Sahabat Sejati

Wednesday, 12 November 2014

Bicara santai : Bila larut malam...

Foto hiasan (sumber)

Terkuap-kuap saya menahan mengantuk di hadapan komputer riba. Sesekali terlelap, menyebabkan entah ke mana-mana jari saya menekan butang-butang huruf. Akibatnya lain yang mahu ditaip, lain pula huruf yang ditekan. Lucu saya melihat perkataan yang tertera di muka skrin. Itulah hebatnya kuasa mengantuk. Siapa yang dapat melawannya. Segagah ‘Undertaker’ pun boleh kalah dengannya. Inikan pula saya. Oppss..anda kenal siapa dia Undertaker? Cuba Tanya professor google, tentu ada jawapannya. 

Saya sedang menyiapkan ‘artwork backdrop’ untuk majlis graduasi salah sebuah PASTI di dalam DUN Beserah. Ia mesti disiapkan malam ini juga. Sebabnya tengahari esok perlu dihantar ke ‘printing’ pula setelah pihak pengurusan bersetuju dengan ‘design’ tersebut. Maknanya semuanya perlu diselesaikan pada malam ini, ia perlu diemailkan sejurus dilakukan sentuhan terakhir. 

Biasanya tiada apa-apa masalah. Sekali email sahaja terus mereka bersetuju tanpa perlu diedit. Jika ada pun hanya sedikit sahaja. Namun, berbeza dengan ‘artwork‘ yang ditempah oleh syarikat korporat. Setiap sentuhan memerlukan ketelitian dari segenap aspek. Saya pernah membuat ‘artwork’ yang ditempah oleh sebuah badan kebajikan Islam milik syarikat korporat tersebut. Sebenarnya tempahan tersebut melalui sahabat saya yang bekerja di syarikat korporat yang sangat dikenali dalam negara itu. Tidak perlulah saya sebutkan nama syarikat tersebut. 

Apa yang mahu saya ceritakan, sebelum ia lulus untuk diprint, terlebih dahulu ia dibawa ke dalam mesyuarat pengurusan. Beberapa kali kami berbalas whatsapp untuk membaiki dan menukar apa-apa yang patut. Akhirnya setelah beberapa kali diedit termasuk susun atur, warna barulah ia boleh diprint. Baru saya tahu, rupa-rupanya setiap syarikat korporat mempunyai warna logo yang rasmi. Tidak boleh ‘hentam keromo’ sahaja. Contohnya jika warna merah, mesti merah dengan kod warna yang tepat, kerana warna merah ada bermacam-macam jenis. Sama juga dengan warna-warna yang lain. Memang setiap syarikat korporat mempunyai etika dan standard yang perlu dipatuhi. Walaupun agak cerewet tetapi ia tidak menyebabkan saya ‘giveup’, saya mengambil sudut pandang yang positif dan aktif. Ia adalah satu proses pembelajaran untuk membina kemahiran. 

Tetapi ini tidaklah bermakna saya membuat sambil lewa atau ‘cincai’ jika bukan untuk syarikat korporat. Tidak begitu. Walau siapa yang menempahnya, saya akan pastikan ia dibuat dengan sehabis baik. Tidak kira siapa yang meminta saya membuatnya. Bukankah Allah menyukai orang yang tekun dan bersungguh-sungguh? 

Di dalam satu hadis, Rasulullah saw bersabda:
"Sesungguhnya Allah suka apabila seseorang melakukan sesuatu pekerjaan, dia itqan (tekun,teliti,buat yang terbaik)." (Riwayat at-Thabrani) 

Apa pun, yang paling penting semuanya foc. Jika ada yang bertanya berapa bayarannya, maka dengan yakin saya menjawab: “Minta tolong doa sudahlah...” Yalah, lagi pun semuanya kawan-kawan, bukannya orang lain. 

Eh, jauh pula mengelamun. Saya menggeliat menghilang lenguh-lenguh sendi. Jam dinding berdetak sekali menandakan telah pun pukul satu pagi. Keluarga telah lama belayar di alam mimpi. Sambil menghirup air kopi yang masih berbaki di cawan, saya meneruskan kerja-kerja yang belum selesai. Insya-Allah, malam ini email akan dihantar

0 comments:

Post a Comment