Sahabat Sejati

Thursday, 6 November 2014

Kesombongan, ia membinasakan

Foto hiasan (sumber)

Allah SWT berfirman: 
“Aku akan memalingkan (hati) orang-orang yang sombong takbur di muka bumi dengan tiada alasan yang benar dari (memahami) ayat-ayatKu (yang menunjukkan kekuasaanKu)...” (al-A`raaf: 146) 

Apa punca penyakit sombong? 

Puncanya lebih pada manusia. 

Harta, lebih sedikit. 

Pangkat, lebih sedikit. Pengaruh, lebih sedikit. 

Ilmu, lebih sedikit. 

Kesempurnaan bentuk, lebih sedikit. 

Apa sahaja, bila lebih sedikit, kita mudah rasa sombong. 

Firman Allah SWT: “…sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kesombongan.” (an-Nahl: 23) 

Bagaimana meleraikan kesombongan? 

Pesan guruku... 

Banyakkan bergaul dengan orang miskin, kurangkan bergaul dengan orang kaya. 

Banyak bergaul dengan orang alim, kurangkan bergaul dengan orang jahil. 

Kembali kepada asal diri. Bukankah pertama kali diciptakan daripada tanah yang hitam. Tidakkah ini sebagai lambang kerendahan. Lihatlah tanah yang setiap hari diinjak-injak oleh sepasang kaki, iatulah asal permulaan. Apakah ada sesuatu yang lebih hina daripada benda yang menjadi sasaran telapak kaki itu. Demikianlah jika kita memahami dan merenungi hakikatnya. 

Namun, sudah begitu kebiasaannya. Orang yang rendah dan hina, tatkala terlepas daripada kehinaan dan tiba-tiba sahaja berada di atas, boleh sahaja dia mendabik dadanya dan meninggikan hidungnya. Tanpa segan-silu dia berbuat kederhakaan dan kecurangan. Lantas tanpa sedar dia menjemput kemurkaan dan kebencian Tuhan. 

Firman Allah SWT: 
“...Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.” (al-Ghafir: 60) 

Rasulullah saw bersabda: 
“Tidak dapat masuk syurga seseorang yang dalam hatinya terdapat seberat debu dari sifat takabbur.” (Riwayat Muslim) 

Demikianlah peringatan dan ancaman kepada mereka yang memiliki sifat ini. Maka, apakah kita sanggup mencelakakan diri sendiri kerana sifat buruk ini. Fikir-fikir, tidak rugi untuk merendah diri kerana ia disayangi manusia dan dikasihi Allah. Apakah yang paling besar selain daripada kasih sayang Allah SWT. 

Rasulullah saw bersabda: 
“Barangsiapa tawadhuk kepada Allah, maka akan diangkat darjatnya oleh Allah, barangsiapa yang sombong, maka akan dijatuhkan darjatnya oleh Allah, barangsiapa bersikap sedang (tidak bakhil dan tidak boros), maka akan dijadikan kaya oleh Allah, barangsiapa membelanjakan hartanya tanpa faedah, maka akan dijadikan miskin oleh Allah dan barangsiapa memperbanyakkan ingatan kepada Allah, maka dicintai oleh Allah.” (Riwayat oleh Bazzar, Thabrani dan lain-lain) 

Fudlail rah., sewaktu beliau ditanya: “Bagaimanakah ertinya tawadhuk atau merendahkan diri itu?” Beliau menjawab Iaitu supaya engkau tunduk pada apa-apa yang hak dan benar, engkau ikuti itu, sekalipun engkau hanya mendengarnya dari seorang budak kecil haruslah engkau terima, juga sekalipun engkau dengar dari sebodoh-bodoh manusia, haruslah engkau perhatikan sebaik-baiknya.” 

Semoga menjadi peringatan bersama, tentunya buat diriku...

2 comments:

Kakzakie Purvit said...

Membentuk sahsiah diri bukan boleh bila dah tua bangka AI. Kena lentur dari kecik. Melainkan adanya nur yg diberi atas rohman dan rohimNya. Jadi kena istiqamah mendidik hati utk jauhkan diri dari kesombongan. Kaya/cantik/pandai atau apa saja yg terasa lebih bila ada gerak hati yg -ve segera berpaling - kita ni kadang tak sedar. Itulah baiknya kena selalu sama-sama ingat-mengingatkan seperti N3 AI ini... bagus.

abuikhwan said...

Hakikatnya begitu kak, perlu dididik sedari kecil. Namun, tiada siapa dapat menafikan rahmat dan belas ehsan Allah SWT kepada sesiapa yang dikehendaki. Rahmat-Nya tidak pernah dihalang oleh masa dan usia. Sesiapa yang diberikan hidayah, maka dia telah memperolehi keberuntungan yang tidak ternilai harganya. Puji-pujian buat-Nya.

Post a Comment