Kelmarin surau di tempat saya telah mengadakan gotong-royong membuat bubur asyura, atau di kampung saya dulu dipanggil ‘bubur sughe’. Maklumlah kita masih lagi berada di dalam bulan Muharam. Sebagaimana yang kita tahu bulan Muharam memang sangat sinonim dengan bubur asyura. Boleh dikatakan kebanyakan masjid dan surau akan bergotong-royong membuatnya.
Sedari awal lagi saya telah memohon maaf kepada sahabat saya yang menjadi AJK membuat bubur asyura, keuzuran saya untuk sama-sama dalam gotong-royong tersebut. Bukan kerana saya tidak bersetuju sebab tiada nas atau dalil yang sahih mengenai membuat bubur asyura pada hari asyura. Eh tidak, bukan begitu. Saya tidak ambil kisah dengan itu. Sebenarnya pada hari yang sama saya mempunyai program lain di UIAM Kuantan yang penting juga untuk dihadiri. Kalau tidak, saya pun akan bersama-sama mengacau kawah bubur asyura.
Saya berpandangan ia amat bagus kerana merupakan salah satu aktiviti masyarakat harmoni. Secara tidak langsung dapat memupuk semangat bekerjasama dan bergotong-royong, malahan boleh merapatkan hubungan silaturrahim penduduk setempat. Mana-mana yang tidak kenal, boleh kenal, yang tidak pernah berjumpa boleh berjumpa. Maklumlah masing-masing sibuk dengan tugas dan kerja. Ada sesetengah tempat, jiran sebelah-menyebelah pun tidak pernah kenal. Akhirnya kenal dan bertegur sapa sewaktu mengangkat barang untuk berpindah ketika banjir. Bukankah teruk sangat begitu.
Apa pun, membuat bubur Asyura itu kalau setakat dijadikan adat, tanpa ada kepercayaan keagamaan, ia bukanlah satu yang salah. Tidak ada apa-apa dosa untuk menyediakan bubur asyura. Tetapi elakkan kepercayaan yang kurang sahih, seperti mengaitkannya dengan makanan Nabi Nuh as. sewaktu berlabuhnya bahtera baginda di atas Bukit Juudi pada hari asyura.
Diceritakan bahawa tatkala bahtera baginda terdampar di atas Bukit Juudi, maka berkatalah baginda kepada umatnya:
“Himpunkan apa yang kamu miliki daripada makanan yang lebih-lebih”.
Maka, dibawalah satu genggam daripada kacang Baqila’ iaitu kacang ful (kacang poi) dan satu genggam kacang Adas, Ba’ruz dan hinthoh dan tepung sehingga menjadi tujuh bagai biji-bijian yang dimasak.
Maka berkatalah Nabi Nuh as: “Masaklah sekeliannya kerana kamu sudah mendapat kesenangan sekarang.”
Wallahua`lam, saya tidak pasti mengenai sumber kisah ini.
Apa pun, janganlah pula kita bertegas mengatakan bulan Muharam mesti buat bubur asyura. Salah jika tidak buat. Ataupun kita berkata, tak boleh buat bubur asyura dalam bulan Muharam kerana bukan sunnah. Jangan begitu. Betullah tidak ada dalam sunnah membuat bubur asyura.
Namun, ia ada kebaikan dari sudut keharmonian masyarakat. Senang sahaja, mana-mana tempat yang mahu buat silakan tetapi jangan menyalahkan kepada yang tidak mahu membuatnya. Manakala yang tidak buat jangan pula menyalahkan kepada yang mahu membuatnya. Habis cerita.
4 comments:
Berbagai-bagai pendapat kalau kita dengar berkaitan kisah ini AI. Tapi pada kakak nak masak bubur tu tak salah tapi sebaiknya jgn dikaitkan kisah bahtera nabi Nuh itu. Kena kaji kesahihannya. Jgn buat hanya di bulan Muharram dah tu kaitkan kisah bahtera nabi Nuh pulak. Bimbang timbul syirik... itu yg tiap tahun ustaz yg memberi ceramah di masjid tempat kakak ... Wallahu'aalam
ASSALAM MEMBUAT ASYURA RAMAI2 ADALAH AKTIVITI MASYARAKAT SETEMPAT MENJALENKN UKHWAH MURNI....
Kakzakie: betul tu kak, tak salah nak memasak bubur asyura tapi kalau dikaitkan dengan kisah-kisah yang tiada sumber yang jelas, itu yang jadi silap.
kak paridah: Benar, membuat asyura memerlukan tenaga ramai, itu yang baiknya. Aktiviti yang harmoni.
Post a Comment