Sahabat Sejati

Sunday 14 October 2012

Cerita cinta...


Cinta.

Kalimah yang sentiasa terlafaz dibibir manusia tanpa batasan waktu. Setiap manusia petah menyebutnya. Ia hadir tanpa diundang kerana perasaan mencintai dan ingin dicintai adalah keperluan semulajadi. Ia tidak perlu dipelajari kerana keinginan kepada cinta adalah fitrah insan. Hati memerlukan cinta sebagaimana jasad yang memerlukan makan dan minum.

Cinta adalah perasaan jiwa yang melahirkan ketenangan dan kedamaian. Boleh juga dikatakan cinta itu tarikan kepada sesuatu, ertinya cinta boleh menarik seseorang kepada sesuatu yang dicintainya.

Seorang ulama salaf mengatakan: “Cinta dapat mengubah pahit menjadi manis, debu menjadi emas, kotor menjadi jernih, sakit menjadi sembuh, tahanan menjadi taman, derita menjadi nikmat. Itulah cinta kasih yang melunakkan besi, meluluhkan baru, membangkitkan orang mati dan meniupkan kehidupan.”

Namun, kadangkala ia amat menghairankan kerana kalimah cinta yang terungkap tanpa mengerti akan makna sebenar yang tersirat disebaliknya. Tatkala menyebut cinta, maka berderetlah korban cinta sepanjang zaman seperti kisah Romeo yang sanggup mati kerana Juliet, Cleopatra yang sanggup menghabisi nyawanya kerana Mark Anthony atau kisah Qaisy yang sanggup menjadi gila kerana terpisah dengan Laila. Kerana cinta agama menjadi taruhan, kerana cinta Islam dilupakan. Kerana cinta Allah hilang entah ke mana dicampakkan, kerana cinta hilang sifat kehambaan. Demikianlah cinta yang asalnya suci dan bersih menjadi kotor dan menjijikan.

Tentunya amat sukar untuk saya memberikan makna cinta kerana setiap orang mempunyai makna cinta yang tersendiri. Mereka menafsirkan sebagaimana yang mereka lalui dan rasa. Saya teringat satu kisah di zaman sekolah dahulu:

Seorang maharaja China telah bertanya kepada seorang pelukis yang terkenal: “Gambar apakah yang paling mudah dilukis?”

Lalu jawab pelukis, “melukis gambar hantu.” Sang maharaja merasa terkejut seraya bertanya lagi, “melukis gambar apa yang paling sukar?” Jawab pelukis tersebut, “gambar kuda, harimau, ayam, anjing, gajah dan sebagainya.”

Maharaja yang mula kehairanan bertanya lagi, “mengapa kamu berkata demikian?”

Maka pelukis pun memberi jawapan, “melukis gambar hantu senang kerana tidak ada siapa yang pernah melihat hantu. Jadi, kita boleh melukisnya mengikut apa yang kita suka. Manakala melukis kuda, harimau anjing dan sebagainya amat sukar kerana hamper semua manusia telah melihatnya. Jika kita tersilap melukisnya, semua orang dapat mengesannya biarpun sedikit sahaja kesilapan yang dibuat.”

Benar, setiap orang ada pengalaman cinta yang memungkin mereka memaknai dengannya.

Ahli hikmah mengatakan: “Seandainya cinta dan kasih sayang menguasai kehidupan, nescaya manusia tidak lagi memerlukan keadilan dan undang-undang.”

Cinta dan kasih sayang adalah ruh kehidupan yang menyembuhkan hati dan menghadirkan rasa aman bagi manusia. Bila hukum graviti dapat menahan bumi dan planet-planet sehingga tidak berlanggaran dan hancur berantakan, maka hukum cinta dan kasih sayang adalah sesuatu yang dapat menahan manusia daripada berantakan menjadi peperangan. Demikian hebatnya kuasa cinta. Ia boleh merubah benci kepada sayang, duka kepada gembira begitulah juga sebaliknya.

Manakala ada pula yang berkata: “Apa yang terjadi? Ilmu hanya memberikan pemikiran yang kering, kerja hanya memberikan cucuran keringat dan kebencian. Harta hanya memberikan rasa khuatir, ketakutan dan kesulitan. Cinta kasih itulah mutiara satu-satunya yang memberikan rasa aman, ketenangan dan kedamaian.”

Namun, cinta yang memberikan ketenangan dan kedamaian hanya akan didapati apabila ia dilapisi dengan iman dan taqwa serta redha Allah. Tanpanya cinta akan jatuh ke tahap cinta yang hina. Sifir mudah, semasa bercinta lakukan apa yang Allah suruh dan tinggalkan apa yang Allah tegah. Insya-Allah pasti beroleh ketenangan dan kedamaian.

Anda tentu memahaminya.

2 comments:

Rintihan HambaMu said...

Manisnya cinta Allah..

abuikhwan said...

Benar, cinta Allah adalah yang tertinggi!

Post a Comment