Sahabat Sejati

Monday 4 February 2013

Mengapa ulama kerap selisih pendapat?

Soalan:

Sengketa dan perselisihan hukum-hukum Islam, tak habis-habis berlaku. Dari dahulu hingga sekarang. Kadang-kadang membabitkan sesama ulama yang hebat-hebat. Kadang-kadang antara mufti dan ulama yang bukan mufti. Mohon penjelasan, mengapa hal-hal sebegini boleh berlaku? Apakah tidak ada jalan untuk mengatasinya?

Jawapan:

Masalah perselisihan pendapat ulama dalam hukum-hukum cabang (furuk) adalah perkara tabii yang berlaku dari dahulu hingga sekarang. Akan terus berlaku sehingga ke hari kiamat, kerana itu anda usah risau sangat. Hatta di zaman Rasulullah saw pun sahabat sesama sahabat berselisih pendapat pada perkara-perkara furuuiyyaat (cabang-cabang), cuma mereka segera merujuk kepada Rasulullah saw dan dijelaskan hukum sebenar. Maka, selesai kerana mereka ada tempat untuk merujuk.

Selepas wafat Rasulullah saw, andaikata berlaku perselisihan pendapat seperti itu, dan sememangnya telah berlaku maka kepada siapa mereka merujuk? Tidak ada. Kalau ada yang mahu mengalah selesailah dan kembali bersatu pendapat tetapi kalau tidak ada yang hendak mengalah maka berlakulah perselisihan pendapat. Masing-masing berpegang dengan pendapatnya sahaja. Kenapa berlaku?

Jawapannya, kerana dua sebab utama. Sebab-sebab umum dan sebab-sebab khusus.

Sebab-sebab umum:

1- Nas-nas syarak (al-Quran dan as-Sunnah), kebanyakannya bersifat umum dan boleh ditafsirkan berbagai-bagai. Membawa kepada kelainan pendapat.

2- Pengetahuan dalam hal ini, tafsir nas berbeza-beza. Ada yang lebih kepada yang kurang.

3- Tidak semua ayat al-Quran dan as-Sunnah dimiliki dan dikuasai oleh semua ulama. Mereka berbeza-beza.

4- Hadis-hadis pula ada yang bertelagah, dari segi sahih tidaknya dan kadang-kadang ada yang seperti berlawanan maksudnya.

5- Kaedah ‘istimbat’ (mengeluarkan hukum dari ayat) berbeza-beza antara ulama dengan ulama.

6- Sumber tasriyat berbeza-beza selain daripada al-Quran dan as-Sunnah, ada yang banyak dan ada yang sedikit tambahannya.

7- Persekitaran berbeza dan masalah pula berbeza.

Sebab-sebab khusus berlaku:

1- Cenderung kepada aliran nas iaitu amat berpegang dengan nas dan tidak menerima takwilan dan tafsiran.

2- Cenderung kepada aliran akal, hingga melangkaui kefahaman biasa dan berpegang dengan tafsiran akal

3- Ada ulama melampau dalam pandangan dan amalan (terlalu ketat).

4- Ada diambil mudah.

5- Amat terikat dengan mazhabnya tidak mahu berubah kepada pendapat mazhab lain yang sepatutnya boleh

6- Amat terbuka, bebas dan tidak terikat dengan mana-mana mazhab dan lain-lain.

Mazhab saya adalah berlapang dada mendepani semuanya itu. Islam itu luas dan jangan taksub membuta tuli dan saya amat berkenan dan nak diturunkan apa yang dinasihati oleh Ibnu Qainiah kepada kita semua seperti tersebut dalam kitabnya yang terkenal, al-Fataawa (juzuk 2: halaman 292) bermaksud: ‘Buka Kamu Kutip’. Apa yang dilarang Allah SWT dan Rasul-Nya adalah taksub dan perselisihan hingga berpecah belah atau memberi petua dengan ilmu, itu jangan. Adapun masalah perselisihan pendapat seperti ada imam yang dirasai pendapatnya lebih baik daripada pendapat imam yang lain atau seorang tok guru, pendapatnya lebih diterima daripada pendapat tok guru lain berdasarkan ijtihad masing-masing.

Sepertimana khilaf mereka pada hukum membaca qunut subuh. Membaca Bismillah nyaring atau perlahan atau tak baca langsung dan seumpamanya. Ini adalah masalah ijtihadiah. Masing-masing ada hujah, yang betul ijtihadnya dapat dua pahala, yang salah dapat satu pahala. Bolehlah diikut yang mana-mana satu. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato' Dr Harun Din

1 comments:

Rintihan HambaMu said...

manusia yang penuh kelemahan..

Post a Comment