Sahabat Sejati

Saturday 17 August 2013

Seminggu dalam debar, melihat dengan hikmah


 “Kalau begitu, kena ‘cucuklah’ boleh?” Kata doktor berkulit hitam manis dan bertudung labuh itu setelah saya menceritakan keadaan demam yang saya hidapi.

Sebenarnya ini adalah kali kedua saya ke klinik dalam masa dua hari kerana tiada apa-apa perubahan setelah memakan ubat yang dibekalkan oleh pihak klinik. Malahan doktor tersebut juga merasa hairan kerana setelah memakan ubat biasanya demam akan berkurang kepanasannya. Ekoran daripada itu tiga hari saya diberikan cuti sakit.

“Bolehlah, mana-mana yang terbaik doktor,” saya memberi persetujuan untuk disuntik. Apalagi yang mahu diharapkan, melainkan mengikut sahaja saranan sang doktor kerana dia yang lebih arif.

Setelah disuntik di atas pinggul, badan saya mula berpeluh. Terasa lega sedikit.

“Saya nak ambil darah untuk pemeriksaan, bimbang kalau-kalau denggi,” sambungnya lagi.

Denggi!!

Terpana saya seketika mendengar perkataan itu. Jantung saya berdebar kencang. Sudah dua kali saya terlantar di hospital akibat dijangkiti virus denggi sebelum ini. Jika diberi pilihan saya tidak mahu untuk kali yang ketiga. Serik! Betul-betul tidak mahu, bergema jeritan di dalam batin.

“Dalam masa satu minggu encik Wan boleh datang untuk mengambil keputusan ujian darah ini. Tetapi jika dalam masa seminggu ini keadaan tidak berubah atau ada tanda-tanda denggi, encik Wan datang ke klinik untuk mengambil surat rujukan ke hospital.” Ujarnya panjang lebar.

“Baik doktor, terima kasih.”

Penantian satu penyeksaan. Seminggu dalam debaran.

Melihat dengan hikmah

'Terpulang kepada empunya diri'

Seandainya ditanya, sihat atau sakit, susah atau senang, yang manakah menjadi pilihan. Saya rasa kita sudah mempunyai jawapannya walaupun belum lagi dibuat undian.

Fitrah sifat manusia memandang kesakitan, kesusahan, kesedihan adalah sesuatu yang tidak baik dan dibenci. Mana ada orang yang mahu kepada kesusahan. Jika ada, maka bermacam-macam label dan tohmahan yang diberikan.

“Kamu ni betul ke tak betul, mana ada orang mahu hidup susah!” Kata si A.

“Gila kamu ni, agak-agak kamu ni dah tersampuk kut,” ujar si B pula.

Itu hanya contoh sahaja, tetapi realitinya memang ada.

Tetapi jika kita memandang dengan mata hati, sakit atau sihat, sedih atau gembira, susah atau senang semuanya adalah ujian daripada Allah. Mungkin kita terlupa apa sahaja yang datang daripada Allah semuanya adalah kebaikan. Cuma dangkalnya akal kita untuk menafsir hikmah disebaliknya. Ya, baik dan buruknya bergantung kepada cara kita melihatnya. Sedangkan Allah SWT telah mengingatkan kita di dalam hadis Qudsi:

Dari Abu Hurairah ra, dari Nabi saw, bersabda:
"Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla berfirman: "Aku bersama hamba-Ku apabila ia ingat kepada-Ku dan kedua bibirnya bergerak (mengucapkan dzikir) kepada-Ku". (hadis ditakhrij oleh Ibnu Majah).

Di dalam riwayat yang lain: Dari Abu Hurairah ra, ia berkata: Rasulullah saw bersabda:
"Sesungguhnya Allah berfirman: "Aku menurut dugaan hamba-Ku kepada-Ku, dan Aku bersamanya apabila ia ingat kepada-Ku. (hadits ditakhrij oleh at-Tirmidzi).

Ada masa-masanya manusia perlu sakit. Inilah masanya tubuh perlu berehat. Sakit adalah tanda bahawa kita sudah mengabaikan mana-mana anggota tubuh badan. Maknanya kita juga sakit akibat daripada sikap lalai. Contohnya kita luka tersepak bucu longkang, mungkin kita berjalan terburu-buru sedangkan sudah mengetahui di situ ada longkang. Ataupun jari kita luka terkena pisau ketika memotong sayur, mungkin kita tidak berhati-hati atau asyik mengelamun sehingga tidak sedar terhiris jari. Mahu menyalahkan sesiapa? Tidak perlu, kerana kaki kita yang melangkah dan tangan kita yang memegang pisau. Ambil ubat dan balut luka tersebut, mudah. Tidak akan habis jika kita merungut-rungut dan marah-marah. Mudah-mudahan kesakitan dan luka yang menitiskan darah itu menjadi kaffarah penghapusan sebahagian dosa-dosa kita.

Dalam satu hadis Rasulullah saw bersabda: Daripada Abu Said al-Khudri dan Abu Hurairah r.huma, Rasulullah saw bersabda:
“Keletihan (kerana kerja keras), penyakit, kesedihan, kepiluan, luka dan musibah yang menimpa seseorang Muslim dan dia menerimanya dengan penuh kesabaran adalah kaffarah Allah yang menghapuskan sebahagian daripada dosa-dosanya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Nah! Tidakkah kita merasa tenang dan terhibur tatkala membaca hadis yang mulia ini. Ternyata apa sahaja kesakitan, ujian atau musibah yang menimpa sekiranya kita redha dan mampu bersabar, rupa-rupanya adalah batu loncatan untuk kita meraih keampunan dan seterusnya menjadi hamba Allah yang lebih baik.

Lihatlah, ambillah setiap ujian yang menimpa diri sebagai satu tingkat untuk meraih redha Ilahi. Mudah-mudahan dengan ujian itu semakin mendekatkan diri kepada-Nya.

Sesungguhnya peringatan ini lebih utama buat diri saya.

“Barangsiapa yang Allah mahukan dirinya beroleh kebaikan, nescaya diujinya dengan kesusahan” (Riwayat al-Bukhari)

Allahu al-Musta'an...

2 comments:

||aLeaSaRa|| said...

salam sahabat AI,owh harap bukanlah denggi ye.risau jugak kalau denggi,kan.

saya sekali kena masa 3 tahun lepas tu pun rasa dah teruk betul,takut kalau kena lagi sebab kepala sakit,nak sujud pun rasa berdengung kepala.

saya perasan minggu ni 2 kali van kesihatan datang sembur air masa subuh dan maghrib,sebab banyak rumah yang ditinggalkan masa balik kampung beraya.saya memang make sure sebelum balik kampung minggu lepas,takde air bertakung.

semoga lekas sembuh ye...

abuikhwan said...

Salam sahabat,
itulah bimbang juga rasanya,harap2 demam biasa shj. Mohon doa daripada sahabat semua. Serik dah rasanya pengalaman 2 kali kena denggi.

Post a Comment