Sahabat Sejati

Thursday, 13 November 2025

Hari Kedua – Tenang, Pagi, dan Persaudaraan

Pasang banner untuk majlis penutup di balai raya KOA Sg Yol

Hari kedua bermula dengan solat Subuh berjemaah di surau kecil itu. Sejuk pagi kampung memang lain, udara segar menusuk lembut ke dada, buat rasa syukur tu datang perlahan-lahan tanpa disuruh. 

Usai solat, Ustaz Hairul Anuar, AJK YAM Pahang, menyampaikan tazkirah ringkas. Pesannya lembut, tentang sabar, syukur, dan terus jadi hamba meski di mana bumi kita berpijak. 

Habis tazkirah, suasana kembali santai. Ada yang sambung bersembang, ada yang “qadha” tidur dengan kepala bersandar pada tiang surau, dan ada juga yang tetap membelek telefon, walaupun semua tahu, line internet di sini seteguh pokok beringin.. iaitu tak berganjak langsung, sama sahaja seperti semalam. "Tak ada line.." 

Pagi di Sungai Yol 

Sementara menanti sarapan, layan memanah dulu

Jam tujuh, kami mula bersiap untuk acara brisk walk menyusuri laluan kampung. Angin pagi menyapa, ayam masih berkokok, dan kami berjalan sambil menyapa penduduk yang lalu lalang. Sesekali terdengar suara kanak-kanak memanggil sambil tersipu-sipu. Suasana sejuk, hati pun sejuk. 

Selesai berjalan, kami sarapan bersama dengan penduduk di dewan orang ramai. Rancangan asal nak masak sendiri, tapi apakan daya, ada sedikit kekangan. Jadi kami tempah saja sarapan. Walau begitu, makan pagi dalam suasana kampung, ditemani ketawa kecil dan gelas plastik yang berkabus, tetap terasa nikmatnya. 

Kesihatan Itu Amanah 

 

Selepas sarapan, bermulalah sesi taklimat kesihatan oleh Dr. Zul, juga AJK YAM Pahang. Suaranya lembut, tapi penuh semangat mengingatkan tentang pentingnya menjaga tubuh yang dipinjamkan Allah ini. 

Selesai taklimat, Dr. Zul dan pasukannya memulakan pemeriksaan kesihatan, dan alhamdulillah, sambutan penduduk sangat baik. Seorang demi seorang datang, dari anak-anak sampai warga emas, semua ingin tahu keadaan kesihatan masing-masing.

Gembira Sama-Sama 

Sebahagian pemenang hadiah cabutan bertuah

Seterusnya, acara cabutan bertuah, khas untuk penduduk Orang Asli. Riuh satu dewan kecil tu bila nombor dipanggil. Ada yang gelak sampai terpegang perut, ada yang malu-malu naik ambil hadiah. Paling seronok, semua senyum, semua gembira. Hadiah mungkin kecil, tapi nilainya besar pada hati dan hubungan yang terbina.

Tirai Penutup 


Tibalah saat yang paling ditunggu, perasmian penutup oleh Pengurus MUIP Raub. Sederhana, tapi penuh makna. Selepas itu, setiap keluarga Orang Asli menerima pek makanan barangan asas, hadiah kecil tanda kasih dan berkongsi rezeki. Ketika jam menghampiri 4.30 petang, program Ziarah Mahabbah pun melabuhkan tirainya. 


 

Penat? Ya. 

Berbaloi? Sangat. 

Wajah-wajah relawan dan penduduk kampung yang bersinar sudah pun cukup menjadi bukti. Ada rasa puas, rasa syukur, rasa sayang. 

Sebelum pulang, kami berjabat tangan, saling mendoakan, saling mengucap, “InsyaAllah, nanti kami datang lagi.” 

Dan dalam hati, kami tahu, Sungai Yol bukan lagi sekadar lokasi program. Ia sudah menjadi tempat tinggal sepotong kenangan yang lembut dalam jiwa.

Moga bertemu kembali

19 comments:

Amie said...

Alhamdulillah.
Aktiviti yang sangat bermanfaat. Semoga mendapat ganjaran dunia dan akhirat.

Ammi said...

Ada seorang kawan sekolah menengah sy kerja dgn JAKOA Pahang. Tapi tak ingat pula utk daerah mana.

adnil linda said...

Alhamdulillah...seronok bila kita dapat menyantuni/ buat program macam ni, dapat grounding lagi banyak..

Seri Kandi Tanah Jauhar said...

Syukur, semuanya berlangsung lancar. Tentu seronok penduduk bila ada acara macam ni.

NA said...

Alhamdulillah, semoga berterusan program ini dapat dijalankan.

Roziah @ Cie said...

Alhamdulillah meriah programnya tu. Cabutan bertuah la biasanya paling ditunggu walaupun hadiah biasa2 je tapi penuh makna.

Ana Jingga said...

alhamdulillah program yang baik untuk komuniti setempat..

paridah said...

assalam ustaz afiat sejhtra hendaknya menyantuni masyarakat mengeratkan mahabbah usai laksana sempurna alhamdulillah

Puan Hazel said...

Brisk walk tu best Ustaz 👍🏻
Alhamdulillah tahniah, program yang sangat bagus dan memberi manfaat kpd komuniti di sini.

Etuza said...

Turut bersyukur usaha YAM ni, berkat hidup semua.Tahniah ustaz..terasa nak bersama tapi jauh ni Sabah, apapun semangat untuk membantu ada dalam diri ustaz..

dear anies said...

apa2 program.pun kalu ada lucky draw semua org jd 'segar' & excite dan sy pun x terkecuali🤣

Mama Zharfan said...

Alhamdulillah. barakallah fiikum jami'an

Mznimnwr said...

alhamdulillah, berjalan lancar program ni. mesti komuniti di sana pun suka bila disantuni macamni :D

abuikhwan said...

Amiin ya Rabb

abuikhwan said...

ya menyeronokkan bila berada sendiri di lapangan

abuikhwan said...

ya, betul

abuikhwan said...

hahaha.. betul tu

abuikhwan said...

amiin, wa lana bardhu

abuikhwan said...

betul semua gembira.., tanya bila pulak nak datang hehe