“Kakak datang ni nak jemput kamu sekeluarga datang ke majlis perkahwinan along,” kata kakak saya sewaktu berkunjung ke rumah saya petang itu.
“Along dah nak kahwin kak?” Saya bertanya semula, seakan tidak percaya dengan apa yang didengar.
“Yalah, jangan tak datang pula. Kakak harap sangat kamu dan adik-baradik yang lain datang. Bukannya apa, sejak mak dan ayah tiada kita semua sudah jarang berkumpul adik-beradik,” sambung kakak saya lagi dengan nada perlahan. Angin petang yang berhembus meredupkan suasana.
Suaminya di sebelah mengangguk-anggukkan kepala.
Saya mengakui kami semua semakin jarang bertemu semenjak emak dan ayah tiada. Masing-masing sibuk dengan urusan kehidupan sendiri. Kalau bertemu pun jika ada majlis kenduri saudara-mara yang lain. Apa pun, jika ada peluang berkumpul bersama, kami tidak akan melepaskan peluang untuk memaksimumkan kualiti pertemuan tersebut.
“Majlis tu buat di rumah Ayah Cik, sebab rumah kakak belum terurus sepenuhnya lagi akibat banjir baru-baru ini. Lagipun Ayah Cik yang bersungguh-sungguh mahu buat di rumahnya,” kakak saya menjelaskan lagi. Ayah Cik yang dimaksudkan adalah adik kepada arwah emak saya.
Daripada kakak, saya mengetahui bahawa pengantin perempuan ada pertalian saudara dengan keluarga kami. Neneknya bersepupu dengan nenek kami. Itupun dapat tahu ketika majlis pertunangan setelah disiasat susur galur keluarga. Hmm, kecilnya dunia ini.
“Insya-Allah kak, jika tiada apa-apa aral saya akan datang,” saya memberitahu kakak sewaktu menghantarnya ke kereta.
Sayup-sayup kereta yang mereka naiki hilang di kejauhan. Sewaktu menutup pintu pagar saya termenung sendirian.
Allah… cepatnya masa berlalu. Bagaikan masih terasa baru lagi saya mendukung dan membawanya berjalan-jalan di sekitar halaman. Hari ini sudah pun mahu berumahtangga. Sudah lebih 2 dekad ia berlalu. Bagaikan tidak tersedar masa yang laju memecut meninggalkan kita yang masih terkial-kial mencari kehidupan. Saya pula sudah pun menghampiri usia 40 tahun. Satu usia yang amat memberi makna dan pengertian yang mendalam. (Bicara menjelang usia 40)
Allah SWT berfirman:
“Dan kami berpesan kepada insan agar berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan kepayahan dan melahirkannya dengan kepayahan dan tempoh mengandung berserta menceraikan susunya ialah 30 bulan. Setelah dia besar sampai mencapai ke peringkat matang yang sempurna dan sampai ke peringkat umur 40 tahun, maka dia berdoa: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan jadikanlah untuk kebaikan dalam zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu dan sesungguhnya aku daripada orang Islam (yang menyerah kepada-Mu).” (al-Ahqaf: 15)
Usia 40 disebut dengan jelas di dalam ayat ini.
Usia 40 adalah usia ketika manusia benar-benar meninggalkan masa mudanya dan beralih sepenuhnya kepada masa dewasa. Ia adalah usia matang untuk kita bersungguh dalam hidup, membuang kejahilan ketika usia muda, mengambil iktibar daripada pengalaman dan bertindak dengan hikmah dan bijaksana.
Mereka yang berumur 40 tahun ke atas dianjurkan sentiasa membaca doa yang terdapat di dalam ayat ini. Jelas di dalamnya terkandung penerimaan nikmat yang sempurna, kecenderungan untuk beramal soleh, mempunyai keluarga yang harmoni dan keinginan untuk bertaubat kembali kepada Allah SWT.
Mudah-mudahan Allah SWT memberikan kepada hidayah dan taufiq untuk sentiasa istiqamah pada jalan-Nya menjelang usia 40.
0 comments:
Post a Comment