Sahabat Sejati
Wednesday, 20 February 2013
Kesedihan adalah kasih sayang-Nya, tidakkah kita mahu merasakannya?
Kehidupan ini dipenuhi onak dan liku-liku. Ada perkara yang menggembirakan dan tidak kurang juga perkara-perkara yang mendukakan. Kita tidak akan merungut atau runsing disebabkan sesuatu yang menggembirakan. Tetapi kita banyak mengeluh dan mengadu kepada `sesiapa` ketika ditimpa kesedihan dan kekecewaan. Keresahan dan kegelisahan mudah terpancar diriak wajah tatkala ditimpa kesedihan.
Apakah yang kita lihat di sebalik kesedihan dan kekecewaan itu. Mungkin kita merasakan diri bernasib malang dan sebagainya. Bahkan ramai yang begitu, merasakan seolah-olah tiada sehari dalam hidupnya mengecapi kebahagiaan apabila ditimpa kedukaan.
Bicara mengenai kesedihan. Seringkali kita memandangnya dari sudut yang negatif. Mengapakah kita tidak melihat itu semua adalah proses didikan Allah. Benar, didikan dan aturan Allah buat hamba-Nya yang sentiasa lalai dan alpa. Proses didikan yang membuka ruang untuk muhasabah diri bahawa kita adalah hamba yang penuh dengan kelemahan dan kekurangan. Kita adalah hamba yang sepatutnya meletakkan sepenuh pengabdian diri semata-mata untuk-Nya.
Hikmah kesedihan
Antara perkara-perkara yang Allah boleh campakkan ke dalam hidup manusia dan manusia itu tidak boleh berbuat apa-apa untuk menolaknya. Allah mencampakkan kepada sesiapa sahaja tanpa mengira siapa dia, seorang raja atau rakyat biasa, si miskin atau si kaya, orang tua atau muda, iaitu perasaan dukacita atau kesedihan.
Bahkan, kadang-kadang kesedihan atau dukacita mendatangi hati manusia tanpa manusia itu mengetahui mengapa dia bersedih. Boleh jadi ada perkara-perkara yang mengundang kesedihannya tetapi bagi orang lain ia tidak menimbulkan sebarang kesedihan.
Tatkala bersedih, manusia mula runsing dan mencari-cari jalan bagaimana untuk keluar daripada kesedihan itu. Mereka melakukan berbagai-bagai usaha untuk menghilangkan kesedihan daripada kehidupan mereka.
Memang kita tidak disuruh meminta kesedihan. Bahkan Rasulullah mengajar doa memohon perlindungan daripada kesedihan yang lalu dan yang akan datang. Namun, kadang-kala dukacita dan kesedihan berjaya merubah seseorang itu daripada satu watak kepada watak yang lain.
Pernahkah kita terfikir, atau mungkin kita tidak pernah terfikir bahawa ramai orang yang mencari dan menemui Allah ketika mereka ditimpa kesedihan. Dan realitinya tidak ramai orang yang mencari Allah ketika dia gembira dan berada di dalam keadaan selesa. Mudahkah bersyukur ketika diri berada dipuncak kesenangan berbanding ketika diri berada di segenap kekurangan.
Fikirkanlah...
Ada orang yang sombong dan angkuh suatu masa dahulu tetapi menjadi tawadhuk dan rendah hati kerana ada perkara-perkara yang mendukacitakannya. Ada juga orang yang dahulunya sentiasa bergelumang dengan dosa dan maksiat tetapi berubah menjadi soleh dan ahli ibadat setelah Allah timpakan kesedihan kepadanya. Benar, jika tidak kerana ada perkara-perkara membibitkan kesedihan, mungkin ramai yang terleka dan tersesat lalu mati menjadi ahli neraka, na`udzubillah.
Demikianlah besarnya hikmah kesedihan bagi sesiapa yang melihatnya dengan cahaya hati. Oleh itu, laluilah kehidupan ini dengan sebaiknya. Kesedihan dan dukacita bukannya musibah yang seharusnya dibenci. Tetapi lihatlah ia sebagai satu ‘jemputan’ daripada Allah menuju kepada kasih sayang-Nya.
Tidakkah kita mahu merasakan begitu?
Labels:
akhlaq,
Bicara santai,
Cetusan rasa,
keinsafan,
motivasi,
tazkirah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment