foto hiasan (sumber)
Masalah jerebu telah reda beberapa minggu yang lalu apabila bacaan IP-nya mula turun ke paras selamat (warna biru). Maka urusan kehidupan kembali berjalan seperti biasa. Sudah tidak kelihatan yang memakai topeng muka untuk mengelakkan implikasi jerebu ini. Kebimbangan mula semakin hilang.
Tiba-tiba, hari ini berita mengenainya mula memenuhi ruang laman sesawang. Saya sendiri dihujani dengan perkongsian tentang jerebu daripada sahabat-sahabat menerusi aplikasi whatsapp. Belum selesai lagi rupanya musibah ini. Teringat peristiwa dua minggu lepas gara-gara jerebu...
Bergegas saya ke Pulau Tawar Jerantut pada hari itu untuk membawa pulang anak sulung di sekolahnya. Ketika itu jam sudah pun melewati 3.30 petang. Mujurlah hari Ahad, kalau hari biasa tentu agak sulit juga.
Asalnya dia menelefon setelah pihak sekolah meminta semua pelajar pulang ke rumah masing-masing. Ini berikutan arahan KPM mengenai penutupan sekolah selama 2 hari di negeri Pahang dan negeri lain yang terlibat. Memandangkan hari telah lewat petang saya terpaksa mengambilnya di sekolah. Jika hari masih awal, bolehlah dia pulang dengan menaiki bas ekspres.
Setiba di ‘exit’ Maran, anak ketiga saya yang bersekolah di Alor Akar pula menelefon, memberitahu hal yang sama seraya meminta mengambilnya di sekolah.
“Ah..sudah, macamana ni?”
Menepuk dahi saya memikirkan perjalanan yang sudah pun jauh. Takkan nak berpatah balik semula ke Kuantan, kemudian memulakan kembali perjalanan ke Jerantut. Teruk begini. Namun, jika itu pilihan yang ada maka terpaksalah akur sahaja.
Dalam kekalutan tersebut, mujurlah ada seorang rakan sekelasnya yang tinggal di taman perumahan berdekatan mempelawa beliau menumpangkan kenderaan ayahnya, dan mengikut ke rumahnya dahulu. Tetapi sahabat-sahabat jangan salah sangka, kerana maksud berdekatan itu bukanlah dekat dalam erti kata yang sebenar. Maksudnya ialah rumah rakannya yang paling dekat berbanding yang lain. Jika mahu diikutkan jauh juga sebenarnya. Hendak buat macamana, itu pilihan yang terbaik yang saya ada. Apa pun, ungkapan puji-pujian bagi Allah atas sifat rahmat dan kasih sayang-Nya yang memudahkan setiap urusan.
Hmm, gara-gara jerebu, kelam-kelibut jadinya....
Saya sekadar menjentik.
Bagaimanakah sepatutnya kita mengambil pengiktibaran daripada musibah jerebu ini? Apakah hanya dengan menyalahkan negara jiran atas apa yang berlaku sambil mengutuk-ngutuk di laman sesawang? Dan juga berfikir tentang usaha membenihkan awan semata-mata dengan tujuan mengurangkan jerebu?
Kita bernasib baik kerana jerebu yang menyelubungi ruang udara kita tidaklah seteruk yang dialami negara-negara jiran (jika benar laporannya). Bahkan Malaysia cuma mengalami mencapai tahap IP berkali ganda lebih rendah berbanding dengan negara jiran Indonesia. Khabarnya di sana sehingga mencecah 2 ribu lebih dengan tahap amaran warna kuning iaitu tahap beracun. Wal`iyazubillah.
Benar, kita melihat jerebu berlaku kerana onar dari negara jiran akibat perbuatan pembakaran terbuka yang sangat berleluasa. Kita sudah tentu boleh menyalahkannya. Namun, jika sekadar itu maka ia hanya sampai setakat itu tanpa apa-apa pengajaran.
Sesungguhnya Allah SWT menciptakan alam ini untuk manfaat dan kebaikan kepada seluruh mahkluk. Manusia bebas memanfaatkan alam ini untuk kepentingan mereka. Namun, terdapat segelintir manusia yang rakus mengejar kemewahan dunia. Mereka tidak berhemah dan tidak langsung menghargai peranan alam sekitar kepada keseimbangan kehidupan. Lalu mereka mengganggu dan memusnahkan keseimbangan ekosistem yang ada. Mereka menganggap ia satu peluang kemewahan dan kebijaksanaan dalam menggunakan teknologi moden, hakikatnya mereka adalah pemusnah dan perosak alam ini.
Marilah kita menerima hakikat bahawa bencana ini bukan ‘kejadian alam tanpa sebab’. Ia adalah amaran Allah. Ia adalah peringatan yang perlu diperhati dan difikir-fikirkan. Janganlah kita terlalu saintifik sehingga tidak sudi memikirkan hakikat ini. Tiada kerosakan yang berlaku di muka bumi ini kecuali dengan asbab.
Firman Allah SWT di dalam surah Ar-Rum ayat 41:
“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”.
Bukan sahaja jerebu, malahan apa sahaja musibah yang berlaku tentu ia akibat daripada kemusnahan alam ini yang dilakukan oleh tangan-tangan yang rakus. Lebih daripada itu, akibat melanggar hukum dan perintah Allah SWT. Barangkali juga ada onar dan kesilapan yang telah kita (samada rakyat atau pemimpin) lakukan sehingga Allah SWT menurunkan musibah ini. Fikir-fikir.
1 comments:
asalamualaikum saudara..dekat tempat jerebu masih ada :-(
Post a Comment