Bersyukur kepada Allah SWT, kerana dengan rahmat dan kasih sayang-Nya, sekali lagi pada tahun ini kita dipertemukan dengan Ramadhan.
Alangkah bertuah bagi sesiapa yang menyambutnya dengan ibadah dan mengharapkan keampunan serta ganjaran daripada-Nya. Dan alangkah ruginya bagi sesiapa yang tidak bertambah iman dan amal di bulan yang berkat ini.
Kini sepuluh terakhir Ramadhan menjelma lagi. Allah SWT menyediakan bagi para hamba-Nya segala kebaikan, ganjaran, keampunan dan kelebihan yang tidak mampu dihitung oleh kita.
a) Lailatul Qadar
Di dalam Ramadhan yang mulia ini Allah SWT menghadiahkan kepada para hamba-Nya satu malam yang sangat berkat iaitu Lailatul Qadar. Malam ini dinamakan dengan Lailatul Qadar, diambil daripada kalimah al-Qadar yang bererti kemuliaan atau kedudukan yang tinggi kerana malam ini adalah malam yang sangat mulia.
Ataupun diambil daripada kalimah qadar atau taqdir, kerana pada malam ini Allah SWT memutuskan urusan-Nya dan menetapkan taqdir segala perkara.
Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) pada malam al-Qadar. Dan tahukah kamu apakah malam al-Qadar itu? Malam al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu para malaikat dan malaikat Jibril akan turun dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. Pada malam itu penuh dengan kesejahteraan sehinggalah terbit fajar.” (al-Qadar: 1-5)
Firman-Nya lagi:
“Sesungguhnya Kami menurunkannya (al-Quran) pada suatu malam yang diberkati (Lailatul Qadar) dan sesungguhnya Kami-lah yang memberi peringatan. Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah.” (ad-Dukhan: 3-6)
Sabda Rasulullah saw:
“Sesiapa yang bangun (beribadat) pada malam al-Qadar dengan penuh keimanan dan Ihtisab, maka baginya keampunan untuk dosa-dosa yang lepas.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Beberapa kelebihan tentang Lailatul Qadar yang dapat diambil daripada surah al-Qadar antaranya ialah:
* Allah SWT menurunkan al-Quran pada malam tersebut yang mana ia memberi petunjuk kepada manusia dan memberi kebahagiaan di dunia dan akhirat.
* Ia lebih baik daripada 1000 bulan (83 tahun 3 bulan)
* Para malaikat akan turun ke bumi pada malamnya dengan membawa kebaikan, keberkatan dan rahmat.
* Malam ini adalah malam kesejahteraan sehingga terbitnya fajar. Iaitu kesejahteraan daripada neraka dan azab Tuhan bagi hamba yang menghidupkannya dengan ibadah.
Rugilah orang yang mensia-siakan umurnya dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Tampunglah segera kelalaian yang lalu dengan mencari Lailatul Qadar. Sesungguhnya ia menyamai umur manusia bahkan lebih daripada itu. Apakah tempoh 83 tahun 3 bulan sesuatu yang singkat?
Bilakah Lailatul Qadar
* Bulan Ramadhan
Tidak syak bahawa Lailatul Qadar berlaku pada bulan Ramadhan berdasarkan ayat-ayat bahawa al-Quran diturunkan pada bulan Lailatul Qadar, dan diturunkan pada bulan Ramadhan. Maka semestinya ia berlaku pada bulan Ramadhan.
Dalam satu hadis, Abu Zar ra. bertanya kepada Rasulullah saw: “Wahai Rasulullah, khabarkan kepadaku tentang Lailatul Qadar, adakah ia pada bulan Ramadhan?” Jawab baginda saw: “Bahkan pada bulan Ramadhan.” (Riwayat Ahmad dan Nasaie)
* Sepuluh terakhir Ramadhan
Lebih dikhususkan pada sepuluh terakhir Ramadhan berdasarkan banyak hadis, antaranya hadis muttafaqun ilaihi:
“Carilah Lailatul Qadar pada sepuluh terakhir daripada Ramadhan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Aisyah rha. meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersungguh-sungguh pada sepuluh terakhir melebihi kesungguhannya pada masa-masa lain.
Aisyah rha juga meriwayatkan: “Adalah Rasulullah saw pada dua puluh malam terawal mencampurkan antara solat dan tidur. Apabila tiba sepuluh terakhir, baginda bersungguh-sungguh dan mengetatkan kainnya.” (Riwayat Ahmad)
Menghidupkan malam bukan hanya dengan solat, malahan dengan pelbagai jenis ibadah seperti zikir, membaca al-Quran, beristighfar, berdoa dan lain-lain. Oleh itu apa yang dimaksudkan oleh Aisyah rha: “Aku tidak mengetahui Rasulullah saw pernah mendirikan malam sehingga pagi.” Maksudnya Rasulullah saw tidak pernah solat sahaja sepanjang malam.
Rasulullah saw juga mengambil peluang sepuluh terakhir Ramadhan ini dengan mengejutkan ahli keluarganya untuk beribadah. Baginda mahu supaya mereka juga tidak ketinggalan di dalam mendapatkan kebaikan yang disediakan Allah SWT.
* Tujuh malam terakhir
Bagi mereka yang tidak mampu menghidupkan pada pemulaan sepuluh terakhir, maka boleh memulakan pada tujuh malam terakhir. Sabda Rasulullah saw: “Carilah pada sepuluh terakhir. Jika salah seorang di kalangan kamu lemah dan tidak berupaya, maka janganlah dia tertewas pada tujuh yang berbaki lagi.” (Riwayat Muslim)
* Malam-malam ganjil (21, 23, 25, 27, 29)
Malam-malam ini lebih diharapkan adanya Lailatul Qadar, kerana warid bahawa Rasulullah saw menyebut malam-malam tersebut.
* Malam 27 Ramadhan
Boleh jadi malam yang sangat diharapkan ialah pada malam 27, ini berpandukan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Ubai bin Ka`ab ra. beliau berkata: “Demi Allah, sesungguhnya aku tahu pada malam bilakah ia. Itulah malam yang mana Rasulullah saw telah menyuruh kami untuk bangun beribadah, iaitu malam yang ke 27.” Dan Ubai berkata lagi: “Melalui tanda-tanda dan alamat yang dikhabarkan oleh Rasulullah saw kepada kami bahawasanya matahari yang akan terbit pada pagi harinya tiada sinarnya.”
Namun ramai ulama berpendapat malam al-Qadar berpindah di antara malam-malam witir, tetapi yang ghalib kebanyakannya pada malam 27. Dan bukanlah suatu yang tepat sekiranya kita menganggap pada malam tersebutlah sahaja akan berlaku Lailatul Qadar. Wallahua`lam.
Bacaan malam al-Qadar
Aisyah rha berkata: “Wahai Rasulullah sekiranya aku dipertemukan dengan Lailatul Qadar, apakah yang harus aku ucapkan?” Rasulullah saw menjawab:
“Ucapkanlah: Wahai Tuhanku, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Pemurah dan suka mengampunkan, maka ampunkanlah aku.” (Riwayat Ahmad, at-Tirmidzi, sahih)
Hikmah disembunyikan Lailatul Qadar
Hikmahnya banyak samada diketahui oleh kita atau tidak. Antara yang jelas ialah:
* Sebagai rahmat kepada hamba-hamba-Nya supaya mereka memperbanyakkan amalan untuk mencari Lailatul Qadar. Jika hanya tertentu pada suatu malam, mereka hanya akan bersungguh-sungguh pada satu malam itu sahaja.
* Ujian terhadap hamba-hamba-Nya supaya nyata siapakah yang benar-benar ingin mendapatkannya, dan nyata siapakah yang hanya berolok-olok, bermain-main dan bersikap sambil lewa.
Bersambung...
3 comments:
Banyak betul ilmu bolih didapati disini... dalam bulan ramadhan yang datang sekali setahun ni rugilah kalau kita tak ambil peluang untuk perbanyakkan amal ibadat dan bersedekah....
Subhanallah....
assalam...semoga ada rezeki dan Allah permudahkan pertemuan malam lailatulqadar n memperolehi ganjaran pahalanya beribadah selama 1000 bulan...banyak amat tu...
Moga kita sama2 dapat meningkatkan amalan kita di malam2 terakhir ....
Post a Comment