Sahabat Sejati

Tuesday, 7 August 2012

Ramadhan dan nuzul al-Quran


17 Ramadhan semalam baru berlalu.

Tentunya ia merupakan suatu tarikh yang amat bermakna kepada orang yang beriman iaitu Nuzul Al-Quran atau penurunan al-Quran, Kalam Allah SWT yang berupa mukjizat, yang diturunkan melalui perantaraan malaikat Jibrail as. kepada Nabi Muhammad saw yang dikira sebagai ibadat dengan membacanya, bermula dari Surah Al-Fatihah dan berakhir dengan Surah An-Nas.

شَهْرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلْقُرْءَانُ هُدًۭى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍۢ مِّنَ ٱلْهُدَىٰ وَٱلْفُرْقَانِ
"Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjadi pembeda antara haq dan batil”  (al Baqarah: 185)

Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad saw. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran. Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi saw hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini.

Allah SWT tidak mencipta manusia tanpa garis panduan atau peraturan untuk mereka mengurus hidupnya di dunia ini. Sebagai khalifah di muka bumi ini, mereka bertanggungjawab mentadbir dan memakmurkan muka bumi ini selaras dengan kehendak dan ketentuan Allah SWT. Maka Allah SWT menurunkan al-Quran sebagai panduan untuk mengurus kehidupan ini.

Allah memuliakan Ramadhan untuk kita. Al-Quran adalah di antara kemuliaan Ramadhan kerana diturunkan di dalamnya. Tadahlah tangan untuk menyambut al-Quran, syukurilah kedatangannya. Bacalah ia, fahamilah ia dan amalkan dalam kehidupan.

Sesungguhnya bulan Ramadhan inilah peluang yang terbaik bagi kita untuk mengelakkan kita daripada tergolong dalam kalangan mereka yang meninggalkan Al-Quran. Apa yang penting kita mesti memastikan adanya peningkatan di setiap Ramadhan yang kita lalui dan yang kita tinggalkan.

Malanglah kita jika masih mencari suatu panduan yang lain selain dari al-Quran. Pastinya ia adalah satu tindakan yang meletakkan kita sebagai hamba Allah yang derhaka.

Berelaklah diri dari melupai atau melekakannya.

Salam Ramadhan!

0 comments:

Post a Comment