Soalan:
Saya ada soalan ustaz, mengikut mazhab maliki, muntah yang sedikit adalah najis yang dimaafkan dan dibolehkan dibawa dalam sembahyang. Soalan saya, adakah boleh saya berpegang pada mazhab maliki dalam bab-bab najis yang dimaafkan ini kerana amat merumitkan saya kerana saya mempunyai bayi kecil yang sering muntah / jeluak dan saya sentiasa terpaksa membersihkan muntah/jeluak tersebut walaupun sedikit. Sedikit dalam mazhab maliki adalah selebar titik hitam pada wang dirham. Apakah yang dimaksudkan itu ya ustaz? Mohon pencerahan dan terima kasih banyak-banyak atas bantuan ustaz.
Jawapan:
Muntah adalah najis mengikut pandangan jumhur ulamak termasuk mazhab empat (Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali) kerana ia adalah makanan yang melalui proses pengubahan dalam perut, maka ia menyamai tahi. Kerana itu, pakaian yang terkena muntah, wajib dibasuh sebelum dipakai ketika solat. Namun, para ulamak menegaskan; najis dimaafkan jika kadarnya sedikit. Menurut mazhab Hanafi: kadar sedikit itu ialah yang kurang dari kadar saiz 1 dirham (iaitu kira-kira sebesar duit 5 sen). Ia dimaafkan, yakni tidak wajib membasuhnya sebelum memasuki solat. Khusus mengenai muntah anak kecil, Imam Najmuddin an-Nasafi (ulamak mazhab Hanafi) berkata dalam fatwanya: “Anak kecil yang menyusu, kemudian muntah mengenai pakaian ibunya, jika muntah itu memenuhi mulut, ia adalah najis. Maka jika kadarnya melebihi satu dirham, ditegah mengerjakan solat dengan memakai pakaian tersebut”. Dari fatwa ini kita dapat memahami bahawa, muntah anak kecil jika kadarnya sedikit (kurang dari saiz satu dirham), dimaafkan dan harus memakai pakaian yang dikenainya untuk mengerjakan solat.
Menurut mazhab Syafiie: ukuran banyak atau sedikit najis itu bergantung kepada pandangan ‘uruf (yakni pandangan menurut kebiasaan). Jika najis yang mengenai badan atau pakaian itu di dianggap sedikit oleh kebiasaan orang sekeliling yang melihatnya, ia dikira sedikit dan dimaafkan. Jika dianggap banyak, maka ia adalah banyak dan tidak dimaafkan. Menurut mazhab Hanbali: ukuran sedikit atau banyak itu kembali kepada pandangan hati sendiri. Jika hati merasai kotor dan menjijikkan kerana kadarnya telah melampaui had, maka ia dikira banyak. Jika hati tidak merasai begitu, ia masih dikira sedikit dan dimaafkan.
Menurut mazhab Syafiie juga: najis turut dimaafkan jika sukar dielakkan, walaupun najis itu banyak. Contohnya: darah pijat, kutu dan nyamuk, darah dari bisul, jerawat, luka, kudis, tempat bekam dan sebagainya. Khusus tentang muntah, ulamak mazhab Syafiie menegaskan: jika seseorang itu menghadapi kesukaran berdepan dengan muntahnya (kerana selalu muntah), dimaafkan muntah yang mengenai badan atau pakaiannya sekalipun muntah itu banyak.
Menurut mazhab Maliki, muntah hanya dikira najis jika keluarnya dalam keadaan telah berubah dari rupa makanan (yakni ia tidak nampak lagi rupa makanan). Sekiranya yang keluar itu masih berupa makanan, ia tidaklah najis. Adapun di sisi mazhab-mazhab selain tadi: semua jenis muntah adalah najis asalkan ia keluar dari perut, sama ada yang keluar masih berupa makanan atau tidak lagi berupa makanan.
Segelintir ulamak (antaranya Imam as-Syaukani) berpandangan: muntah keseluruhannya tidaklah najis kerana tidak ada sebarang dalil yang menegaskannya sebagai najis, oleh itu ia kekal di atas hukum asalnya iaitu suci (kaedah Fiqh menegaskan; asal semua benda di atas muka bumi ini adalah suci selagi tidak terdapat nas yang soheh yang menyatakan kenajisannya).
Kesimpulannya, muntah (termasuk muntah bayi) adalah najis menurut jumhur ulamak. Namun ia dimaafkan jika kadarnya sedikit dan sukar dielakkan. Merujuk kepada soalan; jeluak bayi yang mengenai pakaian ibu dimaafkan selama ia sedikit. Adapun jika telah banyak, ia tidak dimaafkan, maka wajiblah dibasuh pakaian tersebut sebelum mengerjakan solat. Namun jika ibu mengalami kesukaran hendak membasuhnya setiap kali hendak solat (seperti anak terlalu kerap jeluak), dimaafkan kerana kaedah fiqh ada menyebutkan; al-masyaqqah tajlibu at-taysir (keadaan kepayahan mengizinkan untuk mengambil kemudahan).
Wallahu a’lam.
Rujukan:
1. Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 34/85.
2. Mughni al-Muhtaj, 1/112, 267-268.
3. Al-Mughni (Imam Ibnu Qudamah), 2/54.
4. Kifayat al-Akhyar, hlm. 92.
5. Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Muyassarah, Husain bin ‘Audah al-‘Awayisah, 1/59.
Sumber: Ilmu dan Ulama
0 comments:
Post a Comment