Sahabat Sejati

Friday, 19 October 2012

Cetusan rasa: Bicara menjelang usia 40


“Dulu budak-budak panggil abang, sekarang semuanya dah panggil pakcik...”

Apa yang kita rasa dan fikir apabila berada di situasi begini.

“Ohh, dah tua rupanya aku.” Maka kita pun bersedia memperbanyakkan amal kebajikan, sudah-sudahlah terlalu berloba-loba dengan dunia. Alhamdulillah jika ada rasa begini.

Atau kita kata: “Budak-budak sekarang dah tak pandai melihat orang, suka-suka sahaja panggil.” Kita marah, malunya dipanggil pakcik. Mujur tak dipanggil atuk atau tok wan, kalau tidak tentu berganda-ganda lagi marahnya.

Muda kepada tua 

Sesungguhnya peralihan manusia dari masa muda kepada masa tua adalah fitrah. Siapakah yang dapat menahannya seandai mati tidak menjemputnya pergi di usia muda. Sedangkan masa dan usia di antara perkara yang amat terbatas bagi manusia. Sedar atau tidak, masa terus berlalu tanpa menunggu persetujuan kita. Sama ada kita menyambut atau menentangnya, ia terus berlari dan berlari tanpa dapat dihalang.

Menjelang usia tua, fizikal menjadi lemah, kekuatan mulai beransur hilang sedikit demi sedikit. Selera makan kian menurun meskipun disajikan dengan hidangan yang serba lazat dan berbagai-bagai lagi kelemahan. Demikianlah tiada yang indah pada usia tua, kerana segenap keterbatasan telah mula melingkungi diri.

Saya mencoretkan ini setelah melihat diri mula menghampiri usia 40. Tanpa mampu menghalang ia dari terus berjalan. Sesungguhnya usia 40 adalah angka yang wajib untuk menginsafi, merenung perjalanan hidup dan erti kehidupan yang telah dilalui. Mengisi kehidupan di usia 40 adalah dengan perkara-perkara yang mendatangkan manfaat untuk kehidupan di dunia yang akan menjadi saham untuk kehidupan di akhirat nanti.

Allah SWT berfirman: “Dan kami berpesan kepada insan agar berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan kepayahan dan melahirkannya dengan kepayahan dan tempoh mengandung berserta menceraikan susunya ialah 30 bulan. Setelah dia besar sampai mencapai ke peringkat matang yang sempurna dan sampai ke peringkat umur 40 tahun, maka dia berdoa: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan jadikanlah untuk kebaikan dalam zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu dan sesungguhnya aku daripada orang Islam (yang menyerah kepada-Mu).” (al-Ahqaf: 15) 

Betapa indahnya susunan ayat ini. Ia menceritakan perjalanan hidup insan bermula dari dalam kandungan sehinggalah menjengah usia 40.

Dalam ayat ini Allah SWT mengingatkan kita tentang payahnya pengorbanan ibu yang mengandungkan, seterusnya kepayahan melahirkan kita. Kemudian diceritakan perjalanan hidup sehinggalah mencapai usia matang. Setelah itu kita diajar agar berdoa kepada kedua ibu bapa sebagai satu kebaktian kepada mereka. Begitu juga doa kepada diri kita dan seterusnya kepada zuriat keturunan agar bersambung kebaikan dan rahmat Allah. Kata al-Imam Ibnu Kathir: “Ayat ini memberikan petunjuk bahawa insan apabila menjelang usia 40 tahun hendaklah memperbaharui taubat dan kembali kepada Allah serta bersungguh-sungguh mengenainya.” (Ibnu Kathir, Tafsir al-Quran al-`Azim, 7/281. Saudi: Dar al-Tibah))

Aku dan kehidupan 

Di usia hampir menjengah 40 ini, dalam perjalanan hidup yang terkadang di lambung ombak, pendakian dan menuruni, ada pasang dan surut, tidak kurang juga ada tangis dan tawa serta kegagalan dan kejayaan yang silih berganti. Namun, tidak mahu lagi diri ini berhenti di tengan jalan, menoleh masa silam yang pasti ada benar dan salah, pasti ada alpa dan leka. Oleh itu katakanlah dengan sesungguhnya: “Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu dan sesungguhnya aku daripada orang Islam (yang menyerah kepada-Mu)”.

Semoga diri ini diberi petunjuk dan keinsafan dan termasuk di dalam golongan yang disebut dalam firman-Nya dengan sebab mahu menerima peringatan di usia 40 ini.

"Mereka (yang bersifat seperti itu) itulah orang yang Kami terima daripada mereka amalan baik yang mereka telah amalkan dan Kamni ampunkan kesalahan-kesalahan mereka; (mereka akan dimasukkan) dalam ahli syurga, sebagai memenuhi janji yang benar, yang telah dijanjikan kepada mereka." (al-Ahqaf: 16)

Mudah-mudahan... 

0 comments:

Post a Comment