Imam al-Ghazali (sumber foto)
Saya menekuni lembaran-lembaran buku kecil karya Hujjatul Islam Imam al-Ghazali.
Bahasanya mudah penuh berhikmah. Terlalu banyak bait-bait mutiara yang mendamaikan untuk dihadam. Buku yang kecil dan ringkas ini besar maknanya bagi sesiapa yang mahu mengambil peringatan sebagai bekalan dalam meniti kehidupan.
Buku yang saya maksudkan adalah ‘Ayyuhal-Walad’, juga dinamakan dengan 'Ar-Risalah al-Waladiah'.
Saya membaca sebaris ungkapan pendek.
“Memberi nasihat itu sebenarnya mudah sahaja dan yang berat ialah menerima isi nasihat tersebut kerana setiap nasihat itu dirasakan tersangat pahit bagi siapa yang selalu mengikuti kehendak hawa nafsunya.”
Terpaku sejenak. Benar sekali torehan minda sang imam ini.
Sesiapa pun boleh menegur dan mengkritik tetapi tidak semua orang senang menerima nasihat dan teguran. Tidak semua orang boleh berlapang dada dengan teguran, melain orang yang berjiwa besar serta di dalam hatinya ada sifat kerendahan. Sedangkan mereka yang begini tidak ramai jika mahu dibandingkan dengan yang sebaliknya. Saya beranggapan demikian.
Kita menegur, memberi peringatan dan menyampaikan nasihat kerana ia adalah perintah Allah. Tidak kira bagaimana bentuknya asalkan caranya masih di dalam lingkungan syarak.
Allah SWT berfirman:
“Dan berilah peringatan, sesungguhnya peringatan itu bermanfaat untuk orang yang beriman.” (adz-Zariyat: 55)
Menerima teguran, berlapanglah
Tidak dinafikan seni dan bijaksana perlu ada dalam menegur dan menasihati. Tidak keterlaluan jika dikatakan ia adalah elemen yang sangat penting dalam berdakwah. Tidak boleh semberono melempar teguran tanpa melihat suasana dan realiti. Berapa ramai yang menjadi baik kerana kena dengan cara teguran. Begitu juga berapa ramai yang semakin ‘jauh’ dek salah dalam melontar sesuatu yang baik. Tetapi bagaimana pula teguran dan nasihat yang disampaikan dalam keadaan baik dan berhemah. Itu yang saya bicarakan. Ya, ada sebilangan yang tidak mahu juga menerimanya. Bukan itu sahaja, disindir dan disiniskan pula orang yang menasihatinya.
Penolakan mereka pelbagai. Ada yang menjadikan masa silam sebagai hakim untuk menolaknya. Justeru, diungkitkan apa sahaja keburukan masa silam si penegur. Memperlekeh dan kerana tidak mahu menerimanya. Jika difikir-fikirkan, mengapa sejarah masa silam harus dijadikan tembok untuk menidakkan kebenaran.
Mungkin ada yang berkata:
"Alahh, kamu bukannya baik sangat dulu, bahkan lebih teruk daripada aku..."
Atau begini:
“Keluarga sendiri pun tak terjaga. Nasihat keluarga kamu dululah, baru nasihat orang lain...”
Saya mengiakan. Ada kebenarannya. Namun tidak bolehkah kita mengenepikan sedikit rasa ego untuk menerima teguran. Amat payah, tentunya. Di saat iman sedang mencanak naik, mungkin tiada masalah padanya. Sebaliknya, tatkala graf iman merudum, ia bukan sesuatu yang enteng. Saya juga ada masa-masanya begitu. Sukar benar untuk berlapang dada di sata-saat demikian. Allahu rabbi. Ego? Atau apa?
Teringat kata-kata guru saya:
“Mencari kelemahan orang yang menegur kita adalah satu sikap yang tidak sepatutnya berlaku bagi seorang yang ikhlas mencari kebenaran. Mencari selemah-lemah hujah untuk mempertahankan kesilapan kita adalah satu sikap yang menunjukkan kedegilan kita terhadap kebenaran.”
Setiap orang perlu menegur dan menyampaikan nasihat dengan berhemah, dan setiap orang yang menerima nasihat perlu berlapang dada menerimanya. Walaupun siapa yang memberi nasihat selama mana ia masih di atas jalan kebenaran.
Saya tidak pasti apakah manusia ini akan mengambil sikap yang sama jika ia berada di zaman Saiyidina Umar al-Khattab. Apakah ia berani menyatakan begini-begini apabila si khalifah menasihati.
“Wahai khalifah, tidak perlu menasihati aku. Engkau dulu pun bukannya baik sangat, bahkan hampir-hampir membunuh Rasulullah!”
Ya, Saiyidina Umar hampir-hampir membunuh Rasulullah di zaman jahiliahnya. Tetapi tidakkah kita terfikir, Umar yang menghunus pedang itu kini jasadnya terbaring di sebelah Rasulullah saw, malahan dijamin syurga oleh baginda.
Sifirnya mudah. Marilah kita membetulkan minda pemikiran kita. Orang yang dahulunya tidak baik tidak semestinya tidak baik di masa akan datang. Begitulah sebaliknya. Berilah peluang kepada sesiapa sahaja yang ingin berubah. Tidak perlu diungkit apa yang telah berlalu daripada sejarah silamnya apabila ia telah berubah. Dengan hidayah Allah SWT mereka berubah, lalu mereka menyampaikan nasihat kepada orang lain dengan maksud agar tidak terjadi seperti mereka dahulu.
Sebagai seorang yang beriman, sepatutnya kita terbuka dengan teguran. Memandang teguran dengan positif, iaitu sebagai satu penambahbaikan kepada diri. Sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat 55 surah adz-Zariyat, jika kita orang yang beriman maka setiap teguan dan peringatan pasti akan memberi manfaat.
3 golongan dalam menerima teguran:
1- Golongan yang apabila menerima teguran, mereka akan mendengar danmenerima dengan terbuka biarpun mereka tidak berada di pihak yang bersalah.
2 –Golongan yang tidak kisah langsung dengan teguran. Samada bersalah atau tidak, ia tidak mengendahkan tanpa sebarang reaksi.
3 – Golongan yang akan melontar teguran tersebut kepada orang lain atau kepada si penegur.
Anda yang mana?
*Nasihat ini lebih utama buat diri saya
2 comments:
Kakak ada buku ini dan lama dah habis baca bertahun sudah. Bila di papar sedikit disini kakak teringatlah kembali. Kakak juga ada buku wasiat Imam Al-Ghazali yg lagi nipis buat anak-anak baca. Tapi isinya menarik. Ada lagi buku tentang 4 imam keluaran PTS buku Pak Talib pun best utk dibaca.
Ironi dari buku yg IA nyatakan ini bahawa kita sebagai hamba Allah kenalah sentiasa bersedia utk menegur (sepatutnya) dan juga sedia utk ditegur (sepatutnya). Tapi dlm dunia hari ini tak mudah..
tq for sharing.
terima teguran d sudut y +ve
Post a Comment