Sahabat Sejati
Tuesday, 19 February 2013
14 Februari, saya merintih...
Hati kecil saya sering merintih keseorangan. Terfikirkan tentang keadaan diri manusia akhir zaman ini, seakan-akan begitu terasing jauh dari petunjuk dari langit. Melihat realitinya, hati kecil berkira-kira: “Seolah-olah Nabi tidak tidak pernah datang, al-Quran tidak pernah muncul.”
Apakah sehingga begitu sekali rintihan saya, bahkan ia berkocak mengganggu kedamaian hati.
Membaca berita tentang gejala keruntuhan moral dan akhlaq dikalangan masyarakat khususnya remaja amat meresahkan. Kerosakan akhlaq, minda dan jiwa serta seribu satu kerosakan yang melanda di tahap yang amat membimbangkan. Saya mencoret berdasarkan pengalaman dalam keterlibatan misi-misi dakwah. Saya memerhati, sesungguhya cabaran hidup pada akhir zaman menjadikan kita mudah alpa dan sering terkeliru.
Remaja merupakan aspek penting dan tonggak utama sesebuah negara. Tidak keterlaluan jika dikatakan remaja ibarat hati di dalam diri manusia. Maka jika rosak hati itu, lama-kelamaan akan rosaklah seluruh jasadnya. Begitulah remaja, jika ia rosak maka akan rosaklah sesebuah negara kerana remaja adalah bayangan kepada masa depan sesebuah negara. Benarlah ungkapan yang berbunyi: “Jika ingin melihat masa depan sesebuah negara, lihatlah kepada pemuda dan pemudinya.”
Itulah realitinya dan saya melihatnya setiap kali terlibat dalam misi-misi dakwah, baik malam tahun baru, malam kemerdekaan serta hari valentine.
Seringkali saya tertanya-tanya, mengapakah ini semua berlaku? Bukankah Allah SWT telah menurunkan panduan buat umat manusia, dan dengan rahmat kasih sayang-Nya diturunkan pula pemudahcara kepada panduan tersebut. Maka, apakah pantas untuk kita berkata lagi bahawa petunjuk kebaikan yang menjadi panduan tidak pernah menjenguk diri manusia zaman ini?
Sirah membuktikan generasi para sahabat yang menjadi sebaik-baik umat. Sedangkan sebelum itu mereka terkenal dengan manusia yang ganas, zalim, suka berperang dan sebagainya. Akhirnya daripada kehidupan zaman jahiliyyah mereka bertukar menjadi umat yang baik, adil, penyayang, bertamadun tinggi serta terbaik di sepanjang zaman. Nah! Inilah hasil didikan Rasulullah saw melalui petunjuk wahyu Ilahi.
Petunjuk yang sama juga telah menjenguk dan menyentuh hati kita di zaman ini.Apakah kita tidak merasakan ia sesuatu yang amat berharga dan mesti didakap seeratnya?
Oleh itu, marilah kita sama-sama menginsafi diri, sesungguhnya tidak ada jalan dan cara, yang sebenarnya melainkan masyarakat ini mesti kembali kepada petunjuk dan bimbingan daripada langit itu. Hanya dengan jalan demikian, kita akan selamat dunia dan akhirat. Saya benar-benar mengingatkan diri saya.
Seorang teman berlabun: “Apa persamaan malam tahun baru, malam kemerdekaan dan hari valentine?”
“Musim mengawan.” Dia sendiri yang memberikan jawapan.
Kasar, tetapi itulah realitinya...
Labels:
Bicara santai,
Cetusan rasa,
diri,
keinsafan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment