Ada satu cerita rakyat zaman dahulu kala, dalam nada simbolik membawa kisah bagaimana perkakas dalam sebuah rumah saling melihat bebanan yang ditanggung olehnya, dan merasakan bahawa yang lain tidak seteruknya.
Kisah bermula apabila atap merasa dialah yang paling berat menanggung bebanan berbanding yang lain, dia terpaksa menahan hujan, dia terpaksa berjemur ditengah-tengah panas, peritnya tak terkira. Itu belum termasuk dahan dan ranting kayu yang menimpa tatkala ribut melanda. Perasaan kecewa dan sedih bertambah apabila atap melihat tiang yang dirasakan lebih rehat darinya, tidak kena panas dan tidak kena hujan, lalu ia merungut:
“Sedapnya jadi tiang, tak kena jemur di terik panas mentari, dan tak payah susah payah menahan hujan ribut, alangkah seronoknya kalau boleh jadi tiang”.
Mendengarkan kata-kata atap, lalu tiang menjawab:
“Kamu tak tahu betapa setiap saat aku terpaksa memikul bebanan beratnya atap, kayu alang dan kayu lain yang terpikul berat di atas bahu aku. Engkau atap, lebih senang, tak payah pikul bebanan berat macam aku,” rungut tiang.
Kata tiang terkadang aku cemburu tengok dinding, dia tak kena panas, dan tak kena pikul bebanan berat macam kita. Sedang mereka berbual, rupanya dinding mendengar, lalu menyampuk:
“Jangan kamu fikir yang panas dan berat saja. Aku lagi susah, nak kena jaga keliling rumah ni, aku kena lindung semua isi rumah, akulah benteng menutupi aib dalam rumah, akulah penyimpan rahsia mereka, tapi aku jugak kena ketuk bilamana nak tampal, nak sangkut apa-apa. Sebenarnya aku rasa yang senang, bukan aku, tapi tangga.”
Mendengar kata-kata dinding itu, tiba-tiba tangga pun mengeluh:
“Kamu jangan tengok hujan panas, bebanan saja. Tapi aku rasa akulah yang paling berat antara semua perkakas rumah. Aku terpaksa kena hujan panas, orang pijak aku bila nak naik, bila nak turun, dan lebih malang lagi mereka pijak aku dengan kekotoran yang mereka bawa. Tapi bagi aku kalau ini yang telah ditakdirkan aku redha, biarlah aku berkhidmat semampu aku, sebelum kita semua rebah menyembah bumi.”
Atap, tiang dan dinding terdiam.
Kadang-kadang dalam kehidupan berorganisasi kita hanya nampak kesusahan kita, tetapi kita tidak pernah terfikir akan kesusahan orang lain. Kita rasa terbeban, sehingga boleh menimbulkan dengki dan iri hati. Sikap yang demikian seumpama barah yang boleh merosakkan diri dan meruntuhkan organisasi.
Oleh itu, berlapang dada dengan apa yang ada dan yang lebih penting jangan kita mahu menjadi benda lain. Kita harus menjadi kita, kerana itulah amanah yang diberi kepada kita. Payahnya bilamana atap ingin menjadi tiang, tiang pula hendak menjadi dinding dan dinding pulak hendak menjadi tangga. Akhirnya kucar-kacir.
Kita adalah kita, fikir-fikirkanlah...
2 comments:
Alhamdulillah.. dpt ilmu untuk memperbaiki diri di sini.. Terima kasih.
semoga memberi manfaat...
Post a Comment