Sahabat Sejati

Monday 13 December 2010

Bicara santai: Suka duka kehidupan


Kadang-kadang hidup ini amat meletihkan, serabut dan merimaskan. Kadang-kadang terasa seronok, lucu dan menggembirakan. Ada ketikanya kehidupan ini terasa hiba, sedih dan mendukacitakan. Mengapa...

Inilah asam garam, rencah dan rempah kehidupan. Adakala suka dan adakalanya berduka. Kadangkala merimaskan, resah dan gelisah. Apabila digaul dan diuli kesemuanya maka terasa lengkaplah kehidupan seorang manusia, ada perasaan gembira, sedih, serabut, cemas dan sebagainya. Demikianlah corak kehidupan.

Mana mungkin seorang manusia yang gembira sepanjang hidup tanpa ada hari berdukacita. Begitu juga tiada manusia yang setiap hari berendam airmata duka tanpa ada hari yang ceria. Demikianlah Allah SWT menciptakan manusia dan dibekali dengan sifat sedih, gembira, sayang, malu, malas dan sebagainya. Fitrah manusia memang begitu.

Rasulullah saw sebagai manusia terpilih juga ada hari yang gembira dan ada masa-masa berdukacita.

Di antara senda gurauan Rasulullah saw ialah sebagaimana yang diceritakan oleh al-Hasan:

Seorang perempuan tua telah datang kepada Rasulullah saw lalu berkata, "Wahai Rasulullah! Berdoalah kepada Allah SWT supaya aku dapat masuk syurga. Maka Rasulullah saw bersabda, "Wahai ibu! Sesungguhnya orang tua tidak boleh masuk syurga. lalu menangislah perempuan tua itu. Dengan segera Rasulullah saw bersabda, "Khabarkan kepada perempuan tua itu bahawa sesungguhnya dia tidak akan masuk syurga dalam keadaan dia tua. Lalu dibacakan firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa serta kami jadikan mereka sentiasa dara yang tetap menjadi jodohnya serta yang sebaya umurnya." (at-Tirmidzi dan Baihaqi)

Kesedihan Rasulullah saw juga diceritakan di dalam satu riwayat:

Para sahabat bersama Rasulullah SAW menjenguk puteranya, Ibrahim yang ada di sisi ibu susuannya. Maka beliau mengambilnya, lalu menciumnya. Tidak lama kemudian para sahabat masuk menemuinya, dan mereka dapati Ibrahim telah pulang ke rahmatullah.

Maka nampaklah kedua mata Rasulullah saw berlinang airmata.
Maka berkata Abdul Rahman bin A`uf: "Ya Rasulallah, engkau menangis?" Lalu Rasulullah saw menjawab: "Sesungguhnya inilah tanda kasih sayang. Sesungguhnya berurai airmata sedangkan kalbu berdukacita. Dan kami tidak menyatakan melainkan kata-kata yang diredhai Allah. Sesungguhnya kami berdukacita dengan sebab kepulanganmu wahai Ibrahim." (Muttafaq `alaihi).

Teruskan kehidupan

"Maha Suci Allah yang menguasai segala kerajaan. Dan Dia berkuasa atas segala sesuatu. Yang menjadikan kematian dan kehidupan, supaya Dia menguji kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya. Dan Dia Maha Kuasa lagi Maha Pengampun." (al-Mulk: 1-2)

Teruskanlah kehidupan ini dengan penuh ketabahan. Sama ada gembira ataupun berduka, hadapilah dengan penuh kesabaran. Semuanya adalah ujian dari Allah SWT untuk melihat penerimaan hamba-Nya. Apakah redha atau tidak. Ingatlah ujian Allah SWT adalah dari sifat kasih sayang-Nya.

Seorang hamba akan pasrah dan merasakan bahawa dia layak diuji. Bukankah AKU seorang hamba? Seorang hamba sememangnya layak diuji. AKU harus akur dengan ketentuan, akur dengan apa yang berlaku dan tidak mempersoalkan mengapa AKU yang diuji? Kenapa AKU, bukan orang lain? Tidak layak sama sekali AKU berkata demikian. Ini samalah dengan mempersoalkan Allah yang mendatangkan ujian itu. Menerima hakikat bahawa AKU layak diuji akan menyebabkan AKU berasa tenang dan tenteram, hati gembira tiada kesedihan kerana ujian.

"Jika tidak diuji dengan kesedihan, kita tahu nikmatnya gembira. Jika tidak diuji dengan kesibukan, tidak kita tahu betapa nikmatnya lapang. Jika tidak diuji dengan kegelisahan, kita tidak tahu betapa besarnya erti ketenangan."

Alangkah bahagianya mereka yang menerima segala ketentuan dengan rela. Alangkah bahagianya mereka yang dapat meletakkan dirinya sebagai manusia yang gagah dikala susah dan senang, suka dan duka.

“Katakanlah (Muhammad), tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung kami, dan hanya kepada Allah bertawakal orang-orang yang beriman.” (At Taubah: 51)

Tidakkah kita merasa tenang?

4 comments:

immukmin said...

indahnya kehidupan bersulamkan ketaatan kepada Allah..hati akan sentiasa tenang insyAllah... tq=) peringatan yg amat berguna...

Anonymous said...

terima kasih dgn info nie...kehidupan di dunia nie byk rencahnyer..semua itu kita kena tempuhi dgn sebaik2nyer... :)

inniakhofullah said...

indah bahasanya.salam blogger

abuikhwan said...

Hadapi hidup ini dengan ketabahan semoga cahaya di penghujung jalan..

Post a Comment