Sahabat Sejati

Friday, 22 August 2014

Semoga sabar dan tabah hendaknya...

Suasana muram menyelubungi hati-hati rakyat Malaysia hari ini. Tidak tertahan kesedihan menyambut ketibaan jenazah mangsa tragedi MH17. Tentunya kesedihan ini lebih dirasai oleh keluarga mangsa yang terlibat. 

Masjid di tempat saya hari ini mengadakan solat jenazah ghaib khas buat mangsa yang beragama Islam sejurus selesai solat Jumaat. Mudah-mudahan Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh mereka semua. 

Seakan tidak percaya dengan apa yang berlaku. Ya, semuanya bagaikan berada di luar kotak pemikiran kita. Namun, sebagai seorang Islam kita sentiasa yakin dan percaya semuanya adalah perancangan Allah SWT dan Dia Maha Mengetahui segala rahsia yang tersembunyi. 

Ujian seperti ini, jika tidak dirujukkan kepada Allah, tentu sukar untuk kita mencari ‘ketenangannya’. Hakikatnya, kita diberikan kesihatan agar ia menjadi kurniaan kasih Allah untuk sentiasa bersyukur. Manakala tatkala diuji dengan kesakitan, atas kurniaan kasih Allah untuk memanjatkan kesabaran. 

Kata-kata yang saya cuba ungkapkan adalah sebagai peluang untuk saya menyiram hati dengan rasa redha dan menerima segala ketentuan Allah SWT. Saya menasihati diri saya dengan penuh keinsafan, melihat kehidupan ini bukan dengan pandangan lemah makhluk tetapi melihat seluruh kehidupan ini dengan pandangan Pencipta kehidupan. 

Marilah kita menafsirkan apa yang berlaku dengan penuh keinsafan. Sesungguhnya kematian sentiasa mengintai di setiap saat kehidupan kita. Tanpa kita ketahui berapakah usia kita yang masih berbaki. Maka pergunakanlah masa yang ada untuk mempersiapkan bekalan untuk menghadapi saat yang pasti itu. Allah jua tempat dikembalikan segala urusan! 

“Semoga Allah SWT mengurniakan segenap kesabaran dan ketabahan kepada seluruh ahli keluarga mangsa yang terlibat.”

2 comments:

paridah said...

assalam...airmata xterdaya dibendung berkongsi kesedihan kehilangan mrk dlm tragedi yg bgitu memilukan hati walau reda...mati itu pasti kejadian2 hanya penyebabnya...

abuikhwan said...

Allah jua dikembalikan segala urusan kerana DIA sebaik-baik perancang. Bahkan DIA yang Maha Mengetahui apa yang nyata dan tersembunyi...

Post a Comment