“Turun tak malam ni?” Tanya sahabat saya ketika kami beriringan keluar daripada masjid usai sembahyang subuh.
“Insya-Allah turun.” Saya membalas bicara.
“Harap-harap ramai yang datang membantu, dengarnya sepanjang pantai pun kena turun juga selain tempat biasa.” Katanya lagi sambil menyuakan senyuman sebelum kami berpisah.
“Harap-harap begitulah,” tutur hati kecil saya.
Insya-Allah turun...
Alhamdulillah. Seperti tahun-tahun sebelumnya, misi dakwah diteruskan lagi. Malam ini misi dakwah malam kemerdekaan mengambil tempat. Seperti biasa kami akan turun ke lokasi-lokasi yang telah ditetapkan yang menjadi tumpuan golongan muda. Membawa misi "KAMI ADALAH DUTA PENYELAMAT DAN KASIH SAYANG”, seboleh-bolehnya kami tidak akan menimbulkan perasaan kurang senang pasangan yang ditemui. Sebaliknya menegur mereka dengan cara berhemah dan penuh mesra.
Kami turun bukan untuk menahan mereka. Bukan juga mahu mengherdik atau menjentik mereka. Apalah kuasa yang ada pada kami untuk melakukan demikian. Kami cuma mahu menjentik hati mereka dengan memberikan kesedaran dan keinsafan dengan tazkirah barang seminit dua. Penerimaan mereka tidak mungkin dijangka. Ada yang senang hati tatkala kami menghulurkan risalah dakwah. Ada juga yang mencebik masam sambil mengeluarkan perkataan sinis.
Teringat saya, pernah risalah dakwah yang dihulur disambut dengan laungan takbir raya dan gelak ketawa beramai-ramai. Betapa malunya ketika itu hanya Tuhan yang Maha Tahu. Namun, kami cuba untuk tidak merasa lemah dan kecewa. Dakwah memang begitu jalannya. Tidak ada hamparan karpet merah dan pacakan bunga manggar di kiri dan kanan. Bahkan ia jalan yang sukar. Diejek, disindir, dijadikan bahan ketawa adalah perkara biasa seumpama makanan harian dalam mengenal erti dakwah. Lihatlah dalam lembaran sirah junjungan mulia, bagaimana pahit dan peritnya jalan itu.
“Wahai anak kesayanganku, dirikanlah solat, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang amat besar dan penting untuk dilakukan.” (Luqman: 17)
Kami ingin menerang bukan menyerang. Tidak mengapa ia diremehkan pada hari ini. Tidak mengapa mereka menolak dengan sindiran atau nista. Percayalah, akan sampai harinya, mutiara pemberian itu dikutipnya sebagai bekal menuju perubahan. Suatu hari nanti mereka akan mengerti jua.
“Oleh itu berikanlah sahaja peringatan kepada manusia, dan janganlah berdukacita kiranya ada yang menolaknya, kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang pemberi ingatan; Bukanlah engkau seorang yang berkuasa memaksa mereka (menerima ajaran Islam yang engkau sampaikan itu).” (al-Ghasyiah: 21-22)
Allahu al-Musta`an...
0 comments:
Post a Comment