'sebelum diperah air limau'
Malam ini, santapan agak lebih sedikit kuantitinya. Rasa berselera mencicip apa yang terhidang. Tidaklah semewah mana, sekadar satu dua mata lauk. "Hidangan rakyat marhein", getusan kata hati.
Alhamdulillah, masih lagi diberikan rezeki untuk kehidupan. Masih dikurniakan nikmat selera dan lidah untuk merasa enaknya apa yang dimakan. Bagaimana jika nikmat-nikmat ini tiada. Selera tidak terbuka tatkala menghadap aneka hidangan. Melihat apa yang terhidang di atas meja makan seumpama melihat dedahan kayu dan ketul-ketul batu. Bagaimana pula lidah yang boleh meneka aneka rasa, tiba-tiba manis, masin, pahit dan masam menjadi satu rasa, tawar dan hambar. Tidakkah ini sangat menyulitkan.
"Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?"
Serangkap ingatan Allah SWT, bahawa terlampau banyak nikmat yang telah diberikan kepada manusia. Justeru, tidak memadai untuk manusia ingkar kepada-Nya sedangkan apa yang telah diberikan tidak mampu dihitung-hitung.
Menu makan malam ini cuma satu dua mata lauk. Namun seleranya lain, mungkin yang membuka selera saya malam ini ialah goreng ikan pekasam. Saya pasti sahabat-sahabat sangat kenal dengan jenis makanan ini. Agaknya, dek kerana keenakannya sehingga timbul peribahasa yang berbunyi: "Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan." Maknanya memang bersungguh-sungguh mahu mengambil pekasam tersebut untuk dibuat lauk. Kalau tidak takkan disebut pekasam. Kenapa tidak disebut tempoyak, jeruk, atau lain.-lain. Apa pun, lupakan pasal peribahasa tersebut kerana ia bukan kisah yang menjadi tujuan entry ini ditulis.
Ikan pekasam banyak kedapatan di negeri-negeri sebelah utara, juga di pantai timur. Ikan yang sedap untuk dibuat pekasam biasanya ikan sawah seperti ikan sepat, haruan, keli dan puyu. Ikan air tawar lain seperti ikan lampan jawa, merah mata, temperas, mengkawan, kepar, kalui, loma, tilapia dan belida juga boleh digunakan. Proses penyediaan bermula dengan ikan yang disiang dan dibersihkan terlebih dahulu sebelum diperap bersama ketulan garam kasar selama sekurang-kurangnya tiga minggu atau sehingga tiga hingga lima bulan. Ini dilakukan dengan tujuan untuk memastikan ikan sebati dengan garam selain melembutkan dagingnya. Ikan yang telah diperap itu kemudiannya akan disalut dengan serbuk beras yang telah di goreng dan dikisar sebelum diteruskan diperap lagi selama lebih kurang dua minggu.
'sedang memilih ikan pekasam di pasar pagi Temerloh'
Ikan pekasam milik saya ini bukan dibeli di utara, tetapi dibeli di pasar pagi Temerloh. Memang, sekiranya ke Temerloh pada hari Ahad, saya akan bertolak pada awal pagi kerana mahu singgah membeli ikan pekasam di situ selain membeli benda lain. Yalah, di Kuantan mana ada orang menjual ikan pekasam. Tidak pernah lagi saya menjumpainya. Tetapi tidak tahulah jika ada sahabat-sahabat yang pernah menemuinya di Kuantan. Kalau ada bagitaulah saya, selepas ini tidak perlulah saya bermusafir jauh ke Temerloh semata-mata mahu membeli ikan pekasam.
Pertama kali saya mencuba ikan pekasam ini apabila dihadiahkan oleh salah seorang pelajar yang menjalani latihan di bawah selian saya. Beliau berasal dari gugusan Lepar Utara. Katanya, ikan pekasam tersebut dibuat sendiri oleh ibunya. Beliau juga yang mengajar saya agar menggoreng ikan pekasam tersebut bersama hirisan bawang, lada dan serai. Kemudian sebelum dihidangkan hendaklah diperah air limau nipis. Saya mencuba resepi baru tersebut, dan rasanya memang cukup berbeza berbanding digoreng begitu sahaja. Aromanya sahaja sudah bisa melaparkan perut. "Poh palih awak, sedap ngat", kata orang Jerantut. Tidak perlu lauk yang banyak, cukup dengan nasi panas berkuahkan kicap. Kata orang, "pak mertua lalu di belakang pun tidak sedar."
Cubalah, insya-Allah anda pasti mau lagi!
11 comments:
Assalam,kami kat Johor ni tak begitu popular bab ikan pekasam ni tapi pertama kali kakak buat sendiri anak2 begitu berselera wlpun mkn tanpa lauk lain sehinggakan setiap bulan puasa kakak pasti buat utk menambah selera mereka bersahur.
Assalam,kami kat Johor ni tak begitu popular bab ikan pekasam ni tapi pertama kali kakak buat sendiri anak2 begitu berselera wlpun mkn tanpa lauk lain sehinggakan setiap bulan puasa kakak pasti buat utk menambah selera mereka bersahur.
mak suke beno ikan pekasam ni.pernh try tpi xboleh nk msuk, iman lg suke ikan masin gelama sedap nyerrrrrrrrr
assalam...ikan pekasam sungai pahang berbeza sedapnya dengan pekasam ikan darat di utara tu..pada kak setuju sgt dgn selera ikan pekasam yg dibuat dgn ikan2 sungai di sini... tapi ikan yg masin ni xboleh dimakan selalu takut hp pula..
Tempat kakak ni payah nak jumpa ikan pekasam AI
Itu yg kalau ada yg memberi atau ada peluang kakak tak lepas punya. Kakak ada cerita tentang pekasam ni AI. Jangan ketawakan kakak tau:) Dulu kakak ingatkan yg berpasir tu pasir jadi kakak cuci sampai bersih tapi tak bersih. Terus aje goreng. Sekali tu belum lama tau kakak rasa tahun lepas baru kakak tahu yg kakak sangka pasir tu kisahnya beras... naif betul kakak ni kan..:) Kakak tahu AI mesti gelak kan..
Memang feveret sangat pekasam ikan darat / air tawar ni..kalau jumpa mesti beli punya. Tapi sekarang kat tempat saya susah sangat dah nak jumpa..
Salam kak Saniah,
Memang ikan pekasam ni popular di sebelah utara dan pantai timur. Tapi kalau akak gheti buat, bagus tu...tak perlulah nak mencari jauh-jauh...
Salam puan ImanFarizul,
Ikan gelama masin pun sedap juga. Saya pun suka. Lebih2 lagi yang tak berapa kering, tempat saya panggil 'mamba'..
Salam kak Paridah,
Memang berbeza rasa walaupun nama sama, ikan jenis yang sama..mungkin kerana air sungai yang berbeza agaknya. apapun di usia begini (saya) memang kena makan berpada-pada, hp tu yang takut..
Salam kakzakie,
Rupanya akak pun suka ikan pekasam...Insya-Allah ada masa dan upaya nanti saya poskan...Apapun kisah akak basuh ikan pekasam tu memang kelakar, tidak mampu saya nak menahan gelak, mohon maaf kak,hehehe
Salam Normala Saad,
Tu la kalau jumpa beli banyak2...lagipun ikan pekasam ni tahan lama.
Post a Comment