Sahabat Sejati

Sunday, 4 August 2013

Nikmat puasa Ramadhan


3 hari saya sekeluarga pulang ke kampung isteri bersempena dengan cuti sambutan nuzul Quran. Alhamdulillah, berbuka dan bersahur bersama ipar-duai serta anak-anak buah. Keseronokan tentulah kepada anak-anak kerana suasana desa yang permai. Masih ada halaman untuk berkejaran, ayam dan itik di bawah rumah dan pokok-pokok hijau yang merimbun di sekeliling. Saya turut menumpang gembira sambil cuba-cuba mengimbau nostalgia ketika zaman membesar di kampung dahulu.

Rumah mertua saya halamannya dikelilingi pepohon kelapa yang tersusun. Biasalah kawasan tepi pantai. Untuk berbuka air kelapa muda tentulah menjadi pilihan utama. Ianya satu kebiasaan apabila saya pulang ke kampung isteri. Untuk mengambil kelapa muda tidak susah kerana adik ipar saya seorang ‘pakar’ dalam memanjat pokok kelapa. Mudah sahaja dia memanjat pokok kelapa yang tegak berdiri itu.

Mertua saya pula jika anak dan cucu balik tidak duduk diam dibuatnya. Ada-ada sahaja sesuatu yang nak dilakukan. Hari ini berbagai juadah disediakan untuk menyambut anak dan cucu. Pulut panggang, satar dan otok-otok siap terhidang. Bukannya mudah untuk menyediakan juadah tersebut, lebih-lebih lagi dengan kesihatan yang tidak berapa baik. Namun, dek kerana gembira dengan kepulangan anak cucu semua itu bagaikan tidak terasa.

Nikmat puasa Ramadhan. Saya tidak melihat ianya terletak kepada juadah serta lauk-pauk yang banyak terhidang menghiasi meja. Tidak padanya. Nikmat sebenar ialah apabila dapat berkumpul bersama keluarga tersayang biarpun menu berbukanya hanya sebutir kurma dan segelas air.

Dahulu ketika emak saya masih ada, setibanya Ramadhan seringkali emak mengungkapkan kata-kata di hujung telefon ketika menghubungi saya: “Bila nak balik kampung berbuka puasa sama-sama?”

Ketika itu saya tidak memahami apa yang tersirat di sebalik pengertian yang diungkapkan. Bagi saya ia sesuatu yang biasa. Namun, setelah saya sendiri mempunyai keluarga, saya mula memahaminya hakikatnya. Sebenarnya, tiada yang lebih menggembirakan hati ibu dan bapa selain dapat berkumpul untuk berbuka puasa bersama anak-anak. Sekiranya anak-anak pulang sudah pasti ibu bapa menyediakan berbagai juadah, tanpa mengira penat lelah berpuasa.

Saya mengakui akan kebenaran ini. Dua orang anak saya tinggal di asrama. Saya melihat tatkala anak-anak kami pulang dari asrama, isteri saya tanpa menghiraukan kepenatan menyediakan berbagai-bagai juadah untuk anak-anak. Terbayang kepuasan dan kegembiraan apabila melihat anak-anak mencicit air tangannya. Biarpun hanya pulang sekadar tiga hari, tetapi detik keemasan bersama sekeluarga berbuka puasa, ke surau berterawih, bersahur, berceloteh dengan anak cucu amat menyentuh kesyahduan.


Inilah perasaan yang mungkin turut dirasai oleh arwah ibu saya dahulu dan juga mertua saya tatkala menyambut kepulangan anak-anak. Jiwa orang tua, bukan memerlukan material wang ringgit dan sebagainya tetapi perhatian dan kasih sayang daripada anak-anak. Demikianlah saya turut merasainya kerana saya juga sedang menuruti “jalan” itu.

0 comments:

Post a Comment