Sahabat Sejati
Sunday, 10 February 2013
Bolehkah berpegang dengan mimpi?
Soalan:
Bolehkah kita percaya dengan mimpi? Adakah mimpi kita benar atau adakah kita diberi petunjuk yang kita harus berpegang dengannya. Ada orang kata jangan percaya kepada mimpi kerana semuanya mainan syaitan belaka. Elok jika dapat dijelaskan dengan dengan hujah-hujah syarak yang kita boleh berpegang dan berpandu dengannya. Terima kasih.
Jawapan:
Mimpi adalah sesuatu yang benar-benar berlaku . Boleh dikatakan semua orang mengalami mimpi di dalam tidur mereka. Ada yang kerap berlaku, ada yang jarang-jarang.
Persoalan sama ada boleh berlakukah atau tidak, seperti yang anda alami di dalam mimpi itu, bergantung kepada beberapa keadaan.
Dalam masyarakat Melayu, ada beberapa istilah yang digunakan dalam persoalan ini, antaranya:
1 - Mimpi
2 - Merepek
3 - Menggigau
4 - Mengelamun dan sebagainya
Masing-masing daripada di atas ada maknanya yang tersendiri. Mimpi adakalanya benar, tetapi yang lain-lain itu, lupakanlah sahaja.
Di dalam Islam ada beberapa istilah yang al-Quran dan hadis gunakan. Antaranya adalah:
1 - Ar-rukya
2 - Busyra atau mubasysyraat
3 - Alhulmu
4 - Adgrhaathu ahlam
Ar-rukya adalah mimpi benar yang berlaku kepada para Rasul dan Nabi alaihimussolatuwassalam. Seperti mana Nabi Ibrahim as. bermimpi menyembelih anaknya. Firman Allah (mafhumnya): "Maka ketika anakinya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?" Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya-Allah, ayah akan mendapati daku daripada orang-orang yang sabar." (as-Saffat: 102)
Ini juga berlaku kepada Nabi Muhammad saw seperti firman Allah (mafhumnya): "Demi sesungguhnya! Allah tetap menyatakan benar Rasul-Nya dalam perkara mimpi itu dengan kenyataan yang sebenar; iaitu sesungguhnya kamu tetap akan memasuki Masjid al-Haram - insya-Allah (pada masa yang ditentukan-Nya) - dalam keadaan aman (menyempurnakan ibadat umrah kamu) dengan mencukur kepala kamu, dan kalau (tidak pun) menggunting sedikit rambutnya, serta kamu tidak merasa takut (akan pengkhianatan musuh sehingga kamu keluar balik dari situ). (Allah menangguhkan berlakunya kenyataan itu) kerana Ia mengetahui (adanya faedah dalam penangguhan itu) yang kamu tidak mengetahuinya; maka Ia menyediakan sebelum (terlaksananya mimpi) itu, satu kemenangan yang dekat (masa berlakunya)." (al-Fath: 27)
Ini bererti, mimpi para Nabi dan Rasul adalah benar. Diistilahkan sebagai ar-Rukya assadiqah. Ia benar-benar berlaku, malah ada wahyu-wahyu Allah, diturunkan melalui mimpi para Nabi.
Inilah yang Rasulullah saw sabdakan (mafhumnya): "Mimpi benar adalah daripada Allah dan mimpi bohong adalah daripada syaitan." (Riwayat Imam Bukhari)
Mimpi benar yang berlaku kepada para anbiya, boleh juga berlaku ke atas bukan Nabi atau Rasul, seperti ke atas kita. Mimpi itu dipanggil ar-rukya assadiqah.
Sabda Nabi Muhammad saw (mafhumnya): "Ar-rukya assadiqah adalah daripada Allah (benar), sedangkan al-hulmu adalah mimpi dusta (merepek) adalah daripada syaitan." (Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim)
Al-Imam al-Baghawi pernah menyebut, al-hulmu itu adalah mimpi dusta daripada syaitan. Mimpi sebegini adalah mainan syaitan dalam tidur manusia, hati-hatilah.
Inilah juga yang disebut di dalam al-Quran mengenai adgrhaarthu ahlam seperti firman Allah (mafhumnya): "(Mereka bukan sahaja menyifatkan al-Quran itu sihir) bahkan mereka menuduh dengan berkata: "Al-Quran itu perkara karut yang dimimpikan (adgrhaarthu ahlam) oleh Muhammad, bahkan perkara yang diada-adakan olehnya, bahkan Muhammad sendiri seorang penyair. (Kalaulah ia sebenarnya seorang Rasul) maka hendaklah ia membawa kepada kita satu mukjizat sebagaimana mukjizat-mukjizat yang yang dibawa oleh Rasul-Rasul yang telah diutus dahulu." (al-Anbiya`: 5)
Merepek adalah mimpi yang dibuat oleh syaitan untuk menakut-nakutkan anak Adam. Ia mungkin juga menjadi isyarat kepada sesuatu yang buruk akan berlaku. Oleh kerana itu, Rasulullah saw pernah menasihatkan kita agar berlindung dengan Allah daripada kejahatan yang dinampakkan dalam mimpi-mimpi itu. Wallahua`lam.
Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din
Labels:
ilmu,
soaljawab agama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment