang-barang antik, termasuk banyak barang-barang China kuno yang diperbuat daripada kaca dan tembikar, serta barang-barang yang berkaitan dengan sejarah semula jadi, arkeologi, etologi, dan raja. Sejarah Pahang, khususnya yang berkenaan dengan raja-raja kunonya, didokumenkan dengan baik dalam muzium ini.

Bangunan muzium ini asalnya bangunan kayu dua tingkat yang dibina oleh Inggeris pada tahun 1888 untuk kediaman Residen British yang pertama di Pahang, J.P Rodger. Pada 1898, ibu negeri Pahang dipindahkan dari Pekan ke Kuala Lipis dan bangunan ini dijadikan tempat penginapan Residen-residen Inggeris yang datang menjalankan tugas-tugas rasminya di bandar Pekan. Pada tahun 1929, bangunan kayu ini digantikan dengan bangunan batu dua tingkat seperti yang terdapat sekarang ini. Ketika pendudukan Jepun di Tanah Melayu, bangunan ini digunakan sebagai markas pegawai-pegawai tentera Jepun.

Dalam tahun 1948, bangunan ini telah diduduki oleh DYMM Almarhum Sultan Abu Bakar sebagai menggantikan Istana Sri Terentang. Bangunan ini kemudiannya dikenali sebagai Istana Kota Beram yang menjadi tempat persemayaman baginda dan menjalankan upacara-upacara yang lain. Pada tahun 1954, lantaran kedudukan ruang-ruang di dalam istana yang agak terhad, kerajaan negeri telah membina bangunan tambahan untuk dijadikan balai yang dikenali dengan Balairung Seri.

Pada tahun 1970, YAB Perdana Menteri Tun Haji Abdul Razak dalam pertemuannya ketika itu dengan penduduk Pekan telah mengusulkan agar diwujudkan sebuah Muzium Pahang, bertujuan untuk mengumpul dan mempamerkan sejarah dan kebudayaan negeri Pahang. Lanjutan daripada itu, pada tahun 1974, kerajaan negeri Pahang telah mengkaji keperluan menubuhkan muzium ini. Satu Jawatankuasa Kerja telah ditubuhkan untuk mengubahsuai Istana Kota Beram kepada Muzium Negeri. Muzium ini kemudiannya dinamakan sebagai Muzium Sultan Abu Bakar bersempena dengan istana yang pernah menjadi tempat persemayaman baginda.

Pada tahun 1975, satu Enakmen telah diluluskan oleh Majlis Perundangan Negeri Pahang dan diwartakan Kerajaan pada 14 Ogos 1975. Melalui enakmen ini Kerajaan negeri Pahang telah menubuhkan satu badan pentadbiran muzium yang dikenali sebagai Lembaga Muzium Negeri Pahang yang bertanggungjawab terhadap pengurusan muzium ini. Pada 21 Oktober 1976, DYMM Sultan Haji Ahmad Syah, Sultan Pahang telah berkenan menyempurnakan pembukaan rasmi Muzium Sultan Abu Bakar. Semenjak daripada itu, muzium ini terus giat mengumpul dan mempamerkan kesan dan tinggalan sejarah serta kebudayaan tradisional negeri Pahang. (Arkib Negara)



Dah pun sampai. Gerai ini terletak betul-betul di hadapan Masjid Sultan Ahmad Syah Pekan yang juga dikenali dengan nama Masjid Kubah 10. Bermacam-macam jenis kuih yang dijual. Ada kuih yang tidak pernah saya lihat, namanya pun pelik-pelik. Selain menjual kuih-muih, turut dijual air kelapa dan air tebu sejuk. Sesuai sangat untuk dinikmati pada musim panas sekarang ini. Selain gerai ini ada satu lagi gerai di sebelahnya, tetapi saya tidak pernah singgah. Insya-Allah nantilah jika saya datang ke sini lagi. 



Sambil-sambil menikmati kuih-muih, badan pula terasa nyaman dengan hembusan angin dari terusan ini. Entah apa nama terusan ini, tidak pula saya bertanya kepada penduduk tempatan. Terusan ini bersambung dengan satu anak sungai dan mengalir terus ke Sungai Pahang. Sebut Sungai Pahang, teringat dalam buku Geografi masa sekolah dahulu ditulis, "Sungai Pahang ialah sungai terpanjang di Semenanjung Malaya iaitu sepanjang 459km. Sungai itu berhulu di pertemuan Sungai Jelai dan Sungai Tembeling dan mengalir ke Laut China Selatan."

Di dalam satu artikel saya membaca mengenai persoalan iaitu di mana hulu Sungai Pahang? Sangat menarik! Disebutkan, Sungai Pahang tiada hulunya sekadar ada kuala. Hulunya masih belum diketemukan sehingga hari ini. Sekiranya Sungai Tembeling (Hulu Tembeling) hendak dijadikan hulu Sungai Pahang, mengapa ada kualanya (Kuala Tembeling). Seperti juga dengan Sungai Jelai yang ada hulunya tetapi tiada kuala. Di pertembungan air Sungai Jelai dan air Sungai Tembeling disebut orang Kuala Tembeling. Wallahua`lam. Artikelnya panjang, nantilah saya kongsikan. Insya-Allah.
  


Pemandangan masjid lama Pekan yang dikenali dengan nama Masjid Sultan Abdullah yang terletak bersebelahan dengan masjid Sultan Ahmad Syah. Dibina pada tahun 1929 dan dibuka dengan rasminya pada tahun 1932, bersebelahan dengan makam Diraja. Masjid ini sudah tidak digunakan lagi apabila masjid Sultan Ahmad Syah dibuka denga rasminya.
    


Alhamdulillah, selamat sampai di Kuantan. Singgah berehat dan sembahyang maghrib dulu di Masjid Sultan Ahmad 1 sebelum meneruskan perjalanan pulang ke rumah. Seeru `ala barakatillah! 

5 comments:

saniahibrahim said...

Assalamualaikum,
Banyak yang dapat akak mengetahui tentang sejarah sebahagian dari negeri Pahang dari membaca entry ustaz ni...terima kasih memberi ilmu.

Kakzakie Purvit said...

Kakak membayangkan kakak ikut jalan sama hihi... seronok juga sebelum tiba utk ziarah anak mata dah dijamu dgn bermacam-macam. Anak-anak kakak pun sama agak aktif dlm nasyid dan musabaqah. Tapi dah remaja ni kakak dah kurang berilah sebab perempuan. Tapi yg di Unisza tahun lepas rasanya akhirlah dia masuk musabaqah sebab nak cukupkan aktiviti agar tak kena duduk luar. Jadi bila aktif masih berpeluang duduk dlm asrama yg dekat dgn kampus. Lepas ni dah tak payahlah...

Kubah 10 tu masjid dia kakak bayangkan mesti besar sebab kubahnya ada 10. Baca N3 AI ni banyak kakak tahu tentang Pahang:)

Nor Azimah Ali said...

Tq, byk infonya walau pun tk semua mampu diingat semula, tapi ingin juga nk tau maklumat lanjut ttg masjid kubah 10, knp namanya begitu..

Alhamdulillah, pertemuan melepas rindu antara anak beranak, semoga anaknya menjadi ank yg berbakti dewasanya nanti.

Nor Azimah Ali said...

Tq, byk infonya walau pun tk semua mampu diingat semula, tapi ingin juga nk tau maklumat lanjut ttg masjid kubah 10, knp namanya begitu..

Alhamdulillah, pertemuan melepas rindu antara anak beranak, semoga anaknya menjadi ank yg berbakti dewasanya nanti.

paridah said...

Assalam semoga ustaz n famili sht sejhtera sentiasa...bandar diraja pekan di pinggir sungai pahhang sgt indah n banyak tempat2 meenarik yg boleh dilawati...dh lama juga x ke sini.

Post a Comment