Sahabat Sejati

Tuesday, 20 September 2011

Bonda, semoga damai dalam rahmat-Nya...

Dalam kenangan: Bonda ketika melayani anakandaku, Haikal

Sukar benar untuk mencoretkan sesuatu, sebagaimana sukarnya untuk mengungkap kata-kata. Di saat hati masih bersulam sebak yang menggigit rasa.

"18 September 2011 bersamaan 20 Syawal 1432H, jam 1.00 pagi."

Tarikh itu pasti menjadi ingatan dan kenang-kenangan. Tiba-tiba diterpa dengan dugaan Allah SWT, cuma pengambilan hak-Nya yang dipinjamkan, tempat tumpahnya kasih sayang.

Tiada lagi tangan untuk dikucup. Tiada lagi sesusuk tubuh untuk didakap. Sedangkan berada di dalam pelukannya bagaikan turun sakinah dari langit tinggi. Tenang dan mendamaikan.

Kesedihan ini hanyalah sebahagian cebisan dari rasa sedih junjungan besar Rasulullah saw, sebagaimana baginda merasa kesedihan dengan pemergian kaum keluarganya, isterinya, datuknya, anaknya serta bapa saudaranya, yang banyak berjasa kepada agama Islam. Namun, apalah pula mahu dibandingkan dengan diri ini yang banyak mengisi kelalaian dari kesedaran dan keinsafan. Justeru, keampunan-Nya sentiasa dipanjatkan. Allah dengan sifat Kasih Sayang, dikurniakan jua kesempatan merasai belaian kasih bonda selama 35 tahun.

Sememangnya saya percaya ia benar-benar suatu ketentuan, buat menguji para hamba-Nya.

Allah SWT berfirman: “ Dan sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sesuatu; perasaan takut, kelaparan, kekurangan harta benda jiwa dan hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar (menghadapi ujian itu). (Orang-orang yang sabar ialah) iaitu apabila ditimpa kesusahan (musibah), mereka berkata, “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada-Nya jualah kami akan kembali.” (al-Baqarah: 155-156)

Saya redha...

“Ya Allah, ampunkanlah dosaku, ampunkan dosa kedua ibu bapaku, dan rahmatilah mereka dengan kasih sayang-Mu, sebagaimana mereka menyayangiku ketika diriku masih kecil. Tempatkanlah mereka bersama orang-orang yang mendapat limpahan redha-Mu. Sesungguhnya Engkaulah Tuhan yang melimpahkan nikmat kasih sayang...Amin.”

Bonda...inilah yang mampu ku kirimkan sebagai bahasa doa buat mengiringimu, mudah-mudahan ianya menjadi peneman di `sana’ sehinggalah waktu yang djanjikan. Biarlah kesempatan hidupku ini, untuk sentiasa kupanjatkan doa buatmu. Mudah-mudahan tatkala dibangunkan di akhirat kelak, telah ada penolakmu ke syurga...aku memohon dengan izin-Nya.

Fitrah kehidupan pasti ada perhentian. Siapa yang dulu, siapa yang kemudian...

"Bonda, kami pasti merinduimu..." Al-Fatihah.

6 comments:

gadis kepastian said...

al fatihah...salam takziah..

abuikhwan said...

terima kasih atas doanya, sahabat...

pOHon HiJAu said...

alfatihah...semge beliau d tmptkn d tmpt org yg beriman
kita sbgai ank mendoakn ibu kita sntse aman disn.jgnlah putus doa tok beliau ddlm stp ibadh kita
=)

abuikhwan said...

terima kasih nasihat yang baik dari sahabat...

Nazihah@Jiha said...

Assalamualaikum ustaz..

baru mengetahui berita ini..
Al-Fatihah..moga beliau ditempatkn ditmpt mereka yang beriman...

paridah said...

ASSALAM USTAZ MOGA HDP SHT SLMT DILIMPAHI RAHMAT ALLAH SEKELUARGA...SALAM TAKZIAH ALFATIHAH...BERSABAR YA...KASIH IBU SELAMANYA DIRASA...

Post a Comment