Part 2 baca di sini
![]() |
Destinasi berikutnya |
Usai penyerahan mushaf di Pondok Pesantren Terpadu As-Sudaniyyah, kami segera berangkat ke destinasi berikutnya. Tidak boleh berlama-lama, kerana masa bukanlah rakan akrab dalam setiap misi. Ia sentiasa mencemburui, berlari mendahului langkah kami.
Kenderaan terus meluncur di atas aspal jalanan Medan, menembus kawasan perkampungan dan tanaman menghijau. Angin siang membawa bau tanah yang segar, dan di kejauhan kelihatan anak-anak berbasikal dengan gelak tawa yang menghiburkan.
![]() |
Terpaksa menapak membawa mushaf kerana laluan tidak muat kereta |
Perjalanan kami kali ini menuju ke Desa Saentis, tepatnya di Gg. Darmin, Kecamatan Percut Sei Tuan, Kabupaten Deli Serdang. Di sanalah terletaknya Pondok Pesantren Tahfizh Alim Anwaruzzain, sebuah institusi yang dikelilingi kehijauan dan kedamaian.
Setibanya di sana, suasana pesantren menyambut kami dengan sederhana tapi hangat. Wajah-wajah para pelajar, atau dalam bahasa tempatan disebut santri, bersinar dengan senyum yang tulus. Mereka berdiri di halaman, menyambut kedatangan kami dengan penuh adab dan sopan.
Sebanyak 100 naskhah mushaf Al-Quran diserahkan pada pihak pesantren. Seperti biasa, kami melakukan sedikit gimik penyerahan untuk tujuan dokumentasi dan laporan kepada para pewakaf di tanah air. Namun di sebalik kamera yang merakam, hati kami sebenarnya lebih sibuk menahan rasa haru. Melihat setiap mushaf itu diterima dengan ciuman penuh hormat oleh para santri, terasa betapa besar nilai sekeping kitab suci di tangan mereka.
Kami sempat beramah mesra bersama para pelajar dan tenaga pengajar. Dalam sebuah ruangan kecil, kami dibawa menyaksikan sesi hafazan, suara-suara muda melantunkan ayat-ayat Allah dengan tartil dan penuh khusyuk. Tidak lama kemudian, mereka pula menghiburkan kami dengan alunan selawat dan qasidah, lembut dan merdu, membuatkan suasana siang itu bertukar menjadi majlis penuh barakah.
Sebelum bergerak ke destinasi seterusnya, kami memenuhi jemputan Ustaz Fatah, yang rumahnya tidak jauh dari pesantren itu, sekitar dua puluh minit perjalanan. Rumahnya sederhana, tapi sambutannya luar biasa. Hidangan sudah tersedia di atas hamparan di lantai, nasi hangat, ikan bakar berempah, sambal terasi, dan sayur daun ubi tumbuk serta beberapa jenis lauk yang tidak sempat saya tanya namanya, lauk tradisi Medan yang tidak mampu ditolak.
![]() |
Di rumah ustaz Fatah yang memangku bayinya, usai menikmati juadah yang tidak mampu ditolak |
Kami makan sambil berbual mesra, berkongsi kisah perjuangan dan rencana dakwah di tanah masing-masing. Di celah suapan, terasa benar nikmatnya ukhuwah, sederhana, tapi membahagiakan.
Ketika matahari mulai condong ke barat, kami memohon diri untuk ke destinasi terakhir misi hari ini. Perut kenyang, hati pun lapang. Di sepanjang jalan, fikiran saya terbayang wajah para santri tadi, senyuman mereka, suara hafazan mereka, dan mushaf yang kini menjadi teman baru di perjalanan hidup mereka.
Dan di situ, saya sedar.. perjalanan ini bukan sekadar tentang memberi, tetapi juga tentang belajar — belajar erti syukur, sabar, dan kecilnya diri di hadapan kebesaran dakwah Allah.
![]() |
Para santri sedang menghafal |
Bersambung Part 4..
9 comments:
MasyaAllah...
Baca nukilan pun dah buat Linda ikut terharu..
Assalam ustaz tiasa afiat hendaknya bahagia memberi mensyukuri rezeki alhamdulillah erat ukhuwah persaudaraan
Alhamdulillah ustaz. Saya tumpang bahagia membaca nukilan ustaz ni. Semoga ada rezeki juga satu hari nanti untuk saya bersama-sama dalam program sebegini
Alhamdulillah terlaksana misi ๐๐ป
Saya menanti juga gambar masakan yg enak² itu :D
terima kasih kerana sudi membaca hingga ke huruf yang terakhir..๐
insyaAllah.. ada masanya nanti ..
alhamdulillah, kembara penuh hikmah....masa memang sentiasa mencemburui kita...dan kita pula kdg2 ter alpa
Alhamdulillah ustaz, misi visi dah di serahkan..Rahmat keatas ustaz dan teman dakwah..
Allah saya ustaz..teruskan kembara dakwah ..
Post a Comment