Sebenarnya agak lama juga saya tidak mendengar radio. Bukannya tidak ada radio di rumah tetapi malas nak memasangnya. Kalau setakat nak mendengar lagu dengan telefon bimbit pun sudah tidak larat nak mendengarnya. Telefon bimbit zaman sekarang canggih-manggih, apa-apa pun ada.
Tercuit hati saya tatkala mendengar celoteh juruhebah yang bertugas. Hairan dan kagum, banyak sungguh ideanya, ada sahaaja benda yang nak dibicarakannya. Kalaulah saya yang menjadi juruhebah, alamatnya banyak lagu yang diputar dari sembang-sembang. Patut pun saya tidak menjadi juruhebah, bakat tak ada.
Gambar hiasan (sumber foto)
Termenung saya seketika, timbul pula cerita raya, sedangkan puasa pun belum lagi. Sepatutnya bincanglah tentang persiapan untuk menyambut Ramadhan yang akan berkunjung tiba tidak lama lagi. Apakah persiapan yang perlu, azam untuk menambah kredit ibadat berbanding tahun lalu, atau apa sahaja yang dapat memberi manfaat di bulan Ramadhan. Sekurang-kurangnya para pendengar lain memperolehi juga serba sedikit panduan dan kebaikan yang dibincangkan.
Bulan Ramadhan bukannya lama, hanya sebulan sahaja. Sepatutnya kita berlumba-lumba mengambil atau merebut segala tawaran yang ada padanya. Bimbang benar tanpa sedar kita sengaja mensia-siakan kelebihan yang ada di dalam bulan Ramadhan. Bahkan lebih bimbang lagi jika kita tidak sempat untuk masuk ke dalam Ramadhan kerana ajal terlebih dahulu menjemput.
Tetapi salahkah perbicangan mereka itu? Tidak, saya tidak mengatakan ianya satu kesalahan, cuma agak janggal kerana berbicara mengenai hari raya sedangkan Ramadhan belum lagi bermula. Ya, sekadar cerita-cerita sahaja, setakat itulah seronok-seronoknya.
Namun, saya amat bersetuju dan menggalakkan jika kita membuat persiapan raya seawalnya, jika boleh sebelum Ramadhan lagi. Mungkin ada yang mengatakan saya ‘kemaruk’ benar hendak beraya. Belum apa-apa lagi dah mula menempah baju dan sebagainya. Sebenarnya jika kita bersiap awal-awal agar tidak mengganggu amal ibadat di bulan Ramadhan. Tidak perlu fikir tentang persiapan raya, hanya fokuskan pada menambah pahala. Jika tidak jadilah seperti yang berlaku pada tahun-tahun sebelumnya. Masuk 10 hari Ramadhan yang terakhir, masjid dan surau mulai lengang, yang tinggal pak imam, muazzin, siak serta dua tiga orang lagi. Yang lain sibuk menyiapkan persiapan raya.
Rugi!
Rasulullah saw insan yang mulia, diampunkan segala dosanya, pun begitu baginda serius dalam melakukan amalan ibadah dan lebih banyak dibanding hari-hari lainnya. Peningkatan ibadah di sini tidak terbatas pada satu jenis ibadah tertentu saja, namun meliputi semua jenis ibadah baik solat, membaca al-Quran, berzikir bersedeqah dan sebagainya. Rasulullah saw membangunkan isteri-isteri baginda agar mereka juga berjaga untuk melakukan amal ibadah. Ini kerana baginda berharap agar keluarganya juga dapat meraih keuntungan besar pada waktu-waktu utama tersebut.
Dan seperti yang kita ketahui pada malam-malam 10 terakhir inilah sangat besar kemungkinan salah satu di antaranya adalah malam al-Qadar. Suatu malam penuh barakah yang kebaikannya melebihi seribu bulan. Maka beruntunglah sesiapa yang berjaya mendapatnya. Insya-Allah, tekadkan azam dan semangat untuk menjadikan Ramadhan ini adalah yang terbaik!
Peringatan utama buat diri saya!
0 comments:
Post a Comment