Sahabat Sejati

Thursday, 6 June 2013

Aurat wanita tua ketika sakit & iddah wanita yang putus haid

Soalan:

Assalamualaikum Ustaz.

1. Adakah pengecualian aurat kepada wanita yang sakit dan tua (terlantar atas katil), kawan-kawan yang bukan mahram selalu ziarah beliau. Atau sama sahaja seperti wanita yang sihat?

2. Adakah terdapat pandangan ulama (daripada man-mana mazhab) yang menyatakan iddah bagi wanita putus haid yang kematian suami adalah 3 bulan sahaja?

Jawapan:

Aurat wanita ketika sakit Bahagian badan yang wajib ditutup (yakni aurat), tidak harus didedahkan kepada orang lain yang haram melihatnya melainkan ketika darurat, antaranya ketika rawatan yang tidak dapat dielakkan dari membuka bahagian yang sakit untuk dirawat oleh doktor.

Hukum ini tidak ada beza antara wanita yang telah tua atau masih muda, yang sihat atau yang sakit. Yang harus melihatnya hanyalah doktor atau jururawat yang menjalankan rawatan sahaja.

Adapun pelawat, tidaklah harus melihatnya. Oleh kerana si pesakit mungkin tidak berdaya melaksanakan kewajipan menutup aurat tersebut atau ia tidak sedarkan diri, orang yang menjaganya (sama ada anak-anak atau orang lain) yang wajib memastikan ditutup auratnya. Jika tidak boleh ditutup auratnya atas nasihat doktor, hendaklah dibuka kepada kaum wanita dan lelaki-lelaki mahramnya sahaja untuk menziarahinya. Adapun lelaki yang bukan mahram hendaklah dihalang menziarahinya kerana menjaga hukum tadi.

Iddah wanita yang putus haid

Maksud iddah ialah tempoh menunggu yang diwajibkan Syariat ke atas wanita apabila berlaku perpisahan dengan suaminya di mana dalam tempoh menunggu tersebut tidak harus ia berkahwin lain hinggalah tamat tempoh yang ditetapkan. Sebab iddah ada dua:

1. Kerana penceraian

2. Kerana kematian suami

Bagi wanita yang diceraikan suami ketika ia telah terputus haid (yakni sampai umur putus haid)[1] atau belum didatangi haid (kerana masih kecil); iddahnya ialah 3 bulan berdalilkan ayat (yang bermaksud): “Dan perempuan-perempuan dari kalangan kamu yang putus asa dari kedatangan haid jika kamu keliru (yakni kamu jahil tentang hukum iddahnya), maka iddahnya ialah tiga bulan dan (demikian juga) perempuan-perempuan yang belum kedatangan haid (kerana masih kecil, iddahnya juga tiga bulan)” (Surah at-Talaq, ayat 4). Menurut mazhab Syafiie dan Hanbali; termasuk juga yang perlu ber-iddah tiga bulan ialah wanita yang berterusan keluar darah dari farajnya di mana ia tidak dapat membezakan lagi bila ia haid dan bila ia istihadhah.[2] (Tafsir al-Munir).

Adapun jika ia kematian suami; iddahnya ialah 4 bulan 10 hari berdalilkan ayat (yang bermaksud); “Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri, hendaklah isteri-isteri itu bereddah selama empat bulan sepuluh hari” (Surah al-Baqarah, ayat 234). Hukum ini telah disepakati oleh para ulamak. Wallahu a’lam.

Rujukan:
1. Tafsir al-Jalalain, surah at-Talaq, ayat 4.
2. Tafsir Ibnu Kathir, surah al-Baqarah, ayat 228 dan surah at-Talaq, ayat 4.
3. Tafsir al-Munir, Dr. Wahbah az-Zuhaili, surah at-Talaq, ayat 4. 4. At-Talaq, Dr. Muhammad Ibrahim Hafnawi, hlm.377.
5. Tamam al-Minnah, Syeikh Adil al-‘Azzazi, 3/19.

Nota hujung: [1] Menurut mazhab Syafiie; umur putus haid ialah 62 tahun. Menurut mazhab Maliki; 60 tahun, mazhab Hanbali; 50 tahun dan Hanafi; 55 tahun. (Tafsir al-Munir)

[2] (A) Bagi wanita yang tidak didatangi haid dan tidak diketahui sebabnya –sedang umurnya belum lagi masuk umur putus haid dan ia juga telah dewasa-, bagi kes sebegini berdasarkan fatwa Saiyidina Umar: hendaklah ia ber-iddah (menunggu) hingga setahun iaitu; 9 bulan untuk hamil (yakni kemungkinan hamil) dan 3 bulan sebagai iddah yang ditetapkan dalam ayat tadi.

(B) Jika terputus haid dengan sebab yang diketahui seperti kerana menyusui anak, kerana suatu penyakit atau kerana lainnya (yang diketahui puncanya), hendaklah ditunggu hingga hilang sebab atau punca tersebut, kemudian hendaklah ber-iddah sebagaimana wanita normal (yang kedatangan haid, iaitu ber-iddah 3 kali suci) atau jika ia masuk umur putus haid hendaklah ia ber-iddah tiga bulan. Adapun jika sebab/punca tidak datang haid tadi telah hilang, namun haid masih belum datang juga sedang umurnya belum mencapai umur putus haid, dalam kes ini ia hendaklah mengikut fatwa Saiyidina Umar tadi iaitu menunggu hingga setahun.

(C) Wanita yang dibuang rahimnya, hukumnya sama seperti wanita yang mencapai umur putus haid kerana tidak ada kemungkinan lagi ia didatangi haid. Jadi eddahnya juga 3 bulan.
(Rujuk; Tamam al-Minnah, Syeikh al-Azzazi, 3/224).

Sumber: Ilmu dan Ulamak

2 comments:

||aLeaSaRa|| said...

alhamdulillah banyak ilmu saya dapat di sini lagi dan lagi.nanti saya singgah lagi ye.owh suka header tu :)

abuikhwan said...

Terima kasih kerana sudi singgah di kembaramencarihamba yg tidak seberapa ini....blog sahabat pun apa kurangnya sentiasa segar dgn informasi2 yg amat bermanfaat kpd para pembaca!

Post a Comment