Gambar di atas merupakan sebuah papan tanda yang dipasang di hadapan sebuah masjid di negeri Pahang. Saya percaya semua masjid meletakkan papan tanda seperti ini untuk mengingatkan sesiapa yang singgah untuk bersolat atau ke bilik air. Bagus, satu peringatan kepada semua.
Papan tanda yang serupa juga kelihatan di perkarangan pejabat agama, mahkamah syariah, sekolah agama dan sebagainya. Dari satu sudut, ia adalah satu usaha yang sangat baik kerana memang sepatutnya tempat-tempat tersebut perlu dijaga kesuciannya sebagai institusi agama, seumpama menutup aurat, menjaga tingkahlaku dan sebagainya. Namun, dari sudut yang lain, wujud kebimbangan jika ada yang terkeliru seolah-olah kewajipan menutup aurat itu hanya ketika berada di tempat-tempat tersebut. Ada yang berfikiran begitu.
Saya teringat satu pengalaman yang pernah dialami. Ketika itu saya menziarahi seorang saudara yang berada di hospital. Tatkala masuk waktu solat, saya ke surau di wad berkenaan. Sejurus tiba (sebuah bilik yang dijadikan surau) saya melihat seorang lelaki yang berseluar pendek sedang bersandar di dinding luar surau berkenaan. Manakala di celah ketiaknya terkepit sehelai kain pelikat. Saya yang melihatnya merasa hairan. Tiba-tiba datang seorang perempuan berusia menegurnya.
"Abu (bukan nama sebenar) dah sembahyang?"
"Dah mak", jawabnya sambil tersenyum.
Saya tambah hairan. Tetapi sekurang-kurangnya dia sembahyang, cuma bab aurat itu yang tidak berapa cantiknya.
Bukanlah niat saya mahu menceritakan keaiban seseorang. Tidak sekali-kali! Aib saya sendiri ber'lana-lana'. Cuma mahu berkongsi satu pengalaman yang pernah dilihat. Boleh jadi dia sudah berubah, siapa tahu. Tetapi itulah yang berlaku di hadapan mata saya.
Menutup aurat bagi lelaki dan wanita muslim adalah satu kewajipan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Sebagai hamba-Nya, kita perlulah akur dan patuh dengan ketetapan ini. Apakah Islam melarang berfesyen dan bergaya? Tidak! Islam sekali-kali tidak melarang untuk bergaya atau kelihatan cantik. Malahan, disebutkan di dalam hadis tentang Allah sukakan kepada keindahan. Tetapi di sana ada garis panduan yang telah ditetapkan dan wajib diikuti.
Marilah kita bermuhasabah, apakah perintah dan larangan dalam agama bersifat mahu mengongkong atau menyekat kebebasan. Sekiranya difikirkan, setiap apa yang ada di dalam agama sebenarnya memberikan kebaikan kepada kita. Mungkin kita yang tidak menyedarinya.
Peringatan buat diri saya...
4 comments:
Kalaulah kakak ada peluang dan dibenarkan utk buat papan tanda mahu kakak pasang / derma pun tak apa papan tanda yg begitu bukan saja di tempat begitu AI. Tapi kakak nak pasang di tempat laluan org ramai. Tutup aurat bukan di tempat beribadah aje. Beriadah/bersukan pun kena tutup aurat.
Pengalaman kakak tiap hujung minggu. Ini betul AI. Subuh kami solat satu masjid. Lepas subuh bertembung lagi di padang utk riadah tapi dah berseluar ketat baju tangan pendik tanpa tudung. Macamana tu? Sedih kan.. Moga dia cepat sedar dan segera bertaubat.
Nak masuk ke pejabat2 tertentu atau ke kawasan sekolah pun ada papan tanda berpakaian sopan kan..
Bagus ada peringatan macam tu...sesekali depa terbaca..boleh menyedarkan individu berkaitan...Insya Allah
ASSALAM...ELOKLAH SALING MENGINGATKAN DEMI KEBAIKAN SEMOGA ALLAH YG MENGAMPUNI KESILAPAN KITA YG BERLANA-LANA DOSANYA...HEH..HEH..DH LUPA AKSARA NI USTAZ USTAZ TKSH INGATKANNYA...
Post a Comment