Sahabat Sejati

Wednesday, 8 August 2012

Hari bahagia...tentunya


Sesiapa pun tidak menafikan bahawa setiap hari di bulan Ramadhan adalah hari yang penuh kebahagiaan dan kegembiraan. Ramadhan menjanjikan keberkatan, kerahmatan dan keampunan.

Lihatlahlah, di bulan Ramadhan kita dan masyarakat lebih mencintai Islam dan amalannya. Kita mudah berbuat kebaikan dan kebajikan. Solat lima waktu lebih terjaga. Solat-solat sunat mudah sahaja disempurnakan. Membaca al-Quran dan mendengar tazkirah menjadi budaya. Masjid dan musolla dipenuhi dan diimarah. Bersedekah dan menderma tanpa berkira-kira. Menepati masa menjadi keutamaan, buang masa dan lepak menjadi kurang. Makan sekeluarga di rumah menjadi amalan. Suasana hidup berjiran diraikan. Umpat-mengumpat, kata-mengata dan cela-mencela ditinggalkan.

Sesungguhnya semua ini sukar dicari rentaknya di luar Ramadhan, tetapi menjadi mudah semasa Ramadhan. Benar-benar bulan Ramadhan ini dipenuhi dengan kelebihan, kebaikan dan kesuburan. Dan semua itu menjadi punca kebahagiaan kepada hati-hati orang yang beriman.

Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah saw bersabda: “Apabila masuk bulan Ramadhan terbukalah pintu-pintu syurga dan terkuncilah segala pintu neraka manakala sekelian syaitan dirantai dan dibuka segala pintu rahmat.” (Bukhari & Muslim)

Juga hari bahagia


Tanggal 03 Ogos yang lepas adalah hari ulangtahun perkahwinan saya dan isteri. Tentunya ia juga menjadi hari yang amat membahagiakan kepada kami berdua.

Perkahwinan kami tidak susah. Keluarga memainkan peranan yang amat besar dalam menyatukan kami berdua. Tanpa pengetahuan kami, rupa-rupanya kedua keluarga kami telah pun saling mengenali sejak sekian lama. Ini memudahkan banyak perkara kepada kami dalam membina dan melayari kehidupan kurniaan Tuhan yang penuh ujian ini.

Ketika saya mengambil keputusan untuk memperisterikannya, saya hanya berpandukan fatwa hati. Sememangnya hati saya tenang, lalu saya memohon kepada Allah SWT agar memberkati pilihan saya ini. Tidak lupa restu kedua ibu bapa yang setiap masa ditagih dan diraih. Alhamdulillah, kami disatukan setelah bertunang selama 3 bulan. Walaupun dia tidak mempunyai kelulusan yang tinggi, sekadar bekas pelajar pondok, namun saya yakin memilihnya atas dasar agama adalah sesuatu yang tepat.

Rasulullah saw bersabda: "Dikahwini wanita itu (untuk dijadikan isteri) kerana empat perkara iaitu harta kekayaannya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka utamakanlah (dalam pemilihanmu itu) wanita yang kuat beragama, nescaya sejahtera hidupmu." (Bukhari dan Muslim)

Sesungguhnya hadis di atas menyarankan kepada kaum lelaki agar memilih bakal isteri yang memiliki ciri “kuat penghayatan agamanya”. Ini disebabkan wanita yang melaksanakan segala ajaran agama akan memberikan pengaruh serta kesan yang besar terhadap kebahagiaan hidup berumahtangga.

Setiap orang mahukan keluarga yang bahagia, tidak terkecuali saya juga inginkan demikian. Saya mengharapkan isteri saya seorang yang solehah. Tetapi dalam muhasabah penuh keinsafan, berbisik dihati kecil yang menyapa bahawa isteri mengharapkan saya sebagai suami serta ayah yang soleh dan penyayang melebihi pengharapan saya kepadanya.

Dulu saya ada juga marah-marah pada isteri. Lelaki, seringkali dibalut keegoan dan rasa enggan mengalah. Seorang isteri pula, dalam lemah dan tidak berdaya seorang perempuan dia bekerja mengabdikan diri kepada kita. Betapa besar jasa seorang perempuan, walau apa gelarannya, ibu atau isteri.

Kemudian saya belajar erti kehidupan, erti perkongsian hidup, saya belajar erti kesabaran. Dimanakah nilainya? Tentu nilainya terletak pada sebuah pengorbanan. Lantas saya mengerti tiada yang berkorban setulusnya mencurah kasih tanpa syarat selepas ayah dan bonda, selain isteri saya yang sentiasa memaafkan tanpa syarat.

Lalu saya berhenti memarahinya. Setiap kali pulang dari bekerja saya akan berkata: “Terima kasih sayang atas segala pengorbanan, maafkan abang atas setiap kekurangan.”

Apakah mesti saya menutupi muka, apakah saya perlu berasa malu untuk mengkhabarkan dengan sesungguhnya betapa ada ketikanya saya sering menangis kehibaan, tatkala saya menatap wajah isteri, saat memerhatinya tidur melepas lelah berjasa kepada saya, menghela nafas keletihan mengurus kehidupan saya, suami yang sering ketinggalan.

Sungguh Allah SWT menyayangi para wanita. Mereka adalah penghias utama syurga Tuhan di akhirat. Benar-benar mereka penyejuk mata dan pendamai hati.

Rasulullah saw bersabda yang maksudnya: ”Empat perkara yang membawa kebahagiaan iaitu wanita yang solehah, rumah yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa.” (Riwayat Ibnu Hibban)

Isteri yang solehah sentiasa di tempat pertama!

Doakan kebahagiaan rumahtangga kami...

0 comments:

Post a Comment